Thursday, March 20, 2008

Pesanan Untuk Suami

Hak Muslim disiarkan dalam Berita Harian pada 20 Mac 08:




Bakal suami perlu persediaan minda, fizikal

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Soalan
SAYA seorang lelaki yang tidak konsisten mengerjakan sembahyang. Kadang-kadang saya terlalu sibuk dengan kerja atau tersangat letih, saya akan tinggalkan solat begitu saja. Kadang-kadang saya berasa bersalah, tetapi ia selalu terjadi. Saya ada juga keluar berhibur di Hard Rock Cafe dengan tunang dan kawan-kawan. Dalam masa lima bulan lagi, saya akan berkahwin, tetapi beberapa minggu ini saya selalu terfikir mengenai perkahwinan saya nanti. Saya khuatir tidak dapat memimpin keluarga dengan baik selepas perkahwinan. Persoalan yang selalu bermain di fikiran ialah bagaimana keperibadian suami yang patut ditonjolkan kepada isteri. Tambahan pula pengetahuan agama saya agak kurang. Harap tuan dapat memberi nasihat.

Bakal Suami,
Kuala Lumpur.


Jawapan


Terlebih dulu saya ucapkan tahniah kerana saudara sendiri yang ingin berubah dan memikirkan tentang kekhuatiran yang bakal terjadi. Sebagai Muslim, hakikat yang tidak mampu kita tolak adalah kita mesti menyerah diri kepada Allah dan berusaha sedaya upaya mengikut perintah-Nya.



Namun begitu, ada juga di kalangan orang Islam yang suka mengabaikan perintah Allah, meninggalkan solat sesuka hati, tidak memegang amanah, suka minum arak, berzina dan sebagainya. Pada masa sama, tidak ramai orang yang hatinya bercahaya dan berasa bersalah apabila mengabaikan perintah-Nya. Semoga kita semua dibimbing dan diberi petunjuk oleh Allah.


Saudara akan berkahwin tidak lama lagi. Oleh sebab saudara tidak menyebut mengenai bakal isteri, kami andaikan saudara mungkin akan berkahwin dengan wanita yang saudara sukai atas dasar suka sama suka.


Jika ianya benar, bakal isteri saudara sudah tentu telah mengenali kehidupan saudara sebelum ini dan dia mungkin sudah menerima keadaan saudara seperti sekarang ini. Justeru, apabila saudara ingin berubah, maka dia juga perlu saudara bawa bersama dalam perubahan itu.


Bahtera perkahwinan selalu diuji dengan ujian yang pelbagai. Ada yang ketika bercinta seumpama pasangan kekasih hebat, serasi dalam semua perkara tetapi apabila berkahwin, lain pula yang berlaku. Kerana itu orang tua-tua berpesan, warna diri kita atau siapa sebenarnya kita akan terzahir hanya selepas perkahwinan.


Adalah penting bagi saudara mempunyai iman dan ketundukan yang kuat kepada Ilahi bagi memimpin keluarga kelak. Sebagai suami, saudara menjadi ketua keluarga dan diamanahkan Allah untuk memimpin isteri serta mencorakkan perjalanan keluarga. Peranan itu amat besar dan memerlukan persediaan minda, fizikal di samping kewangan yang baik untuk menjayakan urusan nafkah kepada ahli keluarga.


Saudara harus tingkatkan ilmu agama supaya dapat menghayati prinsip agama, solat jangan sama sekali diabaikan kerana ia perisai iman kita. Pelajari halal haram serta peka terhadap keperluan mempunyai ilmu agama.


Imam Syafei pernah menyebut, "Seorang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan mampu memberi sesuatu." Ini bermaksud, jika saudara tidak ada ilmu agama, tidak kuat menjaga halal haram, tidak patuh urusan solat dan rukun Islam, bagaimana saudara dapat memberi tunjuk ajar kepada orang lain sama ada isteri, anak dan keluarga. Sama seperti orang yang tidak tahu membaca al-Quran, bagaimana dia mampu mengajarkan anaknya membaca al-Quran? Untuk mampu memberi sesuatu, kita mesti mempunyainya terlebih dulu.


