Thursday, March 20, 2008

PGSM's Press Statement-Kabinet baru

Persatuan Peguam Syarie telah mengeluarkan Press Statement berkenaan Kabinet Baru khususnya mengenai perlantikan Datuk Zahid Hamidi dan Dr Masyitah.. Disertakan di abwah untuk rujukan..
_______________________________

Sekretariat PGSM
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan
Jalan Damansara, 50675 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2274 1499. Fax : 03-2274 1499 Web-site : www.pgsm.org.my

Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Syariah Lawyers Association of Malaysia)




===============================================================

KENYATAAN MEDIA (PRESS RELEASE) SEMPENA PEMBENTUKAN KABINET MALAYSIA 2008


PGSM merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Y.A.B Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sempena pembentukan kabinet Malaysia yang baru.

PGSM juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri yang dilantik. Semoga mereka dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan jaya dan efisien, untuk faedah seluruh masyarakat Malaysia umumnya, dan maslahah umat Islam khususnya.

Sebagai sebuah persatuan yang menaungi semua Peguam Syarie di Malaysia, kami mengharapkan barisan Menteri kabinet yang baru, terutama Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang berkaitan dengan portfolio kehakiman dan perundangan, dapat memainkan peranan yang aktif, inovatif dan agresif dalam usaha menambahbaikkan sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, terutama sistem perundangan dan kehakiman yang berteraskan Syariah.

Datuk Dr Zahid Hamidi adalah lulusan sekolah agama dan seorang yang tegas dalam pendiriannya. Kami yakin beliau boleh mempertahankan kedudukan Islam dalam Kabinet, serta memberi penjelasan sebenar tentang Islam. Dengan pengalaman Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebagai pensyarah, dan pernah memikul portfolio ini sebelumnya sebegai Setiausaha Parlimen, kami juga percaya beliau dapat memainkan peranan dalam menyuburkan syiar Islam di Malaysia secara lebih menyeluruh.

Pihak PGSM bersedia berkerjasama dengan Datuk Dr Zahid dan Dr Mashitah dalam memartabatkan Islam di negara ini.


Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah :-

Mendaulatkan Islam melalui undang-undang dan pelaksanaannya. Islam adalah sebagai agama rasmi negara menurut Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dilihat sebagai tafsiran bersifat ’ceremonial’ sahaja, tetapi perlu diaplikasinya dalam aspek yang lebih menyeluruh. Antaranya :-

(1.1) Peranan penting Islam dalam negara perlu dipertegaskan dan menolak tafsiran Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

(1.2) Mendakwa mana-mana pihak yang mempersendakan Islam, menurut peruntukan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

(1.3) Mempertahan dan memperkasakan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

(1.4) Menggubal dan mewartakan undang-undang menghalang kegiatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam, di Sabah, Sarawak, Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

(1.5) Meningkatkan tahap keberkesanan dan profesionalisme agensi-agensi Islam kerajaan dalam mendaulatkan Islam di Malaysia.

(1.6) Menggubal Akta Makanan dan Pemprosesan Halal bagi memperketatkan syarat dan penguatkuasaan perihal makanan halal.

(1.7) Menyamatarafkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil dari segi perjawatan, penggajian dan kedudukan.

Melipatgandakan usaha untuk menyeragamkan sistem kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia, yang berkaitan institusi kekeluargaan, mal dan jenayah Islam. Semasa kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II tahun 1993, pelbagai pro dan kontra diutarakan oleh ahli-ahli politik, akademik, pengamal undang-undang dan sebagainya. Pada 14 Oktober 1994, Syed Hamid Albar (ketika itu Menteri Undang-undang) semasa membentangkan suatu kertas kerja ada memberi kenyataan yang disiarkan dalam NST pada keesokan harinya (15 Otkober 1994) menyatakan bahawa ’kerajaan pusat akan mengambil langkah untuk memperkenalkan satu undang-undang dengan meneliti kepelbagaian undang-undang Islam yang dipakai di negeri-negeri dan undang-undang Islam tidak sepatutunya dilihat sebagai urusan negeri kerana itu boleh menimbulkan perbezaan undang-undang antara negeri. Untuk itu kerajaan pusat akan menghubungi kerajaan negeri dan pakar dalam bidang Syariah sebelum memperkenalkan satu undang-undang baru.”

Selepas lebih 13 tahun, isu tersebut senyap dan sunyi. Adalah wajar isu ini ditimbulkan semula supaya satu usaha diperingkat nasional boleh dibuat bagi memperkenalkan undang-undang Islam yang seragam antara negeri-negeri.

Memperluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah, antaranya ;

(2.1) Mencadangkan pindaan kepada Senarai 2 Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan bagi meluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

(2.2) Akta Mahkamah Syariah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (disemak 1988) perlu disemak semula dan dipinda. Perlu dimasukkan satu peruntukan bahawa ’orang bukan Islam yang terlibat sama sebagai pasangan dalam kes-kes jenayah Syariah boleh dikenakan hukuman seperti pesalah orang Islam. Pelaksanaan undang-undang Islam di dalam masyarakat bukan Islam, Islam menetapkan bahawa ia hendaklah dilaksanakan semua bidang undang-undang Islam termasuk jenayah, sivil dan keluarga. Cuma undang-undang keluarga diberi pilihan sama ada mereka ingin mengikut undang-undang Islam atau undang-undang keluarga mereka. Firman Allah s.w.t ”dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka...” – al-Maidah ayat 49.

(2.3) Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (disemak 1988) perlu disemak semula dan dipinda. Seksyen 2 memperuntukkan ”Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang dalam sebuah negeri dan diberi kuasa ke atas orang-orang yang menganut agama Islam mengenai mana-mana perkara yang disenaraikan dalam senarai 2, senarai negeri jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan terhadap ajaran-ajaran Islam oleh orang-orang yang menganut agama itu seperti yang diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang negeri ; dengan syarat bidangkuasa itu tidak boleh dijalankan mengenai mana-mana kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara untuk masa lebih 3 tahun atau dengan denda melebihi 5 ribu ringgit atau sebat lebih daripada 6 pukulan atau dengan gabungan mana-mana hukuman itu”. Bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan had hukuman kepada pesalah jenayah Syariah perlu ditambah daripada 3 ; 5 ; 6, kepada 6 ; 10 ; 12, iaitu 6 tahun penjara atau denda melebihi 10 ribu ringgit atau sebat tidak lebih 12 pukulan.

Merealisasikan penggubalan Akta Profesion Peguam Syarie bagi mengawalselia semua Peguam Syarie yang beramal di Mahkamah Syariah seluruh negara, sepertimana Akta Profesion Peguam (LPA) yang menaungi dan mengawal selia Peguambela dan Peguamcara seluruh negara.

Mencari titik pertemuan dan kaedah terbaik untuk menyelesaikan konflik perundangan dan pertindihan bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Kami pengamal undang-undang Syariah di Malaysia amat mengharapkan barisan kabinet yang baru ini dapat mengadakan pembaharuan positif ke arah menambahbaik sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, terutama sistem perundangan dan kehakiman Syariah.

Sekian, untuk siaran.

Yang benar,




MUSA BIN AWANG
Setiausaha Agong
Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
019-3870105