Sunday, July 27, 2008

This is my article published in Berita Harian on 23rd July.. Actually it was a long article but has been cut short by the Editor of BH. For this blog purposes, I put the original one..
_______

Sejarah Perundangan Syariah di Malaysia
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Dalam keluaran terdahulu, ruangan ini pernah membawa pembaca menyusuri sejarah perundangan dengan melihat bagaimana undang-undang Inggeris bertapak dan membina kekuatan di Malaysia. Apakah yang telah berlaku kepada perundangan Syariah selepas negara merdeka dan bagaimana bentuk isi kod peruntukan undang-undang sebelum ini?

Apabila Inggeris menguatkuasakan kod undang-undang Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment Chapter 197 of Revised Law of Federated Malay States, 1935 ia lebih memusatkan kepada aspek-aspek pentadbiran seperti pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta sedikit hukum asas dalam perkahwinan. Pengkaji Barat, M.B. Hooker dalam tulisannya turut menyebut ia bertujuan memudahkan British mengawal selia urusan kekeluargaan masyarakat Islam di samping cuba mengekalkan polisi tidak mencampuri hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sekadar tidak menghina amalan sedia ada.

Bermula pada awal tahun 1950-an, tindakan pertama dijalankan dengan tergubalnya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, Selangor 1952 yang mengandungi urusan penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor yang membantu Sultan dalam mentadbir perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Hak dan kuasa Majlis, peraturan mesyuaratnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, pelantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa.

Penubuhan Mahkamah Kadi dan Kadi Besar, perlantikan Kadi Besar serta bidangkuasa Mahkamah dalam mendengar dan memutuskan kes-kes yang berlaku di antara orang Islam dinyatakan dalam seksyen 43 hingga seksyen 57. Manakala antara seksyen 58 hingga seksyen 93 pula diperuntukkan peraturan perbicaraan jenayah dan perbicaraan Mal yang perlu diikuti di mahkamah.

Enakmen Pentadbiran 1952 ini juga memperuntukkan perkara yang berkaitan dengan urusan wakaf dan pengurusannya, nazar, zakat, fitrah, pungutan khairat, hal-ehwal wang amanah, pengurusan masjid dan pelantikan pegawai-pegawainya yang dinyatakan dalam seksyen 94 hingga seksyen 118.

Aspek-aspek kekeluargaan diperuntukkan tetapi tidak terperinci. Perkara yang dinyatakan meliputi urusan pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembubaran perkahwinan, harta sepencarian, penjagaan anak-anak, nafkah anak-anak dan isteri, anak sah taraf dan sebagainya. Ia diperuntukkan dalam 25 seksyen sahaja iaitu seksyen 119 hingga seksyen 144.

Kandungan Enakmen Pentadbiran 1952 ini sebenarnya lebih kepada menggabungkan berbagai-bagai undang-undang pentadbiran agama Islam. Dengan pewartaan Enakmen Pentadbiran 1952 ini maka ia telah menggantikan pemakaian kod Muhammadan Enactment yang dikuatkuasakan.

Penggubalan Undang-undang Pentadbiran ini telah dilaksanakan di negeri-negeri lain iaitu negeri Kelantan pada tahun 1953, Trengganu pada tahun 1955, Pahang pada tahun 1956, Pulau Pinang dan Melaka pada tahun 1959, Negeri Sembilan pada tahun 1960, Kedah pada tahun 1962, Perlis pada tahun 1963 dan akhirnya negeri Perak pada tahun 1965.

Jika dikaji, peruntukan mengenai urusan perkahwinan di dalam Enakmen Pentadbiran 1952 sebenarnya hampir sama dengan peruntukan yang ada di dalam Muhammadan Enactment. Penggunaan ayatnya sama kecuali perubahan kepada perkataan Pendaftar dan Kadi sahaja. Contohnya peruntukan fasakh dalam Seksyen 6 (i) Muhammadan Enactment memperuntukkan:

Any Registrar may receive from a married woman who has been resident for at least 4 months in the locality within which he is appointed an application for the divorce known in Muhammadan law as fasakh or for divorce known as cerai ta’alik.

Enakmen Pentadbiran 1952 juga memperuntukkan yang sama dalam Seksyen 128(1) iaitu:
Any Kathi having jurisdiction in this behalf may receive from a married woman an application for the divorce known in Muslim law as fasakh or for the divorce known as cerai ta’alik.

Kedua-dua peruntukan undang-undang ini tidak menjelaskan apa maksud fasakh dan alasan-alasan yang diterima oleh mahkamah untuk isteri menuntut fasakh. Menurut E. N. Taylor, oleh sebab kebanyakan penduduk Tanah Melayu adalah berpegang kepada mazhab Syafi‘i, maka dengan sendirinya prinsip dalam mazhab Syafi‘i bagi masalah ini akan terpakai. Ini bermakna berdasarkan kepada pendapat atau andaian Taylor, alasan-alasan yang dibincangkan dan dipersetujui oleh mazhab Syafi‘i sahajalah yang akan diterima oleh pihak mahkamah sebagai alasan menuntut fasakh.

Seksyen 6 (ii) Muhammadan Enactment pula menghuraikan mengenai tatacara yang perlu diikuti oleh Mahkamah selepas pengaduan isteri diterima. Ia memperuntukkan:
(ii) Upon receiving such application the Registrar shall immediately cause notice thereof to be served upon the husband of the woman.
(iii) If it is made to appear to the Registrar by sworn statement that the husband is not within the state and that in the circumstances of the case it is impossible to serve the notice on him the Registrar may order the notice to be served upon the husband’s nearest relative or if no relative is known to be in the state may dispense with the notice.

Seksyen 6 (iv) dan (v) Muhammadan Enactment pula menyebut tentang tatacara yang perlu dijalankan pada hari sebutan kes. Ia memperuntukkan:
(iv) If at the hearing of the application, the husband of the woman does not appear, the service of the notice shall unless the Registrar has dispensed with the notice under this section be proved by sworn statement.

Peruntukan yang sama disediakan di dalam Enakmen Pentadbiran 1952. Selepas permohonan didengar dan isteri mengangkat sumpah di hadapan saksi, maka pendaftar akan merekodkan perkara ini dan akan meluluskan permohonan fasakh atau taklik yang dituntut jika beliau yakin ia menepati undang-undang Islam.

Hampir keseluruhan peruntukan adalah bersifat umum dan longgar. Oleh kerana kekurangan yang ada di dalam kod undang-undang sebelumnya tidak diperbaharui dengan baik oleh Enakmen Pentadbiran 1952, maka tindakan dan usaha lain ke arah melahirkan peruntukan undang-undang yang lebih baik sangat diperlukan. Menurut Profesor Ahmad Ibrahim, permasalahan dan kedudukan pentadbiran Undang-undang Syariah yang kurang memuaskan itu disedari oleh kerajaan dan orang-orang Islam di Malaysia. Akhirnya diwujudkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Allahyarham Syed Nasir Ismail dan dianggotai oleh pakar-pakar Undang-undang Syariah ditubuhkan untuk menimbang kedudukan Undang-undang Syariah, kuasa dan status Mahkamah Syariah dan hakim-hakim Mahkamah Syariah di negara ini.

Perkembangan seterusnya membawa kepada penggubalan dan pewartaan Enakmen Undang-undang sekitar tahun 1980-an dan yang terakhir adalah kod undang-undang sekitar 2003 seperti dilaksanakan di Selangor, Kelantan dan beberapa negeri yang lain. Usaha-usaha lebih agresif dan tersusun masih perlu digiatkan lagi dan kita semua perlu menyokong untuk memartabatkan lagi perundangan Syariah di tanah air tercinta ini.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com