Sunday, May 11, 2008

Wanita Keluar Negara_Edar Dadah

Wanita kita keluar negara mencari rezeki dan ditangkap membawa dadah..

Macamna tu?? Makin meruncing kes-kes sebegini.. Saya sendiri pelik macamana seorang perempuan atau lelaki dengan mudah untuk menerima pelawaan/ajakan/tawaran atau apa nama sekalipun untuk ke luar negeri dan kemudian menerima arahan menukar beg bagasi yang dibawa.. Mudahnya modus operandi dan mudahnya memperdayakan manusia..

Pandanganku- apakah ada perasaan takut sebelum menerima tawaran dalam diri mereka? Dan bukankah keluar mencari rezeki di luar negara adalah tindakan terakhir yang wajar dilakukan? Apatah lagi ruang bekerja di negara ini terbuka luas sebenarnya. Macam-macam kerja buleh buat sebenarnya, walaupun mungkin bayaran gaji dan upah tidak begitu tinggi...
Secara analogy; 'aku sendiri sangat takut untuk ke luar negeri sendirian untuk belajar walaupun ada janji kewangan dari kerajaan malaysia... Kerana itu, syarat pertamaku adalah, keluarga mesti ikut bersama, saya tidak akan pergi sendirian..'
Sungguh gusar melihat begitu ramai yang terlibat dan akhirnya, masa depan hilang begitu sahaja..Nauzubillahiminzalik
_______
Artikel di bawah ditulis oleh Presiden PGSM, disiarkan dalam Berita Harian 7 Mei 07

Boleh baca pandangannya walaupun mungkin tidak begitu dipersetujui ramai...

WANITA BERMUSAFIR PERLU PERAKUAN KELUARGA
OLEH: ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Minggu lepas, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dilaporkan sebagai berkata wanita Malaysia yang ingin keluar negara berseorangan mungkin disyaratkan mendapat perakuan majikan atau keluarga bagi mengelakkan mereka diperangkap menjadi penghantar dadah oleh sindiket antarabangsa yang berpangkalan di luar negara. Perakuan itu bagi memastikan tujuan sebenar mereka ke luar negara sama ada untuk berkursus, berniaga atau belajar.

Rais berkata tindakan tersebut berikutan peningkatan kes wanita diperangkap sindiket dadah antarabangsa. Menurutnya setakat ini terdapat 119 kes membabitkan warga negara ini ditangkap berikutan dadah, 90 peratus daripada mereka adalah wanita berusia antara 21 hingga 27 tahun.

Menariknya, apabila terdapat permasalahan sebegini Menteri telah mengambil sikap mencari jalan penyelesaiannya dengan bebalik kepada agama. Dalam Islam memang disyaratkan bagi wanita Islam yang bermusafir lebih dua marhalah hendaklah ditemani oleh mahramnya. Marhalah adalah kadar ukuran jauh bagi masyarakat Arab. Satu marhalah adalah satu perjalanan unta tanpa perlu berhenti rehat ataupun minum. Dua marhalah dianggarkan lebih kurang 90 kilometer bagi ukuran metrik.

Hatta dalam mengerjakan ibadatpun syarat ini tidak dilupuskan. Itulah sebabnya kita sering juga mendengar Kerajaan Arab Saudi tidak memberikan visa perjalanan umrah atau haji kepada wanita yang tidak ditemani oleh mahram mereka atau sekurang-kurangnya ditemani oleh wanita yang dipercayai sepanjang mengerjakan ibadah tersebut.

Tujuan syarat ini dikenakan kepada wanita bukanlah untuk menyekat pergerakan wanita Islam, malah ia adalah satu jaminan keselamatan kepada wanita Islam. Ia tidak harus dilihat sebagai diskriminasi terhadap wanita tetapi sebagai suatu cara melindungi wanita Islam. Ada juga suara yang menyatakan wanita sekarang tidak perlu dilindungi lagi, mereka lebih lincah, lebih bijak dan lebih bekerjaya dari lelaki zaman ini. Oleh hal yang demikian sebarang usaha yang dikatakan mahu melindungi wanita adalah semata-mata kerana memandang rendah kredibiliti dan kebolehan wanita.

