Monday, January 4, 2010

Selamat Maal Hijrah dan Tahun Baru

Ini saya tulis untuk Persatuan VMPGA yang disiarkan dalam website VMPGA.
____



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua ahli VMPGA,


Pepatah Arab mengatakan ‘Masa itu Pedang, jika anda tidak memotong, anda akan dipotong’. Masa berlalu dengan begitu pantas. Sekarang kita sudah meninggalkan tahun 1430Hijrah/ tahun 2009 dan mula melangkah meniti tahun baru. Masa yang berlalu menyaksikan ramai di kalangan kita yang balik menamatkan pengajian dan ada pula yang baru datang menjejak kaki ke Victoria. Ada pula yang sedang berjuang bersungguh-sungguh di pertengahan tahun pengajian.


Kepada semua sahabat-sahabat yang telah berjaya menamatkan pengajian dan kembali ke tanah air, VMPGA mengucapkan TAHNIAH dan semoga kejayaan akan menjadikan saudara semua lebih bersemangat ‘memberi’ kepada anak bangsa di Malaysia serta menjadi pendorong kepada yang tinggal. Kepada yang semua yang sedang berjuang, didoakan semoga Allah SWT akan memudahkan semua urusan pengajian kita dan memberi kita kekuatan meneruskan perjuangan. Manakala kepada yang baru datang diucapkan SELAMAT DATANG dan marilah bersama-sama menyambung silaturahim di Melbourne ini.


Pada tahun 2009 yang lepas, VMPGA telah berjaya mengadakan beberapa aktiviti dengan tujuan menjaga kebajikan, silaturahim dan membina jaringan dan akademik ahli-ahli dan pelajar pasca siswazah bersama. Antara yang telah berjaya diadakan adalah Majlis Perbincangan Akademik / Coffee Table Discussion untuk menjadi medan perjumpaan dan perbincangan ke arah menyemarakkan semangat ‘sharing and caring’ sesama kita dalam menjayakan kajian PhD dan Masters masing-masing. Pada 29 Nov 2009 pula, VMPGA dengan kerjasama perkampungan pelajar telah berjaya menjayakan Hari Keluarga Sempena Sambutan Aidil Adha untuk pelajar pasca siswasah, pasangan dan keluarga seluruh Victoria. Pada akhir bulan Disember pula, VMPGA juga telah menjadi ‘host’ menjayakan khidmat ‘pembaharuan pasport’ oleh pihak Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dari Canberra untuk pelajar-pelajar dan warga emas. Sehari selepasnya VMPGA mengadakan perbincangan dengan Pegawai-pegawai MSDA tentang beberapa perbincangan ke arah menjaga kebajikan kita semua.



Pada tahun 2010 ini, VMPGA mempunyai beberapa perancangan untuk sama-sama direalisasikan untuk kebajikan dan kebaikan semua pelajar pasca siswazah, pasangan dan keluarga masing-masing. Program bersifat Akademik akan diteruskan di samping meningkatkan proses menawarkan khidmat sokongan urusan transit dan homestay untuk pelajar baru. VMPGA juga akan mengeluarkan kad keahlian dan insya Allah dan ahli VMPGA akan mendapat keistimewaan potongan harga di beberapa buah ‘outlet’ sebagai insentif untuk kita semua. Pengumuman baru akan disiarkan secara berkala oleh barisan pimpinan VMPGA selepas ini.



Sempena kehadiran Tahun Baru 1431Hijrah dan 2010, kami, seluruh barisan pimpinan VMPGA sesi 2009/2010 mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU dan semoga tahun baru ini akan membawa kejayaan yang besar dalam semua urusan kehidupan kita semua.

Yang benar

PM Nurhidayah Hashim

Presiden VMPGA 2009/2010

Sila visit http://www.vmpga.org