Sunday, June 5, 2011

Adil Menangani Anak-anak

Anak-anak..


kadang-kadang, ibu bapa tak sedar dia sebenarnya pilih kasih antara anak-anak mereka. Pilih kasih yang biasa-biasa mungkin tak berat sangat, tapi kalau sangat ketara, memang tak boleh. ANak-anak sengsara dan ibu bpa tersebut perlu betulkan pendekatan mereka.. Pilih kasih tidak boleh diamalkan kerana anak-anak berhak mendpaat kasih sayang yang benar dan ikhlas dari ibu bapa masaing-masing.


Sekadar pendapat saya..

Adil Dalam Menyayangi Anak-anak

Sebuah drama keluarga yang ditayangkan baru-baru ini membawa tema kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak. Kisah menggambarkan bagaimana seorang ayah sangat menyayangi anak pertama telah menunjukkan kasih sayang yang tinggi kepada anak tersebut. Sedangkan layanan berbeza diberikan kepada anak kedua sehinggakan si ayah menolak segala kebaikan yang datang daripada si adik. Hasil penzahiran kasih sayang yang begitu ketara menyebabkan tekanan dan kronik dalaman kepada si adik.

Dalam kisah tersebut, si ayah telah memberi satu set walkie talkie yang mahal untuk si abang dan mereka berdua telah bermain, saling bercakap menggunakan walkie talkie tersebut dengan begitu gembira. Adik yang melihat dengan sedih telah bertanyakan apakah ayahnya ada membelikan hadiah yang sama untuknya. Dengan nada bersahaja si ayah menjawab bahawa dia tidak membelikan sebarang hadiah kerana si adik tidak tahu menghargainya. Selepas beberapa ketika, si adik telah mengambil walkie talkie tersebut, melarikannya serta bermain sendirian berlagak bahawa dia sedang bercakap dengan ayahnya. Apabila abang menceritakan kepada ayahnya bahawa adiknya mencuri hadiah tersebut daripadanya, si ayah telah manangkap, menengking, memukul si adik, memarahi dan mengulang-ulang kata-kata ugutan seperti ”Jangan tinggal di rumah ini lagi kalau nak jadi pencuri”, ”Ayah benci anak yang jahat” dan kata-kata tajam yang menghiris hati seorang anak yang masih belum faham tentang erti kehidupan.

Kisah seumpama ini selalu juga berlaku dalam masyarakat kita di mana kasih sayang kerap dibeza-bezakan antara adik beradik sama ada secara sedar atau tidak.. Ada ibu bapa melebihkan anak bongsu, ada yang terlalu memanjakan anak kedua, anak sulong, anak lelaki dan sebagainya. Anak-anak yang merasakan dirinya tidak disayangi akan cuba membuat satu penilaian terhadap kasih sayang ibu bapa kepadanya. Mereka dapat merasakan bahawa wujud perbezaan kasih sayang ibu bapa terhadap dirinya dan adik beradik yang lain.

Apa yang bermain dalam fikiran seorang anak apabila dia dilayan seperti seorang yang tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak dipedulikan?. Siapakah yang akan dia pergi jika ingin meluahkan kekecewaannya terhadap kehidupannya. Di manakah tempat yang mungkin akan menggembirakannya setelah dia berjaya melangkah lebih jauh daripada rumah tersebut. Mungkin semasa kecil, dia tidak terdaya untuk berfikir jika lari dari rumah, tapi bagaimana jika dia telah besar dan mempunyai kenalan di merata tempat. Cuba kita bayangkan apakah anak tersebut setelah membesar dapat mengubah persepsi yang dipegangnya semenjak kecil.

Dalam urusan memberi kasih sayang kepada anak-anak, terdapat beberapa panduan yang wajar diambil berat oleh ibu bapa berdasarkan nasihat ilmuan Islam dan pakar psikologi kanak-kanak.

