Sunday, February 4, 2007

Artikel Peguam Syarie Menulis 31 Jan 2007

Memperbetul Persepsi Poligami

Oleh :
Nurhidayah Muhd Hashim

Kebelakangan ini masyarakat kita kembali hangat membicarakan isu poligami. Filem Indonesia ’Berbagi Suami’ dikatakan mampu menyedarkan keburukan amalan poligami. Menurut akhbar, cerita ini mengangkat tema poligami dan memfokuskan kepada masalah kehidupan rumahtangga tidak bahagia yang dilalui oleh orang yang bermadu. Di antara isteri-isteri yang dimadu dan tidak bahagia itu, ada yang terjebak kepada dengan cinta lesbian sesama jenis dan mereka akhirnya menjadi pasangan lesbian. Filem ini dikatakan tidak menjatuhkan hukum atau membuat kesimpulan tetapi memberi peluang kepada penonton membuat kesimpulan dan menilai berdasarkan keilmuan dan perspektif masing-masing.


Secara dasarnya, Islam mengharuskan poligami. Ia berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud :

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim, maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu suka dari kalangan perempuan-perempuan lain: dua, tiga atau empat. Kemudian kalau kamu bimbang tidak akan berlaku adil (diantara isteri-isteri kamu ) maka kahwinilah seorang sahaja.”
(An-Nisa’ 4 : 3.)

Allah menggunakan bilangan dua, tiga, empat dan satu merujuk kepada bilangan wanita sebagai isteri. Tanpa perlu berfikir dengan terperinci atau membaca yang tersirat, setiap yang membacanya akan faham maksud ayat ini bahawa seseorang lelaki dibolehkan berkahwin dua, tiga atau empat orang wanita yang berbeza pada satu masa. Namun begitu, Allah menyambung bahawa sekiranya seseorang lelaki itu berasa bimbang atau takut tidak dapat melayani kesemua isteri secara adil, maka ia seharusnya berkahwin dengan seorang sahaja.

Ia juga berdasarkan nasihat Rasulullah saw kepada sahabat yang baru memeluk Islam yang telah mempunyai ramai isteri semasa belum Islam. Bagi yang mempunyai isteri lebih daripada empat, Nabi saw telah menyuruh mereka membuat keputusan untuk memegang tidak lebih dari empat orang sahaja pada satu masa. Di antaranya seperti yang berlaku kepada Ghailan bin Salamah, Qais bin al-Harith, Naufal bin Muawiyyah dan lain-lain.

Menurut Hammudah dalam bukunya ‘Family Structure in Islam’, poligami ini lebih kepada ‘voluntary behavioral measure’ yang mana ia adalah berdasarkan kehendak seseorang yang layak sama ada dia ingin melaksanakan atau tidak melaksanakan kebenaran tersebut. Sesiapa yang merasakan dia layak dan ingin mengamalkannya, maka ia bukan satu kesalahan. Namun begitu, ia tidak pernah dikaitkan dengan sesuatu amalan yang digalakkan atau amalan yang dianjurkan seperti jika dilakukan ia boleh meningkatkan iman seseorang.



Dalil kedua yang berkait adalah ayat 129 surah al-Nisa’ yang bermaksud;

“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai.”

Mustafa al-Sibaie seorang ilmuan Islam menyatakan bahawa adil merujuk kepada kemampuan suami memberi layanan yang adil kepada isteri-isterinya. Suami tersebut tidak pilih kasih dari segi penyediaan tempat tinggal, pakaian, makanan, giliran bermalam dan seterusnya yang dipanggil urusan maddi (urusan zahir dan material). Namun begitu dalam urusan yang bersifat dalaman atau lebih personal seperti rasa kasih yang berbeza, senda gurau yang tidak sama dan sebagainya maka ianya tidak menjadi syarat di bawah pengertian adil tersebut. Ayat 3 dan 129 Surah an-Nisa hendaklah dibaca bersama agar kita dapat memahami maksudnya yang sebenar.

Oleh itu jika isteri pertama dibiarkan hidup susah, menyewa rumah kecil sedangkan anak ramai dan isteri kedua yang baru dikahwini disediakan kehidupan yang mewah, dibeli rumah besar dan diberi wang nafkah yang banyak, maka jelas ia berlawanan dengan konsep keadilan dalam ayat 3 tersebut. Manakala dalam hal dalaman, jika suami berasa sayang yang lebih kepada isteri kedua berbanding isteri lain, dia seharusnya tidak melampau menunjuk-nunjuk sehingga isteri lain merasa terkontang-kanting tidak keruan. Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam hubungannya dengan isteri-isteri Baginda walaupun kasihnya lebih tertumpah kepada Aisyah.


