Saturday, April 5, 2008

Resolusi Seminar Semakan Korpus Undang-undang IKIM

Resolusi Seminar tersebut telah mendapat liputan dan bangkangan dari banyak pihak termasuklah Persatuan Bukan Islam, Sister in Islam, Bar Council dan lain-lain terutama melibatkan cadangan mendakwa orang bukan Islam yang bersubahat melakukan jenayah syaraiah bersama yang Islam. Presiden PGSM telah mengeluarkan Kenyataan Media dan aku bagi pihaknya telah menghantar hampir ke semua media termasuklah Bernama, TV3, NST,Star, Berita Harian, Utusan, Harian Metro, dan webs juga iaiatu Malaysiakini dan sebagainya..

Dibawah ini adalah suratku sebagai cover letter kepada semua media tersebut..
_______________

Salam,
Isu Resolusi Seminar Semakan Semula Korpus Undang-undang Islam di Malaysia telah dibahaskan dengan panjang lebar dan dibantah oleh pelbagai pihak bukan Islam. Demi memberi penerangan yang benar dan membawa pendirian Pengamal Undang-undang Syariah, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengeluarkan kenyataan media ini untuk tindakan pihak tuan sebagai media massa yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat negara ini.

Justeru, kami berharap agar pihak media tuan dapat menyiarkan kenyataan media kami untuk perhatian dan rujukan semua. Disertakan di bawah ini Kenyataan Media Presiden PGSM.
Kerjasama tuan diucapkan terima kasih.

Yang benar,
Puan Nurhidayah Muhd Hashim
EXCO PGSM
b/p Presiden PGSM


_________________________

Kenyataan Media Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Berkenaan Resolusi Seminar Semakan Korpus Undang-undang Syariah
Oleh:
Hj Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden PGSM


Resolusi yang dikeluarkan hasil Seminar Semakan Semula Korpus Undang-Undang Islam Di Malaysia: Keperluan Dan Cabaran antara lain telah mengutarakan cadangan supaya penglibatan secara bersama antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesuatu kesalahan atau jenayah syariah hendaklah dihukum dengan hukuman yang setimpal. Cadangan ini jika dilaksanakan akan memberi kesan umpamanya dalam kes khalwat di mana salah seorang pasangannya adalah bukan Islam, maka dia juga hendaklah didakwa dan dijatuhi hukuman sekiranya disabitkan bersalah. Namun seminar berpandangan pendakwaan tersebut hendaklah dilakukan di mahkamah sivil.

Golongan bukan Islam seperti Malaysian Consultative Council of Budhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Toaism serta beberapa NGO lain menentang keras cadangan ini dengan mengatakan undang-undang syariah tidak terpakai kepada orang bukan Islam dan menafikan hak orang bukan Islam itu sendiri.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong sepenuhnya resolusi yang dibincangkan oleh pakar-pakar perundangan dan syariah tanah air. Pakar-pakar yang mahir dalam bidang masing-masing ini sudah tentulah mengambil kira semua sensitiviti dan kedudukan undang-undang sebelum menggarapnya sebagai cadangan.

Sebenarnya tidak timbul isu mengenakan atau menguatkuasakan undang-undang syariah ke atas orang bukan Islam kerana pendakwaan akan dibuat di mahkamah sivil. Bukankan salah satu teras negara yang termaktub di dalam Rukun Negara ialah Kesopanan dan Kesusilaan? Oleh yang demikian undang-undang moral boleh digubal bagi menangani masalah moral masyarakat.

Apakah kita lupa bahawa membina masyarakat bermoral dan berakhlak mulia merupakan prinsip asas kenegaraan ini? Lantaran jika kita ingin menghapuskan undang-undang moral maka prinsip kelima Rukun Negara ini pun hendaklah ditiadakan.

Jika kita menelusuri sejarah dan hakikat undang-undang jenayah pun kita akan dapati bahawa undang-undang jenayah ini sebenarnya berakar-umbi dari undang-undang mora. Undang-Undang sebenarnya bersandarkan moral manakala moral pula bersandarkan kepada agama. Umpamanya kesalahan membunuh secara tidak sah, sebelum ia memperundangkan atau ditaqninkan menjadi undang-undang jenayah, ia adalah kesalahan moral yang amat dibenci oleh masyarakat.

Secara hipotetikal pula, sekiranya undang-undang moral ini dihapuskan, apa yang akan berlaku jika terdapat orang yang melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan mata kita atau keluarga kita? Biarkan sahaja mereka dengan hak asasi mereka? Biarkan sahaja anak-anak kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan dalam keadaan kita tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mencegahnya?
Jika ia merujuk kepada isu hak asasi pelaku tersebut, bagaimana pula dengan hak asasi kita yang jijik terhadap perbuatan tersebut. Apakah hak kita untuk hidup dalam tenang tanpa melihat perbuatan seperti itu?

Jika kita bercakap tentang hak orang bukan Islam untuk melakukan khalwat, berzina dan sebagainya, adakah mereka ini mempunyai hak untuk melanggar undang-undang syariah? Sekiranya salah seorang pasangan adalah bukan Islam, maka adakah mereka mempunyai hak untuk berzina sehingga melahirkan anak-anak luar nikah tanpa didakwa? Malah dalam beberapa agama selain Islam juga telah meletakkan perzinaan adalah suatu kesalahan yang berat.

Kenapa pula kita sering mengamalkan ‘double standard’ terhadap Islam? Apabila ia tidak berkaitan dengan Islam, kita amat mudah menerimanya tetapi tatkala nama Islam muncul maka kita resah, menentang dan menyangkal tanpa memberikan justifikasi yang adil terhadap Islam.

Umpamanya, sekiranya seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung pergi ke Sabah atau Sarawak dan di sana beliau telah melakukan suatu kesalahan yang melanggar undang-undang adat peribumi Sabah dan Sarawak. Orang ini akan tetap dihukum melalui undang-undang adat tersebut walaupun beliau berasal dari Semenanjung. Ini tidak bermakna kita menjadikan beliau sebagai peribumi Sabah dan Sarawak. Begitu juga perbandingannya bagi undang-undang Islam dalam aspek yang terlalu sedikit ini, tidak bermakna menjadikan mereka orang Islam.

Pengenaan tindakan terhadap orang bukan Islam dalam hal yang berkaitan dengan orang Islam adalah kena pada masanya bagi mengelakkan keresahan di kalangan orang Islam sendiri. Ia sebenarnya tidak langsung memaksa orang bukan Islam menganut agama Islam. Malah ia selari dengan Rukun Negara menekankan peri pentingnya kesopanan dan kesusilaan disemat di dalam diri setiap warganegara Malaysia. Ia adalah jati diri rakyat Malaysia.

Cadangan seminar ini juga tidak berkaitan dengan persoalan Perlembagaan kerana orang bukan Islam ini hanya akan didakwa di mahkamah sivil bukannya di mahkamah syariah.

PGSM mendesak agar semua pihak berlaku adil dalam memberi pendapat dan tidak membuat serangan melulu tanpa justifikasi yang wajar terhadap Resolusi Seminar Penyemakan Korpus Undang-undang Islam yang telah diisytiharkan itu.

Sekian
Hj Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden PGSM
4 April 2008