Sunday, February 4, 2007

Temuramah Dengan Utusan




23 Januari 2007
4 Muharam 1428


Bicara Agama
Jangan tolak keharusan poligami

Polemik tentang poligami seolah-olah tidak ada penghujungnya. Di celah-celah kegembiraan lelaki berpoligami, golongan wanita atau isteri pertama dikatakan sering teraniaya dan `makan hati’.
Terbaru, filem Berbagi Suami arahan pengarah Indonesia, Nia Dinata turut membincangkan mauduk yang sama, secara yang agak luar biasa.
Bagi membicarakan isu ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, ASMARUDDIN JAMALUDDIN menemu bual Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, yang juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd. Hashim.



UTUSAN: Apakah kesan filem ini kepada masyarakat?

NURHIDAYAH: Berdasarkan ulasan dan laporan akhbar mengenai Berbagi Suami, kesan filem ini kepada masyarakat terbahagi kepada beberapa aspek.
Filem ini berkisar tentang masalah poligami melalui tiga cerita dari tiga watak yang berbeza - Salma, pakar sakit puan, Siti, gadis kampung yang datang ke Jakarta untuk mencapai cita-cita dan Ming, gadis Cina seorang pelayan di restoran itik panggang yang bermimpi mahu jadi pelakon.
Ia dikatakan mampu menyedarkan keburukan amalan poligami dalam masyarakat. Penceritaan memfokus kepada masalah kehidupan rumah tangga tidak bahagia yang dilalui oleh orang yang bermadu. Di antara isteri-isteri yang dimadu dan tidak merasa bahagia itu, ada pula yang terjebak kepada dengan cinta lesbian sesama jenis dan mereka akhirnya menjadi pasangan lesbian. Namun, cerita ini tidak menjatuhkan hukum atau membuat kesimpulan.




UTUSAN: Ada yang beranggapan ia persoalan biasa yang membicarakan isu sosial masyarakat dan tiada kaitan dengan akidah. Benarkah?
NURHIDAYAH: Pada dasarnya, memanglah ia sebuah filem untuk tujuan berhibur. Namun, ada kebimbangan filem ini membawa pengaruh negatif kepada umat Islam terutama apabila tiada hukum diberikan.
Apa yang perlu dijelaskan ialah Islam mengharuskan poligami berdasarkan firman Allah: Maka kahwinlah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudian kalau kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka kahwinilah seorang sahaja. (An-Nisa’: 3)
Seterusnya dalam surah yang sama ayat 129, Allah berfirman, Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai.
Kita bimbang, pengaruh filem ini membawa implikasi negatif kepada masyarakat terutama yang kurang faham tentang bab poligami. Mereka beranggapan disebabkan kekecewaan atau bantahan isteri kerana berkongsi suami menyakitkan mereka, lebih baik hubungan lesbian yang tidak ada perkongsian.
Yang kedua, kita bimbang ia menghalang wanita berkahwin atau mewujudkan kebencian kepada lelaki. Akhirnya mereka tidak nampak nilai perkahwinan kepada pembentukan keluarga umat Islam.
Semuanya gara-gara bimbang dimadukan atau terlibat dalam poligami sedangkan Islam mengharuskannya. Lebih teruk lagi, jika masyarakat beranggapan lebih baik menyimpan perempuan atau melanggan pelacur daripada membenarkan suami berpoligami.
Perlu ditegaskan bahawa ayat 3 surah An-Nisa’ itu hanyalah satu peruntukan Allah membenarkan amalan tersebut.
Menurut Hammudah dalam bukunya Family Structure in Islam, beliau melihat poligami ini lebih kepada voluntary behavioral measure. Maknanya, terpulang kepada lelaki melaksanakannya atau tidak.
Namun begitu, Allah menyambung bahawa sekiranya seseorang lelaki itu berasa bimbang atau takut tidak dapat melayani kesemua isteri-isterinya secara adil, maka ia seharusnya berkahwin dengan seorang perempuan sahaja.



