Monday, February 12, 2007

Peguam Syarie Menulis:Dalam BH pada 31 Jan 07

Sejarah membuktikan bahawa peradaban dan sains Islam mendahului zamannya. Pameran kegemilangan sains dalam tamadun Islam anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Institut Sejarah Sains Arab-Islam dan Johann Woofgang Goethe University, Jerman tentunya telah membuka mata para pengunjung pameran tersebut.

Pameran tersebut telah mempamerkan 148 bahan yang direka oleh ilmuan Islam di sepanjang zaman kegemilangan Islam silam. Pada ketika itu Eropah berada dalam dunia gelap atau dipanggil ’Dark Ages’. Ruangan ini tidak berhasrat untuk mengolah kembali bahan-bahan yang dipamerkan ataupun memperkenalkan saintis Islam yang mencipta bahan-bahan tersebut kerana adalah lebih baik pembaca pergi sendiri ke pameran tersebut bagi mendapatkan maklumat yang terperinci lagi.

Apa yang cuba diutarakan di sini ialah usaha kerajaan membawa rakyat mengimbau kembali kegemilangan sains Islam ini haruslah dipuji. Kementerian terlibat telah mengambil satu inisiatif mulia untuk menunjukkan fakta sebenar pencapaian sains, sekaligus menzahirkan pengiktirafan terhadap usaha-usaha saintis Islam sebelum ini. Namun begitu, kita tidak harus berbangga dengan sejarah silam sahaja. Sepanjang menyaksikan pameran tersebut, penulis berada dalam dua keadaan yang berbeza iaitu bangga dan gembira, dan masa yang sama berasa sedih dan pilu. Bangga melihat betapa tingginya pencapaian orang Islam terdahulu, dan sedih kerana memikirkan di mana kita, umat Islam pada hari ini? Kenapa umat Islam pada hari ini tidak maju sebagaimana saudara kita pada zaman dahulu? Apakah perbezaan antara kita dan mereka?

Perkara-perkara sebegini haruslah difikirkan bagi meneruskan kelangsungan kegemilangan Islam. Kita perlu menelusuri sejarah dan kehidupan masyarakat Islam pada zaman dahulu yang telah berjaya membawa kemajuan yang begitu gah dan digeruni lawan dan kawan. Sumber-sumber ilmu yang ditimba dari Al Quran dan Al Sunnah hendaklah tidak diketepikan bagi memacu kecemerlangan umat bukan sahaja di dalam bidang sains malah dalam apa bidang sekalipun.

Umat Islam dahulu amat berpegang dengan Al Quran dan Al Sunnah. Mereka tidak mempertikaikan walau sepotong ayat di dalam Al Quran ataupun mempermainkan sunnah Nabi. Mereka mengambil Islam secara keseluruhannya dan menyerahkan pengabdian diri kepada Pencipta secara total. Melalui kaedah ini mereka berjaya di dunia dan di akhirat.

Namun dalam kelompok umat Islam pada hari ini, ada yang berani mempersoalkan Al Quran dan Al Sunnah. Meletakkan perkara-perkara lain seperti hak persendirian dan kebebasan diri melebihi keagungan Al Quran dan Al Sunnah. Adakah kita akan cemerlang dengan cara ini? Di mana bukti umat Islam yang meninggalkan Al Quran dan Al Sunnah berjaya mencipta peradaban yang mantap dan dibanggakan menjangkau zamannya? Sedangkan kita telah mempunyai bukti bahawa umat yang berpegang dengan Al Quran dan Al Sunnah telah mengharumkan nama agama dan umatnya.

Tidak lama dahulu masyarakat agak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Meor Atiqurrahman yang lebih dikenali di kalangan ahli undang-undang sebagai Kes Serban. Dalam kes ini Hakim-hakim tersebut yang tidak terlatih dalam bidang fiqh Islami termasuk yang tidak beragama Islam telah memutuskan antara lain bahawa pemakaian serban bukanlah ’integral part’ bagi agama Islam.

Kemudian, terdapat pula pelbagai komentar dalam masyarakat kita yang mengatakan serban adalah amalan orang Arab, bahkan ada yang menyatakan pemakaian serban akan menyebabkan pemakainya menjadi jumud dan tidak cerdik. Ini kerana oksigen tidak dapat bergerak bebas dalam kepala pemakai serban. Bermacam-macam lagi andaian yang telah dibuat yang tidak didokong oleh kajian saintifik dan statistik yang membuktikan dakwaan tersebut. Benarkah memakai serban akan menyebabkan seseorang itu mundur?

