Monday, February 12, 2007

Peguam Syarie Menulis: Dalam BH 17 Jan 07

Agama paling berkesan tangani kes akhlak
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

PERSOALAN sama ada undang-undang perlu mencampuri urusan moral masih lagi diperkatakan. Ada sebahagian yang berpendapat bahawa undang-undang moral tidak perlu dikanunkan kerana mengganggu hak asasi manusia. Sedangkan terpulang kepada individu sendiri untuk meletakkan piawaian moralnya sendiri.

Pandangan ini perlu diteliti dari lensa agama kerana setiap pandangan kita seharusnya berakar umbi daripada agama. Agama Islam tidak boleh dilihat dari kaca mata agama lain atau doktrin tertentu kerana Islam mempunyai jalan penyelesaian sendiri bagi setiap permasalahan. Budi pekerti, akhlak atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan masyarakat ikhlas dan amanah. Mengetepikan nilai moral dalam perundangan amat berbahaya kerana semua undang-undang pada hakikatnya digubal dan dikuatkuasakan bagi menegakkan sistem moral yang jitu.

Pembunuhan secara tidak sah, umpamanya adalah suatu perbuatan tidak bermoral, oleh itu ada undang-undang menangani kesalahan ini. Begitu juga kesalahan seperti mencuri, pada asalnya ia adalah suatu perbuatan keji tidak disenangi oleh masyarakat.Oleh itu masyarakat mencari jalan bagaimana mengekang perbuatan mencuri. Natijahnya ialah undang-undang menghukum pencuri diadakan supaya perbuatan keji itu dapat dibanteras.Sekiranya moral dimaksudkan itu hanya merujuk kepada kesalahan akhlak dan ibadat seperti dalam ajaran Islam, maka ia amatlah mendukacitakan kerana prejudis hikmah agama Islam itu sendiri serta agama lain.Sebenarnya, tiada agama berkompromi mengenai isu moral seperti ini.

Hal yang demikian dapat dilihat apabila sami Buddha di Thailand pernah berdemonstrasi membantah penjualan arak secara berleluasa dalam masyarakat mereka sehingga menyebabkan keruntuhan moral di kalangan generasi muda.Begitu juga paderi Kristian sering kali di dalam ucapan mereka menekankan pentingnya mempunyai jati diri dan moral yang tinggi. Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral bersandarkan kepada agama.Lupakah kita akan salah satu Rukun Negara kita iaitu Kesopanan dan Kesusilaan? Yang menyedihkan kita ialah prinsip Rukun Negara ini hanya diperdengarkan di sekolah. Ia amat jarang dicanangkan di tempat lain.

Inilah yang menyebabkan Rukun Negara dilupai.Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan juga sering diabaikan kerana ada pihak yang tidak mempercayai Tuhan. Jika undang-undang berasaskan moral hendak dihapuskan, maka Rukun Negara pun perlu dihapuskan. Rukun Negara amat penting bagi memelihara jati diri masyarakat yang terkenal dengan keramahan dan kesopanannya.Situasi ini wujud sejak sekian lama dan menjadi identiti. Kenapakah kita perlu menukar identiti dan jati diri kita? Apakah akan terjadi kepada sesebuah negara jika rukunnya tidak diendahkan lagi.

Maka akan runtuhlah negara itu walaupun sekuat mana rakyatnya berusaha untuk memajukan negara.Keruntuhan akhlak yang kita hadapi pada hari ini amat menyedihkan dan berleluasa. Alangkah baiknya jika prinsip Rukun Negara ini ditekankan dan usaha yang bersepadu dan berterusan dilakukan bagi memastikan ia ditegakkan. Keputusan perlulah dibuat oleh pihak berwajib bagi menangani permasalahan ini.Sepatutnya di dalam membuat sesuatu keputusan kita merujuk kembali kepada Islam. Seperti yang pernah diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah; Apakah akhlak Rasullulah, Aishah menjawab "Akhlak Rasulullah ialah al-Quran." Oleh itu apabila al-Quran melarang orang Islam meminum arak, adakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila tertera di dalam al-Quran larangan berzina, adakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan perzinaan dan pelacuran?

Rasulullah pernah bersabda: "Sesungguhnya Rasulullah itu diutus untuk menyempurnakan akhlak terpuji." Pada masa sekarang kita tidak dapat lari daripada mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri renggang daripada Islam. Kalau dulu apabila ayat al-Quran pengharaman arak diturunkan, maka sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang selepas 1,400 tahun berlalu penghayatan terhadap al-Quran amat rendah. Oleh itu hukuman berbentuk keduniaan ini perlu bagi berperanan sebagai penghalang kepada budaya meminum arak ini.

Dalam masyarakat moden kini akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan dan dokongan daripada undang-undang. Masyarakat sudah tidak lagi mempunyai keikhlasan yang penuh dalam membuat sesuatu tindakan. Hal yang demikian menjadikan kuasa undang-undang perlu bagi memberi amaran terhadap perlakuan yang melanggar undang-undang moral. Pada masa ini dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat amat menyedihkan, apa akan jadi jika semua perundangan ini dihapuskan. Maka ada lakonan di dalam perundangan ini.

Secara hipotetikal, apabila undang-undang ini dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita. Biarkan saja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan anak kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti pula? Kita tidak mempunyai jaminan jika undang-undang moral ini dihapuskan masyarakat Malaysia akan menjadi masyarakat yang lebih baik berbanding dengan masyarakat pada hari ini.Tidak dinafikan pendidikan adalah unsur penting untuk mengawal moral seseorang. Tetapi pendidikan saja tidak mencukupi kerana pendidikan bertindak sebagai amar maaruf manakala hukuman dalam bentuk perundangan "bertindak sebagai ‘nahi munkar’. Kedua-dua kaedah ini sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Jika kita meneliti kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian suatu hari nanti mungkin ada undang-undang yang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu sembahyang lima kali sehari atau tidak?

Andaian ini adalah andaian yang melampau dan tidak diasaskan kepada kaedah fikah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar terkenal dengan kebengisan pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan. Mungkin apabila paradigma masyarakat berganjak kepada suatu masyarakat yang mempunyai budi yang luhur dan akhlak yang terpuji, maka pada waktu itu barangkali pada ketika itu barulah kita tidak perlukan undang-undang moral ini. Bolehkah kita mempunyai masyarakat sebegini? Sama-samalah kita berganding bahu mencegah kesalahan yang diperundangkan itu supaya seluruh masyarakat tahu bahawa undang-undang itu sudah tidak relevan lagi kerana masyarakat terdidik dan tidak memerlukan perundangan moral ini.

Hanya ketika itulah masa yang sesuai untuk menghapuskan perundangan itu dan bukan sekarang.Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup merangkumi semua aspek kehidupan. Apa perkara pun yang kita lakukan hendaklah berlandaskan kepada ajaran agama. Jauhilah segala perbuatan tersasar daripada hukum agama atau yang berada di luar ruang lingkup ajaran Islam. Islam adalah sebuah agama yang indah, keindahannya akan lebih ketara sekiranya Islam itu diamalkan sepenuhnya.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian 17 Jan 07