Thursday, April 3, 2008

Siapa Jadi Menteri Besar?

Artikel ini adalah pendapat Presiden PGSM berkenaan isu terkini pemilihan Menteri Besar dan Aku edit dan tambah sebahagiannya.. Tulisan ini sepatutnya disiarkan dalam Berita Harian pada 2 April 2008 tetapi tidak disiarkan. Justeru ia diletakkan di sini untuk rujukan..

___________

Kemelut Perundangan: Kuasa Siapa Melantik Menteri Besar
Oleh: Zainul Rijal Abu Bakar


Negara kita menyaksikan beberapa insiden kemelut perundangan yang melanda selepas Pilihan raya Umum ke 12 baru-baru ini. Ia termasuklah mengenai urusan pelantikan Menteri Besar di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Walaupun ia telah dapat diselesaikan, kesan dari apa yang berlaku ini akan terus diperkatakan oleh rakyat jelata, ahli akademik dan juga pengamal undang-undang. Ia juga akan sentiasa diingati oleh parti-parti siasah pada pilihan raya yang akan datang.

Di negeri Perlis, walaupun Barisan Nasional menang besar namun calonnya untuk jawatan Menteri Besar tidak mendapat perkenan daripada Raja. Perkara yang sama juga berlaku di Negeri Terengganu. Akhirnya perkenan Raja Perlis dan Majlis Pemangku Raja Terengganu dituruti.

Manakala di negeri Perak pula, Pemangku Raja, Raja Dr Nazrin enggan menggunakan budi bicara baginda melepaskan syarat bahawa seorang Menteri Besar hendaklah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Walaupun selepas daripada itu terdapat ‘pergeseran’ calon Menteri Besar antara PAS dan PKR, namun baginda telah menitahkan kesemua ADUN dari Barisan Rakyat untuk menulis persetujuan melantik Menteri Besar dari kalangan ADUN PAS. Oleh yang demikian Menteri Besar dapat dilantik walaupun bukan dari kalangan parti yang mempunyai kerusi terbanyak. Tiada pelantikan jawatan Timbalan Menteri Besar dari kalangan bukan Melayu sebagaimana yang diuar-uarkan.

Pada masa sama di negeri Selangor, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia juga melalui Setiausaha Sulit Baginda menegaskan pelantikan Timbalan Menteri Besar juga hendaklah dari kalangan ADUN yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Akibatnya sehingga kini masih belum dilantik Timbalan Menteri Besar Selangor walaupun DAP dikatakan beria-ia inginkan kerusi tersebut.

Negeri Pulau Pinang pula menyaksikan ADUN dari DAP telah dilantik sebagai Ketua Menteri dan dua orang Timbalan Ketua Menteri telah dilantik masing-masing seorang Melayu dan seorang berketurunan India. Negeri yang tidak mempunyai Raja Melayu ini dapat melantik Ketua Menterinya dengan kadar yang agak cepat kerana Yang Di-Pertuan Negeri tidak mempunyai peranan yang banyak dalam memilih Ketua Menteri sebagaimana yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu.

Melihat kepada apa yang berlaku, timbul persoalan tentang bagaimana sebenarnya kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu. Apakah Raja-Raja Melayu hanya bertindak atas nasihat sahaja dan benarkah had kuasa baginda dikongkong setakat upacara keagamaan dan adat Melayu sahaja. Tindakan Raja-Raja Melayu di atas dikatakan manifestasi kepada campur tangan Raja-Raja Melayu dalam urusan pentadbiran termasuklah pelantikan Menteri Besar.

Dari sudut perundangan, Menteri Besar adalah jawatan amat penting bagi mentadbir sesebuah negeri kerana beliau juga merupakan ‘Ketua Pegawai Eksekutif’ sesebuah negeri. Bertitik tolak dari isu ini, timbul satu lagi persoalan sama ada campur tangan ini mempunyai asas perundangan ataupun sebaliknya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh kebanyakan negeri Yang Di Pertuan Agong dan Sultan boleh melantik Perdana Menteri/ Menteri Besar yang pada pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat / Dewan Undangan Negeri. Dalam hal yang demikian, kuasa melantik Perdana Menteri/Menteri Besar sebenarnya terletak di tangan Yang Di Pertuan Agong/Sultan. Perlu juga kita ambil perhatian bahawa Duli-Duli Yang Maha Mulia ini tidak boleh di bawa ke mana-mana mahkamah dalam menjalankan tugas rasmi baginda.

