Thursday, February 8, 2007

Tindakan Artis Burukkan Khadijah

Peguam Syarie Menulis: Pendapat persenda agama gugat akidah
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

'
HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

MASYARAKAT sangat terkejut dengan tindakan seorang artis ketika menyebut umur Khadijah ketika Rasulullah mengahwininya dalam satu rancangan televisyen pada 30 Januari lalu.Rancangan itu disiarkan secara langsung dan seluruh rakyat yang menontonnya mendengar kata-kata yang diucapkan itu. Penonton dalam rancangan pula dikatakan bertepuk tangan seolah-olah tidak berasakan kenyataan itu adalah satu kesalahan.

Sebelum ini, kita pernah mendengar kenyataan yang seumpamanya daripada banyak pihak. Mungkin ada yang masih ingat seorang artis pernah menyatakan bahawa seorang pelakon berpegang tangan dan berpeluk ketika melakonkan watak dalam filem adalah wajar atau dibenarkan kerana dibandingkan dengan tugasan doktor yang memegang pesakit untuk tujuan berubat. Begitu juga dengan kenyataan bahawa amalan berpoligami dalam Islam adalah suatu amalan ortodoks yang ketinggalan zaman dan wajar ditolak.

Pepatah orang tua ada menyatakan, 'Terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak kata, buruk padahnya.'Sekiranya ada orang mengambil barang kita tanpa izin, mungkin kita akan memaafkannya apabila barang dipulangkan. Tetapi jika dia menyebut kata-kata yang pedas dan menghina sehingga menghiris hati kita, mungkin ia sukar untuk dimaafkan.

Kita semua sering melakukan kesilapan sama ada dalam sedar atau tidak. 'Semua anak Adam melakukan kesilapan, dosa dan yang paling baik adalah apabila melakukan dosa, mereka bertaubat dan memohon ampun. Demikianlah saranan Rasulullah kepada kita apabila melakukan sesuatu kesilapan.Hadis ini membuktikan kecantikan Islam yang memberi peluang kepada manusia untuk membaiki diri selepas melakukan kesalahan.

Namun begitu, kedudukan melakukan kesilapan berbeza mengikut keadaan pelaku ketika kesilapan dibuat. Seseorang yang minum arak dengan niat untuk minum dan sedar hukum perbuatan itu adalah dosa maka dia bertanggungjawab atas kesilapannya.Dosa melakukan kesalahan itu akan dibebankan ke atasnya. Berbeza dengan seorang yang jahil atau tersilap meminum arak kerana beranggapan ia adalah air biasa.

Dalam kes diatas, Pengarah Jakim menasihatkan pelakon itu menarik balik kata-katanya dan meminta maaf secara terbuka. Beliau mematuhinya. Sesuatu yang menarik apabila Pengarah Jakim membuat perbandingan iaitu 'Dia nak minta maaf pada siapa? Siti Khadijah dah wafat, Nabi Muhammad pun dah wafat...' Jadi permohonan maaf terbuka yang ditujukan kepada 'mana-mana pihak yang berasa tersinggung..' apakah sudah dianggap memadai? Hanya Allah yang mengetahui dan semoga ia dilakukan dengan penuh keinsafan dan taubat yang sebenar-benarnya.

Membuat kenyataan dan memberi pendapat adalah lumrah dan sebahagian daripada kehidupan. Namun apabila ia membabitkan isu sensitif dalam agama, ia tidak boleh dibuat melulu dan mengikut kata hati. Agama adalah pedoman untuk diamal dan dipegang kerana ia menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kesuciannya mesti dipelihara. Kenyataan yang salah dan bercanggah mungkin membabitkan penghinaan kepada dasar agama dan ia boleh menggugat akidah. Atas dasar itu, sebelum mengeluarkan sebarang pendapat atau kenyataan, kita perlu berfikir kesannya. Walaupun jika dilakukan dengan tujuan bergurau atau membuat kelakar.

Apabila seseorang mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan kepada agama dan intinya, maka apakah ia satu jenayah menurut undang-undang Syariah di negara ini? Merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, Bahagian III memperuntukkan pelbagai kesalahan yang berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya.

Seksyen 9 memperuntukkan satu kesalahan apabila seseorang menyebut atau melakukan perbuatan yang menunjukkan ia mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat al-Quran atau hadis.Ini bermaksud, jika ada orang yang menyebut apa-apa perkataan yang menghina al-Quran atau hadis, menyatakan al-Quran atau Sunnah sudah tidak relevan dengan zaman, mempersenda hukum yang ada atau mempermainkan isi kandungannya maka itu satu kesalahan. Sama juga jika seseorang membuat sesuatu perbuatan seperti membuang al-Quran kerana mempersendakan, itu juga adalah kesalahan di bawah Enakmen ini.

Begitu juga apabila seseorang menyebut atau membuat perbuatan sehingga membuatkan orang lain pula menghina al-Quran dan hadis, maka semua itu adalah kesalahan dan jika sabit, pesalah boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.Seksyen 10 pula memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang dengan perkataan dapat didengar atau dibaca atau dengan tulisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang boleh difahami menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, mempersendakan, mengajuk-mengajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam atau mempersendakan peruntukan undang-undang Syariah maka ia melakukan kesalahan dan jika sabit boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Namun begitu, pensabitannya hanya akan berlaku di mahkamah selepas adanya laporan dan pendakwaan dibuat terhadap pelaku. Ia melibatkan pula prosedur dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah.Berbalik kepada perbandingan melakonkan aksi berpegang tangan dan berpeluk ketika melakonkan watak dalam filem dibandingkan dengan tugasan doktor yang memegang pesakit untuk tujuan berubat. Apakah perbandingan itu wajar dan tepat?

Kaedah fekah menegaskan 'Darurat mengharuskan yang haram.' Kaedah ini dipakai apabila kita bertembung dengan keadaan darurat, maka hukum asal kepada sesuatu perkara boleh berubah. Seperti hukum haram memakan bangkai bertukar menjadi harus apabila darurat dan pelakunya tidak dikenakan dosa di sisi Allah.

Kelonggaran ini dibenarkan demi menjaga keselamatan salah satu daripada lima maslahah daruriyyat iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Seorang doktor memegang pesakit contohnya menyambut kelahiran anak adalah untuk menyelamatkan nyawa pesakit, ia sangat berbeza dengan seorang memeluk bukan mahram kerana melakonkan watak dalam filem.

Justeru, apabila memberi pendapat, elakkan sebarang kenyataan yang boleh memberi maksud menghina kepada agama dan isi kepada seluruh ajaran Islam. Apabila kita kurang jelas, bertanya kepada yang arif adalah satu tindakan yang mulia.Pada masa sama, kita wajar mengambil iktibar atas apa-apa kejadian yang berlaku dalam masyarakat. Semoga kita selamat daripada kemurkaan Allah dan tidak tersasar daripada landasan agama tanpa disedari.

Penulis ialah Exco Penerbitan dan Penyelidikan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian 7 Februari 07