Monday, February 12, 2007

Ruangan PGSM Hak Muslim Januari 2007

Hak Muslim: Pelaksanaan penyampaian ganti elak tangguh kes
Disiarkan dalam Berita Harian pada 11 Jan 07

SAYA ditinggalkan suami lebih dari dua tahun dan memohon perceraian di mahkamah syariah. Malangnya saya tidak tahu di mana suami saya tinggal sekarang dan mahkamah tidak mahu menjalankan kes saya selagi suami tidak datang. Kes itu ditangguhkan beberapa kali. Saya menanggung kos yang banyak kerana selalu turun naik mahkamah tetapi mahkamah hanya menangguhkan kes saja. Mahkamah juga menasihatkan saya mengambil peguam. Apa yang perlu saya lakukan.

Gantung Tidak Bertali
Kampung Baru, Kuala Lumpur

JAWAPAN: PADA kebiasaannya mahkamah hanya mendengar kes apabila kedua belah pihak hadir bagi mendengar keterangan dari kedua belah pihak. Ini adalah cara bagaimana mahkamah ingin membuat keputusan adil. Prosiding di mahkamah syariah tertakluk kepada tatacara yang ditentukan. Tatacara ini berfungsi untuk memudahkan perjalanan prosiding mahkamah dan mencapai keadilan bagi kedua-dua pihak yang bertikai. Hakim adalah terikat dengan tatacara ditetapkan. Oleh itu, puan perlu mahir dengan tatacara yang ditetapkan bagi melicinkan perjalanan kes puan. Segala tatacara yang ditetapkan terdapat dalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Mahkamah terpaksa menangguhkan kes puan mungkin kerana saman dan penyata tuntutan puan tidak dapat disampaikan kepada suami puan. Pada asasnya setiap saman dan penyata tuntutan hendaklah diserahkan kepada defendan bagi memberi peluang kepada defendan (suami puan) menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan dari kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.

Prinsip umum ini dipakai kepada semua kes melainkan dalam kes tertentu yang boleh dibicarakan secara sebelah pihak atau ex parte.Saman boleh disampaikan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermeterai kepada defendan dan diperiksa olehnya. Defendan hendaklah menandatangani saman itu sebagai akuan penerimaan. Jika defendan enggan menerima saman itu ia boleh ditinggalkan berhampiran dengan defendan berkenaan dan perhatiannya diarahkan kepada saman itu. Saman perlu diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 hari dari tarikh pengeluarannya. Ia bermakna puan perlu menyerahkan atau menyebabkan diserah saman itu dalam tempoh yang dinyatakan di atas.

Sekiranya tempoh itu atau akan luput puan hendaklah dengan kadar segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh kesahan saman.Berbalik kepada masalah puan hendak menyampaikan saman terhadap defendan yang tidak diketahui di mana tempat tinggalnya sebagai mana kes puan alami. Dalam keadaan ini puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti. Puan perlu memfailkan notis permohonan dan disokong oleh afidavit bagi mendapatkan perintah penyampaian ganti itu.Jika mahkamah berpuas hati bahawa atas apa-apa alasan yang mencukupi saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri seperti yang dinyatakan di atas, mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat di alamat defendan yang terakhir yang diketahui atau apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian dibuat melalui iklan di dalam mana-mana akhbar tempatan seperti yang difikirkan patut oleh mahkamah.Bagi penyampaian ganti ini, walaupun secara realitinya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan di dalam akhbar tempatan itu, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian ke diri yang disebutkan di atas iaitu seolah-olah defendan menerima saman itu secara kediri. Apabila sempurna penyampaian ganti ini, mahkamah hendaklah menyifatkan saman itu disampaikan kepada defendan.Selepas menampal dan pengiklanan itu dibuat, puan hendaklah memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan bahawa penyampaian ganti sudah puan lakukan seperti diperintahkan oleh mahkamah. Sekiranya suami puan tinggal di luar Kuala Lumpur pula puan juga hendaklah memohon perintah penyampaian di luar bidang kuasa.

Sekiranya puan mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan itu, maka kes puan tidak perlu ditangguhkan lagi dan puan bolehlah memohon agar kes puan dibicarakan. Ketika tarikh perbicaraan itu puan hendaklah memberi keterangan bagi menyokong tuntutan puan, membawa dokumen sokongan ke atas tuntutan yang puan failkan serta saksi yang mengetahui hal keadaan puan bagi mensabitkan taklik berkenaan.Sekiranya perlu puan juga boleh bersumpah syarie (yamin al istizhar) bahawa segala keterangan yang puan berikan adalah benar. Dengan cara ini nilai keterangan puan akan menjadi lebih kuat. Yamin al istizhar ini adalah suatu sumpah yang mempunyai kesan undang-undangnya yang tersendiri di sisi hukum syarak. Ia dilakukan dengan dimulai dengan lafaz menggunakan nama Allah.

Oleh itu, saya menasihatkan puan supaya memohon perintah penyampaian ganti bagi mempercepatkan penyelesaian kes puan.

Jawapan ini disediakan oleh :
Hj Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia