Thursday, April 10, 2008

Nak daftar Nikah Lagi?

Hak Muslim ini dijawab oleh Siti dan disiarkan dalam Berita Harian hari ini pada 10 April 2008..

Hak Muslim:
Isteri kedua tunggu panggilan mahkamah syariah
Oleh: Siti Razasah Abd Razak


Soalan:

MERUJUK artikel Hak Muslim mengenai isteri kedua yang menghadapi masalah daftar kelahiran, saya juga melalui pengalaman sama. Saya bernikah dengan suami di Gopeng, Perak, berwalikan bapa saya. Selepas kelahiran anak, kami ingin mendaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara dan terkejut mendapati sijil nikah kami tidak sah. Kami merujuk perkara itu ke Pejabat Agama Islam Selangor, daerah tempat tinggal pada April 2007. Selepas disoal siasat Bahagian Undang-undang dan Pegawai Penguatkuasa, didapati perkahwinan kami sah mengikut hukum syarak. Cuma, kami masih menunggu dipanggil Mahkamah Syariah daerah untuk penalti kesalahan berkahwin poligami tanpa kebenaran dan jurunikah itu sudah tamat tempoh lesen juru nikahnya. Selepas membaca artikel itu, saya terkilan dengan pejabat agama kerana hingga kini masalah kami masih tidak dapat diselesaikan dan masih menunggu dipanggil pihak mahkamah. Sudah berkali-kali kami bertanyakan kelewatan yang bagaikan tidak diterima akal. Kenapa tiada seorang pun pegawai pejabat agama memberitahu kami untuk meminta pengakuan pihak mahkamah terlebih dulu tanpa menunggu selesainya keputusan penalti berkenaan. Saya berharap pihak tuan dapat memberitahu cara membuat permohonan pengakuan mahkamah. Adakah saya masih perlu pergi ke Pejabat Agama Islam Selangor untuk permohonan atau terus ke Mahkamah Syariah.
Isteri kedua,
Kuang, Selangor.


Jawapan:
TERIMA kasih atas maklum balas puan terhadap artikel berkenaan. Jika puan teliti semula, artikel itu ada dinyatakan mengenai prosedur pengesahan dan pendaftaran pernikahan adalah berbeza menurut negeri.

Isu berkaitan agama Islam adalah di bawah Akta/Enakmen Pentadbiran negeri termasuk prosedur pengesahan dan pendaftaran pernikahan. Artikel itu merujuk kepada persoalan permohonan pengesahan dan pendaftaran nikah di Wilayah Persekutuan. Prosedur yang puan nyatakan dan lalui adalah prosedur diguna pakai di Selangor pada masa ini dan ia berbeza dengan prosedur di Wilayah Persekutuan. Bahagian Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam daerah tempat tinggal puan adalah rujukan pertama berkaitan pengesahan pernikahan. Di bahagian itu, puan, suami, wali dan saksi pernikahan akan disoal siasat Pendaftar Nikah berkaitan rukun nikah.

Kemudian, bahagian itu akan mengeluarkan laporan sama ada pernikahan puan sah atau tidak. Ia berbeza di Wilayah Persekutuan kerana setiap pernikahan mesti disahkan oleh Hakim Syarie melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah. Di Selangor, apabila laporan dikeluarkan menyatakan pernikahan puan adalah sah, kes puan akan dipanjangkan ke Bahagian Penguatkuasaan Syariah di jabatan agama Islam daerah yang sama dengan Bahagian Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk tadi.

Bahagian Penguatkuasaan Syariah biasanya sekali lagi akan menyoalsiasat serta mengambil segala keterangan dan dokumen berkaitan pernikahan. Selepas itu, Bahagian Penguatkuasaan Syariah akan menyediakan kertas siasatan dan laporan siasatan untuk dipanjangkan ke Bahagian Pendakwaan Syariah. Bahagian Pendakwaan Syariah jabatan agama Islam daerah sama akan menyediakan kertas pertuduhan untuk mendakwa pihak pernikahan itu mengikut kesalahan jenayah syariah. Dalam kes puan, kesalahan berpoligami tanpa kebenaran dan bernikah menggunakan jurunikah sudah tamat lesen.

Melalui kertas pertuduhan, barulah Bahagian Pendakwaan Syariah melalui Ketua Pendakwa Syarienya memfailkan kertas pertuduhan ke Mahkamah Syariah untuk mendakwa suami dan isteri yang dikenali sebagai orang kena tuduh. Apabila Bahagian Pendakwaan Syariah sudah memfailkan kertas pertuduhan di Mahkamah Syariah, pada hari sama, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan saman untuk memanggil pihak hadir ke Mahkamah Syariah biasanya dalam tempoh sebulan daripada tarikh kertas pertuduhan difailkan.

Oleh itu, Mahkamah Syariah tidak akan mengeluarkan saman atau memanggil mana-mana pihak ke Mahkamah Syariah sehinggalah kertas pertuduhan difailkan oleh Bahagian Pendakwaan Syariah. Amalan di Selangor pada masa kini, pihak perlu disabitkan dengan kes jenayah syariah terlebih dulu selepas laporan pengesahan pernikahan dikeluarkan Pendaftar Nikah. Selepas sama ada pihak dikenakan penalti/denda, penjara atau kedua-duanya sekali, barulah pihak boleh membuat permohonan pendaftaran pernikahan di Mahkamah Syariah, bukannya permohonan pengesahan pernikahan kerana pernikahan itu sudah disahkan melalui laporan Pendaftar Nikah.

Walaupun ada pendapat menyatakan hanya Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa untuk mensabitkan sama ada sesuatu pernikahan sah atau tidak selepas mendengar keterangan pihak serta saksi dan dokumen yang menyokong pernikahan itu. Berkaitan permasalahan puan, adalah dinasihatkan supaya berhubung semula dengan pihak berkenaan iaitu Bahagian Pendakwaan Syariah di jabatan agama Islam tempat puan mendapat laporan pengesahan pernikahan.

Jika masih tidak berpuas hati, puan boleh merujuk kepada Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Negeri Selangor sama ada kertas pertuduhan terhadap puan sudah difailkan ke Mahkamah Syariah.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo. com. Layari http://peguamsyarie. blogspot.com