Saturday, July 5, 2008

Suami Zalim

Kesiankan bila dengar ada orang selalu kena dera dengan suaminya.. Rumah yang paling selamat menjadi tempat yang menakutkan dan sangat tidak selamat. Keadaan yang sama berlaku bagi anak-anak yang menjadi mangsa dera.

Bagi wanita yang teraniaya, mereka sealunya menjadi sangat takut, fobia, trauma, hilang jati diri, rendah esteem dan merasakan dunia ini sudah terlalu sempit untuk mereka. Kadang-kadang ketakutan pada si suami menjadi tidak terkawal.. Kesiankan...

Bagi yang tidak melaluinya, jangan lupa bersyukur pada Allah atas kehidupan indah yang dilalui. Jika ada saudara mara kita yang berdepan dengan masalah sebegini, kita mesti menolong mereka, bantu dengan menguatkan jiwa mereka, beri nasihat yang benar dan berusaha membawa mereka berjumpa kaunselor atau peguam untuk memperkasakan jiwa mereka...

Jika anda berdepan dengan penderaan dari suami, bacalah artikel ini..
Jika anda tidak berdepan dengan perkara ini, berusahalah membantu mereka yang tidak bernasib baik...bacalah juga artikel ini...
________________

Jawapanku yang disiarkan dalam Berita Harian pada 3 Julai 08

Suami Zalim

Soalan :

Saya bersuamikan seorang lelaki yang cepat panas baran. Dia kerap memukul, menampar dan menendang saya lebih-lebih lagi jika kami kehabisan wang. Pernah saya cuba untuk melaporkan perbuatannya kepada polis atau mendapat laporan perubatan tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana dihalang oleh suami. Malah tidak ada saksi yang melihat kejadian itu kecuali anak berumur 7 tahun. Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, dia mengurung saya dalam rumah. Saya seolah-olah terpenjara dalam rumah sendiri. Dia mengurung saya berminggu-minggu hingga kesan luka serta lebam di badan saya hilang. Dia juga pernah mengugut untuk menghalau saya pada suatu malam selepas membogelkan saya. Saya juga pernah mengalami penderitaan seks ketika masih dalam pantang. Apa yang patut saya lakukan.

Isteri mangsa kezaliman
Selangor


Jawapan

Saya sangat bersimpati dengan nasib puan. Apa yang puan lalui adalah satu pengalaman yang menyakitkan dan saya berharap puan bersabar dan berusaha mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan diri dan membawa kes ke muka pengadilan.

Suami puan telah melakukan tindakan tidak wajar yang berlawanan dengan ajaran Islam. Rasulullah menyatakan bahawa, ‘Sebaik-baik kamu adalah mereka yang baik dengan isterinya. Dan aku adalah yang terbaik di antara kamu’ Ini menunjukkan Rasulullah menyuruh suami berlaku lembut dan melayan isteri dengan baik dan tidak melakukan keganasan terhadap isteri. Baginda sendiri tidak pernah menyakiti isteri-isterinya walau apa alasan yang ada. Semoga Allah memberi petunjuk kepada suami puan untuk berubah dan bertaubat atas dosa dan kesalahan yang dilakukan.

Sebenarnya keganasan rumah tangga sama ada dilakukan suami atau isteri adalah salah satu daripada perlakuan tidak sihat yang berlaku dalam masyarakat. Ini sudah tentu membawa kepada ketidakselesaan dan menggugat kebahagiaan dan keharmonian hidup berkeluarga.

Mengikut kajian juga, kejadian suami mendera isteri, sama ada secara fizikal atau mental sudah lama berlaku dan berterusan hingga hari ini. Statistik menunjukkan keganasan rumah tangga banyak berlaku dan ada sesetengah isteri hanya berdiam diri dan mengalah atas apa yang dilaluinya. Perkara ini wajar diubah bersama.

Hakikatnya, atas tangan isteri untuk mengambil tindakan ke atas keganasan yang dilakukan suami atau membiarkan keganasan itu berterusan tanpa membuat tindakan segera untuk mengelakkan berlakunya keganasan.

Keganasan atau kezaliman suami ke atas isteri seharusnya dihentikan segera dan isteri yang menghadapi keadaan sedemikian perlu berani untuk bertindak bagi menghalang perbuatan tersebut berterusan. Inilah antara perkara besar dalam rangka memperkasakan jiwa wanita yang teruji dengan masalah sebegini.

