Friday, February 23, 2007

Poligami tak jejas hak nafkah, harta 22 Feb 07

Hak Muslim: Bersama Mohamad Isa Abd Ralib
Mahkamah ada kuasa perintah bahagi sama rata aset sepencarian

SAYA adalah seorang surirumah yang mempunyai tiga orang anak. Masalah saya, baru-baru ini suami menyatakan hasratnya untuk berpoligami. Demi anak dan untuk mengelakkan perselisihan faham sehingga menyebabkan berlakunya perceraian, saya mengambil keputusan bersetuju suami berpoligami. Soalan saya, adakah saya dan anak akan mendapat hak kami berkaitan dengan nafkah seperti sebelum suami saya berpoligami
Azlina
Selangor

HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

Bagi seorang lelaki yang ingin berpoligami, mereka perlu melalui beberapa prosedur seperti ditetapkan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri. Syarat untuk berpoligami tidak sama antara satu negeri dengan negeri lain.Tujuan diwujudkan syarat ini adalah bagi menjamin hak isteri yang bakal dimadukan suaminya serta anak hasil perkahwinan mereka di samping tidak menolak keharusan poligami itu bagi lelaki di dalam Islam.
Di Selangor, peruntukan poligami dinyatakan dalam seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor, 2003 seperti berikut: “Tiada seorang pun lelaki, ketika wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dulu daripada mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.”Peruntukan ini membawa maksud, setiap lelaki yang ingin berpoligami mesti membuat permohonan dari Mahkamah Syariah serta hendaklah mendapat kebenaran daripada mahkamah.
Kaedah permohonan poligami dinyatakan di dalam seksyen kecil (4) seperti berikut: “Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu ikrar yang menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isterinya yang sedia ada sudah diperoleh atau tidak, terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.”
Mahkamah kemudian akan membuat pertimbangan terhadap permohonan berkenaan menerusi peruntukan dalam seksyen kecil (5) seperti berikut:
“Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan di dalam mahkamah tertutup dan mahkamah boleh memberi kebenaran yang dimohon itu jika berpuas hati:
(a) Bahawa perkahwinan dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain, hal keadaan berikut, iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan atau gila pada pihak isteri atau isteri sedia ada;
(b) Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, seperti dikehendaki Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya mengikut Hukum Syarak; dan
(d) Bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan dharar syarie kepada isteri atau isteri sedia ada.”Menerusi peruntukan di atas, setiap lelaki yang ingin berpoligami hendaklah, pada pertimbangan mahkamah memenuhi syarat dinyatakan di atas.
Oleh hal demikian, hak puan dan anak daripada segi pemberian nafkah akan dijamin oleh Mahkamah seperti yang diterima sebelumnya iaitu sebelum Mahkamah membenarkan suami berpoligami.
Selain itu, hak puan termasuk nafkah dan harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan dengan suami akan menjadi lebih terjamin dengan peruntukan seksyen 23 (1) Enakmen sama yang memperuntukan: “Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan:
(a) untuk mengkehendaki seseorang membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang sudah diperoleh oleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha sama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan.”
Dari segi undang-undang yang ada, sebenarnya hak isteri dan anak daripada keluarga sedia ada akan dipertimbangkan oleh mahkamah. Tetapi, puan harus ingat bahawa ada ketikanya, walaupun isteri sudah memberikan persetujuan, mahkamah tetap tidak membenarkan poligami kerana melihatkan suami tidak mampu dari segi kewangan dan boleh menyebabkan timbul kemudaratan lebih besar pada keluarga asal jika poligami diluluskan.
Saya berpendapat, poligami bukanlah satu jalan untuk mencari isteri kerana nafsu syahwat semata-mata, tetapi pihak suami perlu melihat perkahwinan itu sebagai amanah, tanggungjawab untuk berlaku adil dan kemampuan berlaku adil. Itulah yang harus difikirkan dan diutamakan suami kerana ia akan ditanya Allah di akhirat kelak.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralib. Sebarang persoalan syariah sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my
Telah disiarkan dalam Berita Harian 22 Feb 2007