Sunday, January 8, 2012

SBPA lagi..

SBPA..lagi

Saya letakkan berita hari ini di sini bahawa bagi yang berminat untuk naik pangkat, SBPA adalah pilihan yang bagus. Senang untuk naik pangkat bila seseorang pekerja bekerja keras dan berpotensi dan berkualiti..

Walaupun ganjaran pangkat dan gaji adalah menarik hati insan, tapi niat ikhlas bekerja mencari rezeki untuk diri dan tanggungan jangan sama sekali dilupa. Jika kita dapat lebih, banyaklah memberi, tapi jangan hidup dan mati hanya berfikir untuk mengejar dunia dan pangkat. kerana dunia ini seumpama air laut; lagi diminum bertambah masin, lagi diminum lagi dahaga. Lagi dahaga, lagi diminum. tidak berkesudahan...


Saya menonton youtube Prof Muhaya baru-baru ini. Ia sangat menarik dan membuatkan saya berfikir. Beliau menyebut beberapa kali bahawa tujuan hidup adalah mencari makna, jika kita bermakna kepada agama dan alam, maka adalah makna kepada kewujudan kita. Dan yang paling penting, beliau ada memberi kata-kata hikmahnya yang menarik bahawa, 'Bila kita mencari Allah, dunia mencari kita. Bila kita mencari keredhaan Allah dan membuat kebaikan atas nikmat yang diberi, pangkat dan ganjaran mengejar kita, bukan kita yang mengejar pangkat..'

Semoga kita berada dalam orang-orang yang bermakna dan memberi makna kepada agama, manusia dan alam..

Justeru itu, sama-samalah kita
menjadi anak yang bermakna
kakak dan abang yang bermakna
isteri dan suami yang bermkna
pekerja yang bermakna
jiran yang bermakna
dan sudah tentu jadilah hamba Allah yang bermakna!
insya allah..
________________


SBPA tawar kenaikan pangkat istimewa


2012/01/08 
PUTRAJAYA: Pegawai awam berprestasi tinggi dan berpotensi mengisi jawatan strategik akan dipertimbangkan kenaikan pangkat secara istimewa menerusi sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata kenaikan pangkat secara istimewa itu ialah pegawai dinaikkan pangkat bagi mengisi jawatan kosong dalam tempoh lebih cepat daripada pegawai lain sama ada ke satu gred lebih tinggi atau secara pelangkauan gred.
"Kenaikan pangkat secara istimewa membolehkan Ketua Perkhidmatan mempersiapkan pegawai dengan kompetensi sesuai dengan jawatan strategik yang dikenal pasti iaitu dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional," katanya dalam surat pekeliling yang dimuat naik dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kelmarin.
Beliau berkata, pertimbangan kenaikan pangkat secara istimewa berasaskan kriteria penilaian ditetapkan yang akan dibangunkan Ketua Perkhidmatan dan kriteria itu perlu dikemuka kepada JPA untuk mendapat kelulusan sebelum dilaksana.

Abu Bakar berkata, peningkatan gred gaji pula akan diberi kepada pegawai diiktiraf sebagai SME, iaitu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi serta pengalaman luas dalam sesuatu bidang khusus yang memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh dijadikan sumber rujukan kepada pegawai dari dalam dan luar organisasinya.

Beliau berkata, pegawai yang layak bagi dipertimbangkan untuk diiktiraf SME adalah Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memenuhi syarat termasuk berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam skim perkhidmatan semasa atau berada di gred 1-4; memenuhi kriteria penilaian kepakaran ditetapkan dan mendapat perakuan panel penilai kepakaran.

Katanya, Ketua Perkhidmatan bertanggungjawab membangunkan kriteria penilaian dan menetapkan petunjuk prestasi utama SME mengikut skim perkhidmatan.
“Kenaikan pangkat pegawai Kumpulan Pelaksana yang berkhidmat 15 tahun dan lebih serta masih berada di gred lantikan dalam skim perkhidmatan semasa, layak dipertimbangkan kenaikan pangkat mengikut syarat ditetapkan dalam skim perkhidmatannya secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

“Bagaimanapun, kaedah ini tidak terpakai bagi skim perkhidmatan disediakan kenaikan pangkat secara ‘time-based’. Pegawai dinaikkan pangkat mengikut kaedah ini terletak di bawah penyeliaan pegawai atasannya mengikut struktur perjawatan walaupun gred pegawai setaraf dengan pegawai penyelianya,” katanya