Friday, February 23, 2007

Dua cara isteri didera tuntut cerai 21 Feb 07

Peguam Syarie Menulis:
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Wanita perlu segera buat pemeriksaan doktor, ambil gambar kesan deraan

HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

LIZA (bukan nama sebenar), seorang kerani sering kali dipukul suaminya apabila berlaku perselisihan faham. Suaminya akan bertindak di luar kawalan, menumbuk muka, menendang dan pernah meletakkan seterika panas ke tangannya ketika dia menggosok baju. Kadang-kadang apabila suaminya naik angin, anak akan menangis ketakutan melihat Liza dipukul.Selepas lima tahun diperlakukan demikian, barulah Liza bertindak membawa kesnya ke mahkamah syariah. Akhirnya Liza berjaya keluar daripada hubungan yang penuh darar itu selepas mahkamah meluluskan tuntutan fasakhnya.

Ada ramai wanita bernasib malang seperti dialami Liza. Kajian yang penulis jalankan ke atas 100 kes fasakh yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mulai 1996-2001 mendapati ada 23 kes (23 peratus) yang memohon fasakh atas alasan penderaan. Peratusan ini agak besar dan wajar diambil perhatian.Ada dua cara seorang isteri boleh membawa kesnya ke mahkamah untuk mendapatkan perceraian kerana didera iaitu secara fasakh atau taklik.

Untuk memahami kedudukan permohonan fasakh kerana didera, kita boleh merujuk satu kes yang diputuskan mahkamah rayuan syariah pada 1996 iaitu Abd Hanif lawan Rabiah.Dalam kes itu, isteri menuntut fasakh menggunakan dua alasan iaitu suami mengabaikan nafkah dan melakukan penderaan yang lazimnya menyakiti. Dalam keterangan, isteri berjaya membuktikan berlaku penderaan ke atas dirinya.Isteri membawa dua saksi perempuan yang menyaksikan suami memukulnya.

Hakim dalam keputusannya mengatakan seorang suami tidak harus memukul dan tidak memberi nafkah kepada isterinya, tetapi tidak meluluskan fasakh atas alasan kesaksian.Menurut hakim, untuk menguatkan dakwaannya, isteri dikehendaki membawa dua saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dengan dua saksi perempuan.Pihak isteri kemudian membuat rayuan ke mahkamah tinggi syariah dan dalam keputusannya, hakim memutuskan sebaliknya iaitu permohonan fasakh sudah disabitkan.

Selepas keputusan diperoleh, suami tidak berpuas hati dan membuat rayuan ke mahkamah rayuan syariah untuk menafikan keputusan hakim mahkamah tinggi.Pengerusi Jawatankuasa Rayuan kes itu ialah Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman yang kini Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Jawatankuasa Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi iaitu fasakh dituntut isteri diluluskan.

Ketika membacakan penghakiman itu, beliau menyebut:
“Yang Arif Hakim di mahkamah rendahsudah menekankan bahawa untuk mensabitkan berlakunya penganiayaan, berdasarkan ayat 282 surah al-Baqarah, ia hendaklah disokong dengan dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua perempuan. Menurut jawatankuasa rayuan, ayat itu berkisar kepada urusan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke satu masa tertentu di mana biasanya boleh didapati saksi dan ayat itu menerangkan mengenai perkara syahadah (kesaksian). Akan tetapi tidaklah munasabah memerlukan seorang isteri yang mendakwa dia dipukul suaminya mengadakan saksi seperti itu, kerana mustahil seorang suami apabila dia memukul isterinya akan memanggil dua orang saksi lelaki atau dua orang saksi perempuan dan seorang saksi lelaki untuk menyaksikan pukulan berkenaan. Dalam perkara seperti itu tidak perlu keterangan diberi sebagai syahadah dan memadai ia diberi sebagai bayyinah dan qarinah.”

Menerusi penghakiman di atas, jawatankuasa rayuan syariah membawa satu pembaharuan berkenaan urusan pembuktian kes, sekali gus membuka ruang lebih besar dalam menyelesaikan masalah pembuktian membabitkan penderaan terhadap isteri.Walaupun tanpa adanya sokongan saksi yang memberi kesaksian (syahadah), mahkamah tetap mempertimbangkan tuntutan isteri sekiranya berjaya membawa bukti seperti laporan polis dan laporan doktor yang mengesahkan dakwaannya sebagai keterangan yang kuat (bayyinah dan qarinah).

  • Berbalik kepada kes Liza, perkara yang perlu diambil perhatian:
    Seorang isteri yang didera tidak wajar berdiam diri. Apatah lagi menutup fakta seperti mengatakan terjatuh di bilik air dan sebagainya. Perkasakan diri daripada trauma dan berusaha mendapatkan bantuan sesiapa saja yang boleh dipercayai.
    Usaha menyelamatkan rumah tangga mesti dibuat. Jika penderaan berlaku apabila ada pergaduhan, maka cari punca masalah dan berusaha memperbaiki hubungan komunikasi pasangan.
  • Mendapat nasihat undang-undang daripada pihak yang mengetahui. Terdapat beberapa organisasi yang dapat membantu seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menerusi Biro Khidmat Guaman Syarie, Jemaah Islah Malaysia (JIM) di bawah Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (Paksi-JIM), AWAM, WOA dan sebagainya.
  • Bersegera membuat pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor, mengambil gambar lebam atau apa-apa tanda penderaan. Pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Semua ini adalah bahan bukti yang boleh membantu keterangan (sebagai bayyinah) di mahkamah syariah.
  • Laporan polis bahawa beliau didera akan diambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta Keganasan Rumah tangga dan Kanun Keseksaan. Pihak polis akan mengambil tindakan hanya selepas laporan dibuat.
  • Jika ingin membuat tuntutan fasakh atau taklik atas alasan penderaan, perlu disokong oleh saksi. Jika ada dua saksi lelaki maka ia adalah satu hujah yang sangat kuat.
    Berdasarkan penghakiman kes di atas, mahkamah akan menilai kesukaran mendapatkan saksi kerana penderaan selalunya berlaku di tempat tertutup, kamar tidur atau dalam rumah.
  • Arahan Amalan Bil 1 Tahun 2002 mengesahkan untuk menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau ada persamaan yang diputuskan mahkamah yang lebih tinggi hendaklah dihormati oleh mahkamah lebih rendah.
    Oleh itu, jika tidak ada saksi yang melihat penderaan itu, isteri mangsa deraan jangan berputus asa untuk mendapatkan keadilan di mahkamah syariah.

Kesimpulannya, isteri yang didera wajar mencari jalan menyelamatkan diri daripada terus didera. Jika penderaan sering berlaku selepas adanya pergaduhan, maka berusahalah meningkatkan seni komunikasi berkesan demi kesejahteraan rumah tangga.Isteri yang mendapat suami penyayang, jangan menyalahguna nikmat itu seperti bertindak liar atau tidak menghormati suami. Bersyukurlah pada Allah atas anugerah suami yang baik serta berusaha menjaga kebahagiaan rumah tangga.

Pada masa sama, suami perlu memperkasakan ilmu dan diri dengan ajaran Islam kerana melayan isteri dengan kasar, apatah lagi melakukan penderaan bukan ajaran Islam.Rasulullah adalah sebaik-baik suami yang melayan semua isterinya dengan lembut. Itulah ajaran Islam dan mesti dicontohi oleh semua suami.

Penulis adalah Exco Penyelidikan dan Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sekiranya anda mempunyai sebarang pendapat dan komentar, sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my

Telah disiarkan dalam Berita Harian 21 Feb 2007