Apabila mengunjungi pameran sains Islam yang dinyatakan diatas, berdasarkan lakaran gambar-gambar yang ada, kesemua saintis Islam yang tersohor itu memakai serban, malah serban yang dipakai oleh mereka itu lebih besar dari serban yang dipakai oleh rakyat Malaysia.

Timbul persoalan dalam diri penulis, adakah benar memakai serban akan menyebabkan seseorang itu mundur. Jika benar kenapakah pakar sains Islam terdahulu berjaya mendahului zamannya walaupun mereka memakai serban? Fikir-fikirkanlah persoalan ini.


Seperkara lagi ialah tentang kedudukan wanita pada zaman keagungan sains Islam. Adakah mereka ini ditindas semata-mata kerana tidak ditonjolkan tokoh ilmuan Islam dari kalangan wanita? Adakah ilmuan Islam ini meminggirkan hak wanita Islam? Dengan kecerdikan dan daya intelektual yang tinggi ini tentulah ilmuan Islam ini tidak akan menindas mana-mana golongan kerana telah terbukti keadilan Islam melampaui batasan gender dan bangsa. Persoalan sekarang di manakah wanita-wanita ini? Penulis berpendapat wanita-wanita ini menyokong ilmuan-ilmuan lelaki ini di dalam kajian mereka sama ada secara langsung ataupun tidak. Namun ini tidaklah bermakna wanita Islam tidak boleh ke hadapan menonjolkan kajian ilmiah mereka. Apa yang penting ialah batasan-batasan syarak itu dipatuhi. Janganlah kita mengambil pendekatan jika sesuatu permasalahan itu diselesaikan oleh ilmuan lelaki, maka orang lain mempertikaikannya serta melabelkannya bias dan berat sebelah.

Berbalik kepada pameran sains Islam ini, ia akan menjadi kenangan jika ianya sekadar menjadi bahan tontonan sahaja. Usaha MOSTI ini mestilah disusuli dengan kesedaran dan motivasi bagi menjana masyarakat Islam khususnya di Malaysia. Kita perlu kembali kepada Islam dan mencapai kejayaan yang sama dengan ilmuan Islam ini, bahkan lebih hebat daripada itu. Usaha ini perlu digalas bersama bukan sahaja dikalangan para ulama’ tetapi juga mestilah didokongi oleh kerajaan dan disokong oleh umat Islam sendiri.

Sistem pembelajaran di Malaysia dan kurikulum yang berkaitan juga mungkin perlu dikaji semula dan ditambah baik agar ianya dapat menyemai elemen-elemen kebesaran Ilahi di dalam pengajaran di samping memetik sumber-sumber daripada Al Quran dan Al Sunnah sebagai pedomannya. Begitu juga dengan fakta-fakta pelopor penemuan sains yang dikatakan bermula dari Barat perlu dibetulkan bahawa pelopor sebenar adalah orang Islam. Abu al-A’la al-Mawdudi (1987) pernah menyatakan bahawa dalam mendidik manusia, elemen-elemen kebesaran Ilahi perlu dimasukkan dalam kurikulum yang ada. Jika tidak dikaitkan dengan Allah dan nilai-nilai keagamaan, fenomena yang kompleks yang ada di alam raya dan makhluk-makhluknya sebagai bukti manifestasi kebesaran Allah, pelajar-pelajar tidak akan mampu melihat kehadiran Allah dan tidak akan berupaya untuk menyatukan (synthesize) ideologi-ideologi yang bertentangan dengan satu penyatuan sepadu.

Umpamanya di dalam pembelajaran sains biologi, teori-teori yang diajar perlu dikaitkan dengan kebesaran Allah dan sumbernya dari Al Quran. Dakwaan Darwinisme perlu dibetulkan. Pembentukan dan pembesaran janin yang telah diceritakan di dalam Al Quran hanya diketahui oleh saintis moden beribu tahun setelah Al Quran diturunkan. Inilah kebesaran Allah. Semoga dengan pendekatan baru itu, generasi baru akan berjaya melihat kebesaran Allah, kekayaan ilmu dalam al-Quran, ketinggian pencapaian orang Islam terdahulu dan tidak mustahil, mereka akan berazam dan berusaha untuk mencapai kejayaan seperti ilmuan silam yang ditunjukkan dalam pameran tersebut. Dengan cara ini pasti kita akan dapat melahirkan ilmuan yang hebat dan pada masa yang sama berpegang teguh kepada agamanya.


Artikel ini ditulis oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian paa 31 Jan 2007