Kami sarankan saudara berusaha menyusun jadual harian supaya ada masa diperuntukkan untuk mempelajari agama. Selalulah ke masjid, solat jemaah dan mempelajari ilmu agama di sana, bertanya kepada yang fasih serta membaca buku agama yang bertepatan. Saudara juga mungkin boleh menambah ilmu secara formal seperti menghadiri kelas setiap hujung minggu untuk mendapat Sijil Agama sama ada Syariah dan Usuluddin daripada mana-mana pusat pengajian ilmu diadakan di sekitar saudara seperti di Universiti Malaya dan sebagainya.


Saudara harus memiliki hati lembut dan peka akan perasaan isteri. Berusaha meringankan beban isteri dan pandai memujuk tatkala beliau berduka. Saudara juga perlu menjaga keharmonian rumah tangga dan menjaga rahsia suami isteri. Rahsia tidak seharusnya disebarkan kepada pihak ketiga sama ada di kalangan rakan taulan ataupun saudara mara terdekat. Jika kedua belah pihak pandai menjaga rahsia rumah tangga, maka akan muncullah perasaan saling percaya mempercayai antara suami dan isteri.


Saudara wajar menjelaskan kepada bakal isteri mengenai hasrat membina rumah tangga yang baik supaya dia juga turut terbabit ke arah kebaikan dan tidak terkejut selepas berkahwin nanti. Katakanlah dia juga tidak begitu kukuh amalan solatnya, memakai pakaian tidak menutup aurat, sukakan tempat hiburan dan sebagainya, mungkin dia menolak jika selepas berkahwin saudara mendesaknya untuk berubah secara mendadak.


Dalam membina rumah tangga bahagia, rahmat Allah adalah prasyaratnya. Maka, saudara mesti membimbing isteri bersama-sama kerana Allah menyayangi pasangan yang saling bantu-membantu untuk meningkatkan hubungan dengan Allah serta patuh kepada ajaran Rasul-Nya.


Selain itu, saudara juga hendaklah memuliakan keluarga kedua-dua belah pihak. Layan keduanya dengan adil dan terhormat. Jika saudara melawat ibu bapa sendiri, maka saudara juga mesti melawat ibu bapa sebelah isteri. Jika saudara memberi wang setiap bulan kepada ibu bapa sendiri, maka berilah juga kepada ibu bapa mentua. Islam mengajar kita untuk menjaga kebajikan dan meraikan semua pihak kerana ia akan mengeratkan tali persaudaraan. Dengan memuliakan keluarga isteri akan terciptalah ikatan atau jalinan kemesraan yang kukuh.


Jika berlaku perselisihan dan masalah selepas berkahwin, saudara mesti meletakkan perkataan talak jauh-jauh. Jangan begitu mudah mengucapkan lafaz cerai kerana ia akan memberi kesan kepada hubungan suami isteri walaupun ia dilakukan dalam keadaan marah ataupun bergurau.
Dalam membuat keputusan, saudara amalkan kaedah berbincang atau 'bermusyawarah' dengan isteri. Ini sangat penting supaya perkembangan urusan keluarga diketahui bersama termasuklah urusan kewangan, pembelian harta, pembayaran bil, pemberian wang kepada ibu bapa, tatacara mendidik anak dan jadual keluarga.


Dengan selalu berbincang, isteri akan berasa dirinya serta pendapatnya dihargai. Berilah pertimbangan sewajarnya terhadap setiap cadangan diberikan oleh isteri anda dan jangan bersifat mementingkan diri sendiri. Semoga anda berjaya menjadi suami yang baik dan mendapat rumah tangga yang diberkati.



Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com