Oleh itu dari sudut perundangan, adalah jelas bahawa tiada sesiapapun boleh mempersoal, memperkecil ataupun melanggar titah perintah Duli-Duli Yang Maha Mulia ini dari sudut keabsahan dan kedudukannya.

Ketika isu ini diperbahaskan, ada suara yang mengatakan bahawa undang-undang ini adalah undang-undang lapuk dan perlu dipinda. Ia dipelopori oleh sebahagian orang yang tidak berpuas hati tentang kedudukan perundangan pada masa ini. Sebenarnya tidak timbul isu bahawa undang-undang ini adalah undang-undang lapuk atau ketinggalan zaman, Penulis melihat keadaan ini menzahirkan pandangan jauh golongan nenek moyang kita terdahulu, seolah-olah mereka telah dapat meneka apa yang akan terjadi pada suatu masa kelak.

Campur tangan Raja-Raja adalah amat perlu dalam banyak perkara bagi melindungi dan memelihara agama Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Ini sejajar dengan sumpah Yang Di Pertuan Agong semasa menaiki tahta baginda yang bersumpah dengan nama Allah akan mempertahan dan memelihara Islam di Malaysia.

Pada masa dahulu ahli masyarat mungkin terlepas pandang terhadap undang-undang ini kerana negara tidak diharungi oleh tsunami politik sebagaimana melanda pada 8 Mac 2008 lalu. Pada masa tersebut langsung tidak ada isu tentang calon Menteri Besar di sesebuah negeri, kalau adapun ia dapat diselesaikan secara dalaman tanpa perlu merujuk dan mengkaji kedudukan undang-undang.

Hakikatnya, tidak boleh diterima akal bagaimana seorang Menteri Besar yang tidak diperkenan oleh Sultan dapat mengatur pembangunan negeri dan memelihara kedudukan Islam. Sultan dan Menteri Besar adalah dua komponen penting yang berperanan besar dalam memajukan sesebuah negeri.

Malahan adalah tidak adil juga sekiranya Menteri Besar bukan seorang Melayu Islam kerana jawatan tersebut banyak melibatkan hal ehwal pentadbiran agama Islam dan adat Melayu di negeri terlibat. Majlis-Majlis Agama juga akan terkesan dalam situasi ini apabila Menteri Besarnya adalah dari kalangan bukan Islam.

Peruntukan Undang-undang yang sedia ada harus diperkukuhkan bagi menentukan kepentingan orang Melayu/Islam sentiasa dilindungi berdasarkan sejarah tanah air.
Raja-Raja Melayu sebenarnya adalah benteng terakhir bagi kemuliaan Islam dan kedudukan orang Melayu. Walaupun Raja-Raja Melayu tidak mencampuri urusan politik kepartian, baginda perlu dalam semua keadaan meletakkan kepentingan agama mengatasi segalanya sejajar dengan sumpah baginda mempertahan dan memelihara Islam.

Menelusuri sejarah Raja-Raja Melayu pula, adalah jelas rakyat jelata mentaati Raja-Raja Melayu tanpa berbelah bahagi. Baginda Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa yang amat luas sebelum kedatangan penjajah. Sedikit demi sedikit penjajah telah menghakis kuasa Raja-Raja Melayu. Walaupun begitu peranan Raja-Raja Melayu tidaklah boleh dinafikan. Dalam hal ehwal Islam, Raja-Raja Melayu adalah ketua agama bagi negeri mereka.

Raja-Raja Melayu pula mendapat nasihat daripada Majlis Agama Islam yang bertanggungjawab menasihati Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri dalam hal berkaitan dengan agama Islam. Di sini peranan Majlis Agama Islam adalah penting bagi memberi nasihat kepada baginda dan Majlis Agama Islam mestilah benar-benar bebas, profesional dan betul dalam menggarap dan memberi nasihat kepada baginda.

Penulis tidak berhasrat untuk berpihak kepada mana-mana kepartian, tetapi apa yang penting adalah kedudukan undang-undang diperjelaskan dan yang paling penting ialah ketinggian Islam dapat diperkukuhkan dalam apa jua cara yang dibenarkan oleh Undang-Undang.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com/.