Pertama, ibu bapa jangan menzahirkan dengan ketara rasa kasih kepada seseorang anak dan meninggalkan anak-anak yang lain. Walau pun mungkin ada salah seorang anak lebih disayangi, tetapi perasaan kasih itu jangan keterlaluan dizahirkan. Mengambil iktibar dari teguran Allah kepada suami-suami yang berpoligami di mana Allah memberi nasihat supaya mereka jangan menunjukkan kasih sayang kepada seorang isteri melebihi isteri yang lain. Ia akan menyebabkan isteri yang ditinggalkan merasa tidak ketahuan, rasa terbuang dan tidak disayangi. Walaupun ia merujuk kepada isu poligami, tetapi yang penting ia melibatkan perasaan sebagai seorang insan. Anak-anak juga begitu. Jangan melebihkan anak bongsu contohnya dengan keterlaluan sehingga anak-anak lain dibiarkan.

Kedua, beri ganjaran dan teguran dengan adil di antara semua anak-anak. Jika anak melakukan yang baik, bagi perangsang dan pujian atau hadiah. Jika membuat kesilapan, perlu ditegur dengan sebaiknya. Apabila anak yang disayangi membuat silap tetapi yang dimarahi adalah anak-anak yang lain, ia menunjukkan ibu bapa tidak bijak menangani urusan keadilan dalam pendidikan anak-anak. Jika dibelikan hadiah kepada seorang nak, belikanlah untuk kesemuanya. Walaupun murah, setiap anak sangat mengharapkan ingatan daripada ibu bapanya. Namun begitu, pengecualian mungkin diberi semasa hari lahir anak-anak tertentu atau kejayaan dalam peperiksaan dan sebagainya.

Ketiga, ibu bapa tidak wajar sama sekali menggunakan ayat-ayat yang menghiris hati kecil anak seperti, ”Ayah atau ibu benci pada kamu”. ”Kalau nak jadi jahat, jangan jadi anak ibu lagi”. ”Keluar dari rumah, ibu benci tengok muka kamu” atau apa-apa yang memberi kesan penolakan kepada anak. Ia boleh menimbulkan kebencian si anak terhadap ibu bapanya dan juga kepada dirinya sendiri. Perbezaan layanan daripada bapa atau ibu akan menimbulkan pelbagai soalan dalam diri si anak . Contohnya, ”Saya ni siapa dalam rumah ini?” ”Kenapa ayah benci sangat dengan saya?”, ”Kenapa semua saya buat salah belaka?”, ”Apakah saya ni anak orang lain?”, ”Apa patut saya buat supaya ibu atau ayah sayang saya.”

Keempat, penggunaan kuasa autoritarian atau diktator terhadap anak tidak membantu secara mutlak untuk menjadikan anak seorang yang bijak, mampu berdikari dan pandai menyelesaikan masalah secara sendiri. Anak-anak mungkin patuh di hadapan tapi bertindak sebaliknya di belakang ibu bapa. Penggunaan ayat-ayat sindiran, perlian dengan sinis kepada anak yang tidak disayangi juga perlu dielakkan. Anak-anak tidak dapat menangkap maksud di sebalik sindiran tersebut. Jelaskan kepada mereka apa yang perlu dilakukan dengan baik dan betulkan kesilapan mereka tanpa membezakan antara antara adik beradik yang ada. Ibu dan ayah juga perlu selalu menyebut perkataan baik berbentuk positif dan mengingatkan anak-anak tentang peranannya dalam usaha membentuk kekuatan jiwa anak-anak mereka.

Rasulullah (SAW) menyebut bahawa anak-anak seumpama kain putih yang diberi warna oleh ibu dan bapa. Ibu dan bapa yang mencorakkan warna dikanvas tersebut, memberi nilai yang baik, mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Menghadapi anak-anak dengan kasih sayang yang terpilih dan berbeza-beza akan menyukarkan usaha mendidik mereka. Justeru, ibu bapa perlu adil dalam memberi kasih sayang dan didikan sertaperlu selalu menambah ilmu keibupaan agar usaha mendidik anak-anak akan lebih berjaya.

Nurhidayah Hashim