UTUSAN: Kalau begitu, bagaimanakah keadilan yang perlu wujud dalam perkahwinan poligami? NURHIDAYAH: Mustafa al-Sibaie seorang ilmuan Islam dalam membincangkan pengertian adil dalam berpoligami menyatakan bahawa ia merujuk kepada kemampuan seseorang suami untuk memberi layanan yang sewajarnya secara adil kepada isteri-isterinya.
Suami tersebut juga tidak pilih kasih dalam penyediaan tempat tinggal, pakaian, makanan, giliran bermalam dan semua perkara yang berhubung dengan pergaulan suami isteri.
Namun begitu dalam urusan yang bersifat dalaman atau peribadi seperti rasa kasih, senda gurau yang tidak sama dan sebagainya tidak menjadi syarat di bawah pengertian adil tersebut.
Ayat 3 dan 129 surah an-Nisa’ hendaklah dibaca bersama agar kita dapat memahami maksudnya yang sebenar.
Ini bermaksud, adil yang disyaratkan di dalam ayat 3 itu adalah merujuk kepada tanggungjawab suami ke atas perkara-perkara luaran seperti menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, giliran bermalam dan seterusnya. Giliran bermalam bukan semata-mata merujuk kepada hubungan kelamin tetapi adalah berada bersama isteri yang berhak mengikut jadual susunan walaupun tidak melakukan hubungan kelamin.
Urusan-urusan ini lebih kepada perkara maddi (urusan zahir dan material). Jika isteri pertama dibiarkan hidup susah, menyewa rumah yang kecil sedangkan anak ramai dan isteri kedua yang baru dikahwini disediakan kehidupan yang mewah, dibeli rumah yang besar dan diberi wang nafkah yang banyak, maka ia berlawanan dengan konsep keadilan yang disebut dalam ayat 3 tersebut.
Dalam urusan batin, ia dianggap terkecuali. Mungkin suami berasa sayang yang lebih kepada isteri kedua berbanding isteri pertama yang sudah berumur. Namun si suami seharusnya tidak melampau dan menunjuk-nunjuk menyayangi salah satu daripada isteri-isteri yang ada.
Jangan sama sekali seorang suami menunjukkan sayang yang lebih sehingga isteri lain merasa terkontang-kanting tidak keruan. Perasaan isteri perlu dijaga. Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam hubungannya dengan isteri-isteri baginda walaupun kasihnya lebih tertumpah kepada Aisyah.
Perlu diingat, lelaki yang berpoligami sebenarnya mendedahkan diri kepada tanggungjawab yang lebih. Bermakna perkara itu akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.



UTUSAN:Jadi, yang salah bukanlah poligami tetapi pelaksanaannya?
NURHIDAYAH: Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Apa yang disyariatkan oleh Allah yang bersifat maha mengetahui mempunyai hikmahnya tersendiri. Begitu juga dengan amalan berpoligami.
Kesilapan pelaksanaan poligami oleh segelintir lelaki menyebabkan masyarakat mempersalahkan keharusan berpoligami.
Analoginya adalah seperti pisau yang diguna oleh seseorang untuk membunuh seseorang yang lain. Apabila individu membunuh menggunakan pisau yang dimilikinya, maka seharusnya pelaku itu yang dianggap bersalah, bukannya pisau tersebut. Apabila pisau itu yang diperbahaskan dan menjadi bahan kutukan dan cemuhan, maka perkara ini amat sukar diterima akal yang waras. Apatah lagi jika ada pihak mencadangkan tidak boleh menggunakan pisau dalam apa juga keadaan kerana kesilapan yang dilakukan oleh pembunuh tersebut. Begitulah apa yang terjadi kepada peruntukan poligami.


UTUSAN:Apakah ganjaran bagi wanita yang reda dimadukan?
NURHIDAYAH: Bagi yang reda pula, ganjaran pahala yang besar menunggu mereka. Namun, jika seorang wanita tidak boleh menerima hakikat suaminya berpoligami, ia berkait dengan kekuatan jiwa menerima sesuatu ujian ataupun nikmat Allah. Kata-kata yang keluar dari mulutnya, keyakinan dalam hati dan imannya perlu menjurus kepada perkara ini.
Adakalanya, sudahlah merampas suami, wanita tersebut juga menjadi penyebab kepada runtuhnya rumah tangga yang dibina sekian lama kerana isteri muda enggan dimadukan.



UTUSAN:Bagaimana pula dengan kedudukan wanita begini?
NURHIDAYAH: Kita perlu sentiasa meletakkan agama di depan. Melihat dengan lensa agama. Kaedah fikah menetapkan 'menolak keburukan adalah lebih utama dari mengambil manfaat'.
Dengan kata lain, wanita yang ingin berkongsi kasih perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan isteri pertama. Mereka perlu bertanya soalan seperti sukakah kita dimadukan dan bolehkah kita berkongsi kasih termasuk dengan anak-anak tiri?
Jangan kita bina kebahagiaan di atas runtuhan istana orang lain. Lelaki yang ingin berpoligami juga perlu melihat apakah dengan memilih wanita kedua akan membawa manfaat atau mudarat yang lebih besar kepada keluarga dan anak-anak yang sedia ada.
Memberi kata dua kepada suami pilih aku atau dia (isteri pertama) akan membawa kepada perceraian. Apabila ini berlaku, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Mereka akan terganggu emosi dan psikologi. Kita mahu rumah tangga menjadi ‘rumahku syurgaku’ bukannya ‘rumahku nerakaku’.