Friday, January 6, 2012

SBPA lagi..

Maklumat terkini..


Ada beberapa pendapat disekitar perubahan  skim SSM ke SBPA.
Ada yang setuju dan ada yang tidak.
Ada yang kata gaji naik tak selaras.
Ada naik banyak dan ada naik siket.

Apa pendapat saya?
Saya berpendapat, kita tunggu dan lihat.

Tetapi oleh kerana kita disuruh opsyen dan saya dulu sebenarnya dah buat opsyen dari bersara 56 ke 58, jadi kali ini saya kekalkan kepada bersara wajib pada 58 tahun. Lagi beberapa belas tahun akan datang. Masa tu saya pun tak tahu apakah saya masih kuat, masih bermanfaat dan apakah saya sudah tiada di muka bumi ini.. Hanya Allah yang tahu.

Pihak Persatuan Pensyarah meminta Kerajaan mengkaji balik kerana ada unsur tidak adil dalam kenaikan gaji tersebut. Ia berlaku terutama kepada pensyarah Gred 54 atau Prof Madya ke atas. (Saya termasuk dalam tu sebenarnya, tapi saya tak berapa memikirkannya..Saya hanya menerima apa yang dibincangkan..)

Isu itu berlaku contohnya saya bagi kes study sebegini..

Katakan Dr Mohd Ali (nama samaran dan gajinya pun samaran jugak) sekarang adalah Prof Madya DS/DM54.
Beliau berada di tangga gajinya P1T5 dan gaji pokok adalah RM5000.
Dia dah jadi Prof Madya selama  5 tahun.
Dalam SPBA, gaji pokok tangga gaji pertama DS/DM54 adalah RM5300.
Jadi Dr Ali selepas sign SPBA akan terus berganjak gajinya ke  gaji terdekat dengan gaji semasa beliau, maknanya RM5300. Kekananannya iaitu dia sudah berada di tangga T5 tidak diambil kira.
Jadi dia akan dapat  gaji selepas ini adalah tangga pertama bagi Prof Madya dalam skim SBPA
- yang merupakan atas siket dari gaji beliau sekarang.  
Jadi dia naik gaji RM300 atas perubahan skim ini.

Katakan Mohd Amin pula adalah Pensyarah Kanan Gred DS/DM52.
Beliau telah berada dalam jawatan tersebut selama 5 tahun dan berada di  tangga gaji  P1T5 
dengan gaji pokoknya adalah RM3300. Dia memohon untuk kenaikan DS/DM54 ke Prof Madya.
Beliau berjaya dan dengan perubahan skim SPBA, tangga gaji pertama beliau sebagai Prof Madya DS/DM54 bermula sebanyak RM5300.
Dengan itu beliau mendapat kenaikan gaji sebanyak RM 2000.

Justeru, pendapat yang berbeza akan diperolehi jika kita melihat dari dua sudut,  kaca mata Ali atau kaca mata Amin.

Bagi Ali- beliau sudah berada di jawatan itu selama 5 tahun. Dia sudah senior,  keluarga juga besar, anak-anak perlukan belanja lebih besar, sedangkan Amin baru masuk  jawatan tersebut, belum buat apa-apa lagi dan gaji mereka sama.. maka itu tidak adil untuk Ali, walaupun sangat baik untuk Amin.

Wallahua'lam..

Saya berlapang dada, tak da rasa apa-apa..
Jika saya jadi Amin, saya syukur, jika saya adalah Ali, saya juga bersyukur..
Tapi jika perkara tersebut adalah sesuatu yang terlepas pandang semasa penggubalannya, sangat baik jika kerajaan ambik tindakan alternatif, apa-apa saja yang terbaik untuk semua orang..
Tapi untuk pengetahuan semua, inilah kedudukan terkini isu SBPA yang berlaku sekarang di kalangan pensyarah yang terlibat..

Apapun, bagi saya dan anda juga, yakinlah selalu dan berlapang dada bahawa rezeki kita Allah tentukan...
bersyukur pada Allah dan membahagikan rezeki yang ada dengan sebaiknya.. Disetiap rezeki kita,  ia ada hak untuk anak isteri, ibu bapa, anak yatim, orang susah, Palestin, NGO Dakwah dan sedekah jariah.


Itulah sekadar Pendapat Saya... 
_________________________________

Mari kita baca berita di bawah..

PUTRAJAYA: Majlis Persatuan Kakitangan Akademik (MPKA) Malaysia yang mewakili kira-kira 30,000 pensyarah gred 54 ke bawah di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula pelarasan gaji mengikut Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilihat meminggirkan mereka.
Pengerusi MPKA Malaysia, Prof Madya Dr Razli Che Razak, berkata kajian semula itu perlu kerana peralihan tangga gaji dari Sistem Saraan Malaysia (SSM) ke SBPA untuk kakitangan akademik bergred DS54, DM54, DU54 dan DUG54 ke bawah didapati meminggirkan prinsip kesarjanaan dan kekananan seseorang kakitangan akademik di IPTA.
Beliau berkata, MPKA melihat pelarasan gaji berkenaan sepatutnya mengambil kira aspek kesarjanaan dan kekananan seseorang pensyarah dalam pelaksanaan SBPA supaya ia adil kepada semua pihak.

“Jika kita lihat kembali pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012, kenaikan gaji penjawat awam mesti antara tujuh hingga 13 peratus daripada gaji mereka mengikut SSM, tetapi ia tidak berlaku kerana hasil analisis mendapati peningkatannya (mengikut SBPA) hanya kira-kira tiga peratus.

“Malah, jika dilihat dari segi gaji permulaan pensyarah gred DS45 mengikut SSM dan SBPA, kenaikan hanya RM3.90 iaitu daripada RM2,546 kepada RM2,550. Bagi kenaikan gaji gred 52 dan 54 pula tidak mengambil kira aspek kekananan dan tempoh perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil MPKA dari seluruh negara di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, MPKA mendesak JPA melantik sekurang-kurangnya tiga wakilnya menganggotai Majlis Bersama Kebangsaan tanpa kekangan gred dan tidak mengira sama ada mereka dari kumpulan profesional atau bukan.
Selain itu, Razali berkata, JPA perlu mempertimbangkan pemberian insentif baru kepada kakitangan akademik berdasarkan status universiti atau kepakaran seperti Universiti Penyelidikan atau Universiti APEX menerusi pelaksanaan pemberian insentif di bawah SBPA pada 2013.

“Kita juga berharap JPA akan mengkaji semula dan mengubah frasa opsyen dalam surat tawaran SBPA yang bertulis ‘muktamad’ kerana ia dilihat sebagai paksaan dan tidak membenarkan rundingan,” katanya.

Berikutan itu, MPKA bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bagi membincangkan masalah itu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, yang turut hadir berkata, beliau menyokong tindakan MPKA itu dalam menyuarakan pandangan mereka kerana ia mampu menjamin kebajikan kakitangan akademik di negara ini.

“Kebajikan kakitangan akademik amat penting kerana mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan modal insan dan melahirkan tenaga kerja berkualiti di Malaysia.

“Justeru, CUEPACS berharap JPA turut mengambil kira desakan dan pandangan kakitangan akademik di IPTA dalam perbincangan mereka tidak lama lagi,” katanya.