Memang tidak dinafikan wanita alaf ini memang hebat dan telah memberi sumbangan besar kepada negara, namun jika dilihat dari angka yang dikeluarkan oleh Rais di atas sebenarnya memang masih perlu perlindungan diberikan kepada wanita dalam hal perjalanan ke luar negara ini. Begitu juga dalam hal keganasan rumahtangga, hubungan kekeluargaan, jenayah dan sebagainya di mana wanita perlu diberi keistimewaan bagi melindungi kepentingan dan sifat semulajadi mereka.

Wanita-wanita seperti Umi Azlim Mohamad Lazim, Dayang Sakeinah Mat Lazim, Norfaizura Azura Md Lias dan ramai lagi yang sedang ditahan di luar negara akibat kesalahan berkaitan dadah amatlah menyedihkan kita. Apatah lagi apabila mengetahui bahawa sebahagian besar mereka adalah graduan universiti yang bijak yang sepatutnya boleh membantu pembangunan negara. Alangkah ruginya negara kehilangan bakat dan intelek seperti mereka ini.

Berbalik kepada saranan Menteri Luar di atas, penulis ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Rais atas syornya itu. Malah dalam banyak keadaan lainpun sebenarnya agama telahpun menyediakan panduan bagaimana menangani setiap permasalahan. Penulis menyokong sebarang usaha yang meletakkan agama sebagai suatu cara hidup, bukan dipilih-pilih bila ketikanya mahu mengikut agama dan bila waktunya meminggirkan agama. Keindahan agama Islam hanya akan dikecapi dan dinikmati bersama sekiranya kita mengambil agama secara keseluruhannya.

Sudah sampai masanya setiap polisi yang ingin digarap oleh kerajaan kita menoleh kembali apa yang disajikan oleh agama. Sajian agama ini memberikan santapan yang mantap bagi memelihara diri dan keluarga. Mungkin suatu ketika dahulu sebahagian umat Islam melihat agama sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Ia sebenarnya adalah tersasar dari landasan yang sebenarnya. Ia adalah hasil dari kecetekan kefahaman Islam itu sendiri. Dari aspek sains dan teknologi juga telah dibuktikan bahawa agama Islam telah mendahului zamannya dan bukan ketinggalan.

Institusi kekeluargaan ini perlu diperkukuhkan dengan sokongan padu dari pihak kerajaan dan masyarakat setempat. Dengan dilaksanakan syor ini sudah tentulah majikan dan keluarga yang memberi perakuan kepada wanita mengetahui tujuan sebenar wanita ini ke luar negara dan ini akan mengelakkan wanita yang ke luar negara ini diperangkap oleh sindiket dadah antarabangsa.

Bukan itu sahaja, jaringan kekeluargaan antara keluarga juga perlu dipereratkan, pihak keluarga perlu mengetahui ke mana pergi anak gadis mereka, apa yang mereka lakukan dan apakah pekerjaan sebenar mereka. Bukan sekadar melepaskan mereka ke alam pekerjaan sahaja tanpa memantau aktiviti mereka.

Pendekatan yang diambil oleh Rais ini adalah pendekatan yang terbaik yang harus dicontohi oleh menteri-menteri lain. Insya Allah suatu masa nanti kita akan mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan melalui pendekatan agama. Pendekatan ini adalah pendekatan yang terbaik yang telah dijamin oleh Allah. Sebagai orang Islam sentiasalah kita melihat sesuatu isu atau perkara itu dari lensa Islam. Kacamata agama ini akan memberikan kehidupan terbaik kepada kita di dunia dan akhirat.

Sudah sampai masanya kita mendasari setiap tindakan serta perancangan kita dengan berpaksikan kepada agama. Agama, khususnya Islam sudah lama sebati dalam jatidiri orang Melayu dan merupakan alternatif terbaik bagi setiap permasalahan. Tidak guna kita tercari-cari penyelesaian di dalam budaya lain sedangkan kita tidak melihat ke dalam diri kita sendiri. Islam adalah sebuah kehidupan yang amat cantik susunaturnya, oleh itu susunan tersebut tidak harus dirungkaikan kerana akan punah masyarakat jika kita tidak menggunakan panduan yang telah digariskan itu.
_____________