Monday, February 12, 2007

PGSM: Hak Musim Dalam Berita Harian 18 Jan 2007

Hak Muslim: Isteri boleh mohon perintah tegahan, fasakh

SAYA menghadapi masalah rumah tangga yang serius. Saya selalu bergaduh dengan suami kerana dia terlalu kasar dan tidak mahu bertolak ansur. Sepanjang lima tahun berkahwin, saya selalu dipukul dan dimaki hamun ketika bergaduh. Kami tidak mempunyai anak. Bagaimana dapat saya menasihat suami saya agar dia sedar kesalahannya. Buat masa ini saya tidak mahu berpisah.
Fina Banting, Selangor

JAWAPAN: PERSELISIHAN faham adalah lumrah dalam rumah tangga, namun jika perselisihan faham itu membawa kepada pergaduhan besar seperti maki hamun dan memukul tanpa sebab munasabah, maka ia bukan perkara biasa lagi. Antara tujuan perkahwinan adalah untuk berkasih sayang dan memenuhi naluri semula jadi manusia. Oleh itu, Islam menggariskan peranan, tanggungjawab dan hak suami isteri yangmesti dipikul secara bersama dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.

Sekiranya tujuan rumah tangga itu tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada pihak sama ada isteri atau suami, maka pihak terbabit boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan berdasarkan alasan dan cara dibenarkan oleh hukum syarak talaq adalah perkara halal paling dibenci Allah.Oleh kerana puan dan suami sering bergaduh, dimaki hamun dan dipukul tentulah sebarang usaha untuk menasihati suami secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga. Lebih baik minta bantuan pihak ketiga bagi membantu menyelesaikan masalah rumah tangga.P

uan boleh berjumpa dengan kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling atau sesiapa saja yang suami hormati. Bagaimanapun, puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya ia tidak akan diperbesar dan menimbulkan kekecohan. Perantara itu mestilah orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara ini kepada orang lain. Perantara ini juga perlu tahu peranan yang hendak dimainkan dan boleh memberikan nasihat kepada suami secara berkesan. Carilah perantara yang sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga.Puan juga perlu tahu punca suami menjadi panas baran.

Adakah ia berpunca daripada sifat semula jadi, tekanan kewangan, tekanan di tempat kerja atau masalah keluarga. Jika dapat mencari puncanya mungkin cara menangani masalah suami akan menjadi lebih mudah kerana puan hanya perlu memfokuskan usaha kesedaran kepada aspek itu . Umpamanya sekiranya ia berpunca daripada faktor tekanan kewangan yang menyebabkan suami menjadi selalu tidak tentu hala dan naik angin, puan mungkin boleh menolong membantu meringankan masalah kewangan suami. Jika ia sifat semula jadi, mungkin ia mengambil sedikit masa bagi suami berubah dan eloklah kedua-dua mendapatkan khidmat pakar kaunseling yang boleh membantu membuka minda suami.

Sekiranya faktor ketiadaan anak menjadi isu, puan dan suami boleh membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan rawatan. Ada banyak kaedah perubatan yang boleh diambil bagi membolehkan seseorang perempuan itu hamil, namun perlu berhati-hati agar kaedah dipilih tidak tergelincir daripada landasan syarak. Sekiranya masih gagal mendapat anak atas apa juga sebab, puan boleh mengambil anak angkat.

Sekiranya suami berkemampuan dan boleh berlaku adil dan demi untuk menyelamatkan rumah tangga, puan mungkin boleh menyarankan suami berkahwin lain dengan syarat tertentu seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam. Insya-Allah sikap suami akan berubah dan tiada lagi pergaduhan. Puan harus bersifat terbuka kerana tujuan utama adalah untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, namun ada beberapa syarat perlu dipenuhi suami bagi melayakkannya berpoligami.Selepas berusaha, berserah kepada Allah.

Berdoalah kepada-Nya bagi membuka hati suami dan menanam benih kesedaran di dalam jiwa suami untuk berubah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi oleh hamba-Nya saja.Puan juga perlu mengetahui hak undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan terpelihara. Sekiranya khuatir keselamatan akan terancam, puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk menghalang suami daripada mengganggu atau memukul.Bagi memudahkan mahkamah membuat pertimbangan untuk memberikan perintah tegahan itu, dokumen seperti laporan perubatan dan polis hendaklah dikemukakan kepada mahkamah.

Puan dinasihatkan mengumpul dokumen itu untuk memohon perintah tegahan di mahkamah. Puan juga berhak memohon di mahkamah syariah untuk perintah pembubaran perkahwinan secara fasakh atau takliq sekiranya terbukti suami puan memukul dan mencederakan puan.Puan perlu bijak membuat keputusan sama ada untuk terus hidup dengan suami atau mengakhiri perkahwinan. Sekiranya matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah, namun, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat. Insya-Allah hidup kita akan diberkati Allah.

Jawapan disediakan oleh:
Hj Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.