Thursday, March 13, 2008

Suami Ada Hubungan Luar

Soal jawab Hak Muslim telah disiarkan dalam Berita Harian 6 Feb 08

Suami ada Hubungan Luar

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Soalan

Saya ingin bertanya pihak tuan mengenai masalah yang dialami oleh adik perempuan saya. Beliau telah berkahwin selama 5 tahun bersama seorang anggota beruniform. Semenjak tahun lepas, beliau selalu mengadu kepada saya bahawa suaminya mempunyai hubungan luar dan mereka selalu bergaduh. Katanya apabila dia bertanyakan apa-apa soalan mengenai perempuan tersebut, suaminya akan memarahinya, memanggilnya dengan panggilan kasar seperti perempuan tak sedar diri, perempuan pelacur dan sebagainya. Ada juga mereka bergaduh sehingga pukul memukul. Minggu lepas saya telah membawa adik saya ke klinik kerana adik saya telah dipukul dengan teruk dan ditampar di pipi sehingga lebam. Saya sangat kasihankan adik saya tetapi tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Apatah lagi adik saya sangat risau jika ibu bapa mengetahui rumah tangganya bermasalah kerana mereka berkahwin dulu atas dasar suka sama suka. Apakah yang boleh saya lakukan?

Kak Long
Selangor


Jawapan

Puan telah menunjukkan sikap prihatin yang sangat baik terhadap adik yang bermasalah tersebut. Adik puan juga wajar bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai tempat untuk mengadu seperti puan.


Adik puan berdepan dengan pelbagai masalah yang bermula dengan isu hubungan luar dengan perempuan lain. Permasalahan dan pergaduhan serta pukul memukul tersebut adalah rentetan yang berlaku sebagai kesinambungan perselisihan atas isu tersebut.


Perkahwinan memang selalu diselang seli dengan perselisihan tetapi apabila melibatkan pergaduhan besar seperti maki hamun, menggunakan perkataan menghina yang tidak sepatutnya, apatah lagi pukul memukul, maka ia bukan perkara biasa lagi.


Suami adik tersebut telah melakukan tindakan yang tidak wajar dan berlawanan dengan prinsip peranan, tanggungjawab dan penunaian hak di antara suami isteri. Saya menasihatkan agar puan selaku kakak memberi bantuan moral di samping sokongan lain sebagai orang terdekat supaya adik puan mampu untuk berusaha menyelesaikan masalahnya dengan baik.


Sekiranya puan berpendapat bahawa adik ipar puan boleh dibawa berbincang, kami sarankan puan mengambil peranan tersebut. Kemungkinan ada perubahan yang boleh berlaku, Nasihati dengan baik, ingatkan dia dosa yang dilakukan dan kedudukan adik puan sebagai isterinya yang sah. Puan boleh mengingatkannya bahawa perkahwinan adalah hubungan kasih sayang atau mawaddah dan rahmah.

Sekiranya tujuan perkahwinan sudah tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada pihak sama ada isteri atau suami, maka pada ketika itu, kemungkinan perceraian adalah jalan terakhir yang wajar disarankan.


Oleh kerana adik puan dan suaminya selalu bergaduh, pukul memukul apabila isu hubungan luar ditimbulkan, bahkan membawa kepada maki hamun dengan perkataan tidak bai, sudah tentu sebarang usaha untuk menasihati suaminya jika dilakukan oleh adik puan secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga. Sekiranya puan sebagai kakak tidak mampu menasihati suami tersebut, puan boleh mencadangkan kepada adik tadi supaya berusaha meminta bantuan dari pihak ketiga seperti kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling di tempatnya bekerja atau sesiapa saja yang suami hormati.

Ibu bapa puan sewajarnya mengetahui masalah ini kerana mungkin mereka boleh menolong mengatasinya dengan lebih baik. Bagaimanapun, adik puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya ia tidak akan diperbesar dan menimbulkan kekecohan. Perantara itu mestilah orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara ini kepada orang lain. Perantara ini juga perlu tahu peranan yang hendak dimainkan dan boleh memberikan nasihat kepada suami secara berkesan.

Carilah perantara yang sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga. Apa yang penting adik puan sendiri tidak boleh duduk menangisi apa yang berlaku tanpa sebarang usaha untuk membaikinya kerana Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha membaikinya.Sekiranya segala daya usaha telah dijalankan, tetapi keadaan masih tidak berubah atau menjadi lebih negatif dan membawa mudarat yang lebih besar, maka kami cadangkan agar adik puan memikirkan kebajikan dirinya dan anak-anak jika terus bertahan dalam rumah tangga sebegini.


Adik puan wajar mendapatkan nasihat undang-undang dari mana-mana orang yang berkeahlian seperti Peguam Syarie berdekatan dan sebagainya. Apabila beliau selalu dipukul, ditampar dan dihina dengan panggilan tidak munasabah seperti dinyatakan, maka ia adalah alasan yang diterima Syara’ untuk perkahwinan tersebut dipisahkan. Puan boleh merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 di mana alasan-alasan tersebut diterima sebagai dasar untuk memohon fasakh.


Sekiranya adik puan masih ingin bertahan dalam rumah tangga tersebut, maka mungkin ada beberapa cadangan lain yang boleh difikirkan olehnya. Contohnya jika suami layak dan berkemampuan serta boleh berlaku adil, mungkin adik puan mungkin boleh menyarankan suaminya berkahwin lain dengan syarat tertentu seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam.

Selepas berusaha, berserah dan berdoalah kepada Allah. Ajaklah adik puan untuk selalu mendekatkan diri dengan Allah dan berdoalah kepada-Nya bagi membuka hati suami dan menanam benih kesedaran di dalam jiwa suami untuk berubah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi olehnya saja.

Kami menasihati adik puan dan mana-mana perempuan lain supaya mengambil tahu dan mempunyai ilmu tentang hak masing-masing di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan terpelihara. Sekiranya keadaan men jadi lebih berbahaya dan adik puan berasa khuatir keselamatannya akan terancam, beliau boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapat perintah tegahan bagi menghalang suami daripada mengganggu, memukul atau mencederakannya.


Kami juga menasihati beliau supaya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan dan laporan perubatan apabila keadaan memerlukan. Ia mungkin berguna sebagai bahan bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah di kemudian hari.


Kesimpulannya, sekiranya matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah, namun, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat. Semoga masalah beliau dapat diatasi dengan baik.

Jawapan disediakan oleh Nurhidayah Muhd Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com