Apa yang disyariatkan oleh Allah yang bersifat Maha Mengetahui mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan poligami. Namun begitu, disebabkan kesilapan segelintir lelaki yang mengamalkan poligami secara tidak adil, maka masyarakat telah mempunyai perspeksi yang salah sehinggakan keharusan berpoligami dalam Islam itu pula yang turut dipersalahkan.

Perumpamaan mudah yang boleh digunakan adalah seperti pisau yang digunakan oleh seseorang untuk membunuh seseorang yang lain. Apabila pembunuh tersebut melakukan pembunuhan menggunakan pisau yang dimilikinya, maka seharusnya pelaku itu yang dianggap bersalah, bukannya pisau tersebut. Apabila pisau itu yang diperbahaskan dan menjadi bahan kutukan dan cemuhan, maka perkara ini adalah sesuatu yang sangat sukar untuk diterima oleh orang yang waras. Apatahlagi jika ada pihak pula yang mencadangkan supaya dibuat undang-undang agar tidak ada orang boleh menggunakan pisau dalam apa juga keadaan kerana kesilapan yang dilakukan oleh pembunuh tersebut, maka keadaan akan menjadi lebih tidak munasabah. Begitulah apa yang terjadi kepada peruntukan poligami.

Kita semua mengetahui bahawa salah satu sifat Allah swt adalah Maha Mengetahui. Maka sebagai Muslim, tauhid kita perlu jelas dalam hal ini. Sekiranya seseorang tidak boleh menerima hakikat suaminya berpoligami, ia berkait dengan kekuatan jiwa menerima ujian tersebut. Ini tentunya sangat berbeza dengan seseorang yang menyatakan bangkangannya mengenai keharusan berpoligami dalam Islam.


Dalam amalan poligami, ia melibatkan banyak pihak. Poligami tidak berlaku jika satu pihak tidak memberi persetujuan. Apabila lelaki dipersalahkan kerana menyiksa wanita yang telah menjadi isteri pertama, ia juga melibatkan wanita lain yang bersedia menjadi isteri-isteri kepada lelaki yang telah beristeri. Ia umpama bulatan roda yang berpusing tidak berkesudahan. Kaedah fiqh Islam lebih menekankan bahawa ‘menolak keburukan adalah lebih aula dan utama dari mengambil manfaat.’ Ini menunjukkan bahawa menolak dan mengelak keburukan yang bakal timbul adalah lebih aula dan utama dari mengambil manfaat yang mungkin ada dari sesuatu perkara.

Jika seorang lelaki sedar diri, sedar kadar kelemahan dan kekuatan dirinya, sudah boleh menilai jika berpoligami akan membawa kepada lebih banyak buruk dari baik untuk diri, isteri dan anak-anak yang sedia ada, maka wajarlah memilih monogami dan mengambil pendekatan seperti disarankankan al-Quran. Atas dasar itu kenapa kita melihat Islam memberi batasan pergaulan di antara bukan muhrim. Perempuan dan lelaki perlu menjaga maruah diri, bergaul secara terbatas dan jangan sampai hubungan intim melibatkan perasaan dengan bukan muhrim apatah lagi jika orang tersebut telah berpunya.

Kembali kepada filem ‘Berbagi Suami’ ini, walaupun mungkin ada kebaikan yang dapat diketengahkan melaluinya, tetapi jika ia telah dijangka berdasarkan pendedahan tersebut, boleh menyebabkan orang ramai membuat penilaian yang silap atau mengubah perspektif masyarakat sehingga secara tak langsung, orang ramai melihat ajaran agama suatu yang buruk dan silap, maka filem ini wajar ditolak. Apatah lagi jika ia boleh menghasilkan cadangan yang lebih buruk seperti membawa pilihan lesbian sebagai alternatif, ataupun menjadi perempuan simpanan atau membujang dan membenci lelaki seumur hidup, maka filem ini wajar ditapis dan diperbahaskan dengan waras menurut lensa agama serta tidak diketengahkan kepada masyarakat.

Penulis adalah Exco Persatuan Peguam Syarie . Artikel ini telah disiarkan dalam Slot Peguam Syarie Menulis, Berita Harian pada Hari Rabu, 31 Januari 2007