Monday, February 12, 2007

Peguam Syarie Menulis: Dalam BH 10 JAN 2007

Tugas ibu bapa menyemai benih ketakwaan
Zainul Rijal Abu Bakar

PENGGAL persekolahan 2007 baru bermula minggu lalu. Ibu bapa bertungkus lumus menyediakan pelbagai keperluan bagi anak mereka menghadapi sesi persekolahan. Tidak kurang juga ibu bapa bergolok bergadai bagi memastikan anak mendapat pelajaran terbaik dan mengharapkan kejayaan dicapai oleh anak mereka selain mendapatkan sekolah sesuai, selesa dan baik untuk anak.

Tidak sedikit perbelanjaan dikeluarkan ibu bapa seperti membeli pakaian seragam baru, keperluan dan peralatan sekolah, buku, membayar yuran persekolahan dan peperiksaan. Jumlah dibelanja oleh ibu bapa bagi seorang anak menjangkau ratusan ringgit. Ada juga berbelanja lebih untuk anak. Persoalannya adakah perbelanjaan yang mungkin mencecah ribuan ringgit ini melepaskan tanggungjawab ibu bapa daripada mendidik anak mereka. Adakah perbelanjaan yang banyak ini berjaya menambat hati anak dan membentuk sahsiah Islam anak kita?Ibu bapa kini menyerahkan anak kepada sekolah bagi mencorakkan masa depan mereka. Penyerahan ini dilakukan kerana percaya kepada sistem pelajaran yang diamalkan di negara kita ini.
Memang sistem pelajaran di sekolah kita mantap dan berkualiti, namun sebenarnya adalah suatu kesilapan besar jika kita menyerahkan sepenuhnya anak kita kepada sekolah. Hakikatnya, institusi pelajaran pertama dan utama bukan di sekolah tetapi di rumah. Ibu bapa adalah guru pertama kepada anak mereka. Mereka juga contoh teladan yang sering diikuti anak.Ibu bapa mestilah mendidik anak dengan sewajarnya dan tidak mengharapkan sekolah saja mencurahkan ilmu kepada anak. Tanggungjawab dan peranan ibu bapa tidak terhenti tatkala anak mendaftarkan persekolahan mereka. Tanggungjawab dan peranan ini perlu terus digalas oleh ibu bapa sehingga mereka mempunyai tanggungjawab sendiri. Inilah hakikat yang perlu difahami oleh ibu bapa.
Ironinya, apabila pelajar berjaya di dalam peperiksaan awam, kita akan lihat sebahagian pelajar dan ibu bapa yang mendakwa kejayaan anak adalah hasil usaha gigih mereka tanpa memberikan sedikit penghargaan kepada guru. Tetapi apabila anak ini kecundang atau tidak cemerlang, yang menjadi mangsa adalah guru yang didakwa tidak pandai mengajar ataugagal menarik perhatian pelajar. Maka jadilah guru ini mangsa dalam semua keadaan.Juga ada ibu bapa yang menswastakan anak kepada pembantu rumah yang kebanyakannya adalah warga asing. Akibat kesibukan kerja dan mencari rezeki, ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada pembantu rumah warga asing ini bagi menjaga keperluan anak. Apa yang menyedihkan ialah pembantu rumah ini bukan hanya membantu hal ehwal rumah tangga tetapi mengambil alih tugas ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak serta pendidikan mereka.
Ibu bapa melepaskan tangan mereka dan beranggapan bahawa mereka menjalankan tanggungjawab mereka. Keadaan sama berlaku kepada anak yang dihantar di taman asuhan dan rumah orang perseorangan ketika ketiadaan ibu bapa mencari rezeki.Yang lebih menyedihkan pula, keluarga yang berpecah belah, bercerai berai dan tidak sehaluan. Dalam keadaan ini, anak selalunya menjadi mangsa perbalahan keluarga. Dalam kes perceraian, sama ada ibu atau bapa yang menang kes mereka di mahkamah, anak sebenarnya kalah di dalam kes itu. Anak akan kehilangan salah seorang daripada ibu bapa mereka.