Puan seharusnya melakukan sesuatu dan mengambil tindakan segera jika mahu menyelamatkan rumah tangga dan memberhentikan tindakan zalim terhadap diri dan anak-anaknya. Pada pandangan saya, apabila kita membiarkan dan menyembunyikan keganasan yang dilakukan suami, ia boleh disifatkan sebagai penyumbang kepada keganasan suami yang pasti melakukan kezaliman lebih besar. Sedangkan Rasulullah memberi nasihat supaya jangan melakukan kemudaratan ke atas orang lain dan jangan membiarkan orang melakukan kemudaratan ke atas kita.

Saya mencadangkan agar puan berusaha mendapatkan bantuan moral dari keluarga terdekat atau pun jiran-jiran yang ada. Kemungkinan dengan campur tangan ibu bapa kedua-dua belah pihak, hubungan rumah tangga puan dapat diperbaiki. Pada masa yang sama, suka saya nasihatkan bahawa walaupun tiada saksi ketika puan dipukul, puan masih boleh mendapatkan bantuan kerana mungkin jiran-jiran mendengar pergaduhan dan melihat kesan lebam yang ada di badan puan. Orang-orang terdekat yang mengetahui hubungan dan layanan buruk dibuat ke atas puan boleh memberi keterangan di Mahkamah sekiranya perlu. Ia akan menguatkan permohonan puan jika di bawa ke mahkamah.

Antara perkara yang puan perlu ambil sekiranya berlaku deraan adalah, bersegera melaporkan penderaan itu kepada polis. Pihak polis akan merekodkan aduan itu dan mereka akan membuat laporan rasmi yang boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Puan juga wajar mendapatkan rawatan dari doktor perubatan, laporan doktor adalah perlu untuk dijadikan bahan bukti (qarinah) di Mahkamah sekiranya perlu. Dalam kes sekiranya puan dikurung dan sebagainya, puan boleh berusaha mendapatkan rawatan sebaik sahaja puan berjaya mencari jalan keluar. Adalah nyata suami puan tidak menaruh belas ihsan kepada puan dan melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan agama.

Perlakuan buruk seperti inilah yang sangat kita khuatiri kerana ia boleh memburukkan nama baik agama di kalangan orang luar. Kadang-kadang perlakuan segelintir golongan tersasar ini dijadikan hujah bahawa Islam yang mengajar umatnya melayan isteri dengan keras dan kasar.

Puan boleh merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor di mana dalam Seksyen 53, ada diperuntukkan dengan jelas bahawa seseorang suami itu disifatkan sebagai melakukan kekejaman dan kezaliman kepada isterinya jika dia lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita berpunca daripada perbuatan aniaya termasuk suami berkawan dengan wanita jahat atau berperangai keji pada pandangan syarak.

Suami juga dianggap kejam jika memaksa isterinya hidup secara lucah dan ia amat bertentangan dengan syarak dan Undang-undang Keluarga Islam. Selain itu, suami kejam dan zalim jika melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu. Malah suami juga dianggap zalim jika menghalang isterinya dari menjalankan kewajipan terhadap agama.

Suami yang mencederakan isterinya seperti memukul, menampar dan menendang adalah melakukan kezaliman dan ia adalah alasan yang kukuh untuk menuntut fasakh. Di samping itu, suami juga boleh diambil tindakan jika dengan sengaja menyebabkan cedera atau dengan sengaja menyebabkan cedera, dengan jalan menggunakan senjata atau lain benda yang berbahaya yang berkaitan dengan peruntukan di bawah Akta Keganasan Rumah tangga dan juga Kanun Keseksaan.

Puan boleh menghubungi mana-mana Peguam Syarie yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat terperinci tentang hak puan. Sekiranya puan tidak bekerja atau mempunyai tahap pendapatan tertentu, puan boleh menggunakan khidmat Peguam Biro Bantuan Guaman (BBG) yang berdekatan dengan tempat puan. Saya doakan puan berjaya mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelamatkan diri dan anak-anak puan.

Jawapan disediakan Puan Nurhidayah Muhd Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.com