Perkara ini amat jarang diberi pertimbangan oleh pasangan yang bercerai. Kerap kali mereka hanya akan menuntut hak mereka di mahkamah peradilan tanpa mengambil berat tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.Maka membesar anak malang ini dalam keadaan dendam membara, perbalahan yang tidak ada penyelesaiannya dan fitnah memfitnah antara satu sama lain. Bagaimanakah anak ini dapat membesar dan diberi didikan yang terbaik? Berbalik kepada peranan ibu bapa ini, sebenarnya ibu bapa masih perlu memantau perkembangan pelajaran anak walaupun mereka bersekolah.
Anak bukan hanya memerlukan perbelanjaan persekolahan dari ibu bapa, tetapi lebih penting ialah perhatian dan didikan daripada ibu bapa itu kerana ramai anak berkelakuan nakal bukan kerana mereka sebenarnya nakal tetapi semata-mata hanya kerana ingin menarik perhatian keluarga. Anak ini tidak tahu bagaimana hendak menarik perhatian dan kasih sayang ibu bapa, mereka beranggapan dengan melakukan sesuatu drastik ibu bapa akan lebih menumpukan perhatian kepada mereka.Tetapi mereka silap, apabila ia berlaku ibu bapa menjadi berang dan memaki hamun anak, memberi hukuman dan sebagainya. Anak ini menjadi merana dan marah terhadap ibu bapa mereka dan timbullah bibit kebencian dalam diri anak terhadap ibu bapa mereka.Seterusnya mereka akan mengalih perhatian kepada rakan sebaya dan pengaruh luaran.
Apabila ia berlaku, maka amat sukar untuk berpatah balik ke pangkal jalan terutama jika sudah terjebak ke lembah hina seperti pengaruh dadah dan pergaulan bebas tanpa batasan. Semoga Allah menjauhkan anak kita daripada terperangkap dengan gejala itu.Tanpa merendahkan institusi sekolah dan guru menggembleng segala usaha memastikan kejayaan pelajar, ibu bapa seharusnya lebih berperanan di dalam mencipta kejayaan anak mereka. Kejayaan yang perlu dibentuk oleh ibu bapa bukan saja kejayaan di dunia tetapi di akhirat. Menyemai benih keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah tanggungjawab amat besar. Ia mesti dilakukan daripada usia muda seawal usia tujuh tahun seperti saranan Rasulullah di dalam mengajar anak untuk mendirikan sembahyang adalah salah satu daripada Rukun Islam.
Keimanan dan ketakwaan mantap kepada Allah akan menjadi benteng yang kukuh bagi anak mempertahankan diri daripada pengaruh tidak baik. Ia berupaya menjadi pemangkin kepada kejayaan di dunia ini sesuai dengan kata kata pujangga Arab yang bermaksud ‘Bekerjalah untuk dunia kamu seolah-olah kami akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati pada keesokan harinya.’Manusia perlu berusaha keras untuk kejayaan di dunia dan menghimpun bekalan dunia ini seoalah-olah kita akan hidup di dunia ini selama-lamanya tanpa meninggalkan nilai akhirat. Manusia hendaklah beramal dengan tekun dan ikhlas seolah-olah nyawa kita akan dicabut pada esoknya.
Tentulah jika kita tahu kita akan mati pada keesokan hari, kita tidak akan henti-henti melakukan ibadat kepadaNya.Ibu bapa dan guru hendaklah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan kejayaan cemerlang anak. Ketiadaan salah satu elemen ini tentu akan mencacatkan nisbah kecemerlangan anak kita. Kedua pihak ini perlu berganding bahu memikul tanggungjawab masing-masing. Inilah neraca imbangan yang disyorkan bagi memastikan kejayaan cemerlang umat Islam di dunia dan di akhirat.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar