Saturday, September 10, 2011

Honour Killing


Pembunuhan Kerana Maruah (Honour Killing)
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim

Membaca laporan akhbar mengenai kes gadis Pakistan 17 tahun (Shafiela) yang hilang pada bulan September 2003 dan mayatnya dijumpai pada Februari 2004 sangat menyedihkan. Beliau dilaporkan hilang dari rumah di Britain selepas membuat aduan dipaksa berkahwin tanpa kerelaan dalam satu perkahwinan diatur (arrange marriage) oleh kedua ibubapanya Siasatan polis mendapati sebelum kehilangannya, gadis tersebut dibawa ke Pakistan atas alasan melawat keluarga, tetapi beliau dipaksa berkahwin tanpa persetujuannya. Beliau cuba membunuh diri dengan meminum racun pencuci (bleach) tetapi kemudiannya kembali ke UK untuk menamatkan pengajian. Beberapa minggu kemudian, beliau dilaporkan hilang. Selepas 8 tahun berlalu, kedua ibu bapa mangsa ditangkap dan akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh anak mereka. Pembunuhan tersebut dipercayai bermotifkan maruah (honour killing).

Kes sebegini sudah banyak dilaporkan berlaku dalam kelompok orang Islam di beberapa buah negara terutama di Pakistan, India, Jordon, Moroko dan sebagainya.

Apakah sebenarnya yang dikatakan ‘honour killing’? Istilah ini digunakan merujuk kepada pembunuhan yang dilakukan oleh anggota lelaki dalam satu-satu keluarga sama ada suami, ayah, abang atau adik lelaki ke atas anggota wanita dalam keluarganya seperti isteri, ibu, kakak atau adik yang melakukan sesuatu tindakan dan dianggap mencalar maruah keluarga. Ada kalanya pembunuh bertindak sendirian seperti ayah membunuh anak perempuannya, dan ada kalanya berkumpulan seperti ayah melakukannya dengan bantuan ibu, abang dan sebagainya.

Dalam kajian Nesheiwat (2004), berdasarkan kes yang dilaporkan, terdapat beberapa sebab wanita dibunuh. Antaranya kerana enggan dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga, berkahwin dengan lelaki dari suku yang berbeza, bercakap dengan lelaki yang bukan suami, menuntut cerai walaupun atas alasan suami melakukan penderaan, berpakaian tidak menutup aurat, dan tidak pandai melakukan kerja rumah tangga. Ada kes mangsa dibunuh bukan kerana melakukan apa-apa kesalahan tetapi kerana beliau dirogol dan keluarganya berasa malu. Bahkan ada yang lebih menyedihkan apabila abang membunuh adik perempuan kerana ayah merogol adik tersebut (incest). Adik perempuan dianggap bersalah kerana kewujudannya menyebabkan ayah merogolnya. Kaedah pembunuhan pula ada yang dipukul sehingga mati, dibakar hidup-hidup, dipotong leher, ditikam, dilemaskan sehingga mati dan ada yang ditembak.

Asas pembunuhan adalah kerana pelakunya percaya bahawa maruah keluarganya telah tercemar kerana perbuatan anggota perempuan tersebut. Maruah tersebut pula tidak akan dapat diubah kecuali dengan darah perempuan tersebut. Ia juga disebut oleh Ruane (2000) iaitu ‘apabila maruah tercalar, darah mengalir. Apabila darah mengalir, maruah terbela’.

Pembunuhan sebegini yang dilakukan oleh orang Islam memberi nilai buruk kepada nama baik Islam. Orang bukan Islam contohnya Stillwell dalam bukunya 'Honor Killings: When the Ancient and the Modern Collide' (2008) menyebut oleh kerana ia kerap berlaku dalam masyarakat Islam, maka ia dikatakan berasal dari ajaran Islam atau paling tidak, ia  dibenarkan dalam Islam. Sekaligus baginya, menunjukkan Islam tidak menjaga kebajikan wanita dan masyarakat seolah-olah membenarkan pembunuhan ke atas wanita dilakukan dengan mudah.

Islam sebenarnya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana orang untuk membuat undang-undang sendiri, apatah lagi membunuh atas alasan apa sekali pun. Hukuman sama ada penjara, dibunuh dan sebagainya hanya boleh dijatuhkan oleh Mahkamah atas dasar undang-undang, selepas penyiasatan, pendakwaan, pembelaan dan pembuktian dipenuhi.  Syariah tidak pernah memberi ruang kepada mana-mana orang sama ada suami, ayah atau abang  untuk membuat undang-undang sendiri. Sekiranya wujud perlakuan salah dilakukan oleh mana-mana ahli keluarga yang dianggap menjatuhkan maruah keluarga, membunuh mereka atas alasan maruah tidak boleh dilakukan.

Ini ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri dalam menghadapi ujian besar seperti dinyatakan dalam surah al-Nur. Tatkala isterinya Aisyah dituduh melakukan perkara sumbang,  Baginda tidak pernah mengambil tindakan keganasan terhadap Aisyah sehinggalah terbukti gossip tersebut adalah salah.  Baginda juga memuji suami yang berlaku lembut kepada isteri dan anak-anak dan melarang perlakuan ganas terhadap anak isteri. Sehinggakan Baginda bersabda, ‘Yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik dengan isterinya’ (Ibn Majah dan Tirmizi)

Islam juga sangat menekan konsep  mahram dalam sesebuah keluarga. Mahram sebenarnya memberi maksud bahawa suami dan anggota lelaki dalam keluarga adalah bertindak sebagai pelindung, pemberi didikan, pembela sehingga anggota perempuan dalam keluarga tersebut berasa selamat berada bersama mahram mereka. Oleh itu, apabila mahram yang sepatutnya melindungi, tetapi membunuh mereka atas alasan ‘honour killing’, maka ia adalah perlakuan yang bertentangan secara total kepada konsep mahram tersebut. Apabila anggota perempuan dalam sesebuah keluarga melakukan kesalahan, maka  tugas mahram adalah mendidik, menegur dan membetulkan mereka. Sekiranya tindakan salah anggota perempuan adalah kesalahan jenayah, maka ia hendaklah diketengahkan kepada pihak berwajib, biarlah Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal.

Jelas sekali bahawa perbuatan membunuh kerana maruah tidak boleh sama sekali dianggap berdasarkan ajaran Islam kerana tidak ada sebarang dasar membenarkan perbuatan tersebut. Semoga usaha menghentikan amalan salah ‘honour killing’ ini dapat tercapai melalui perjuangan berterusan untuk menjaga kebajikan wanita dan perubahan  paradign dalam diri anggota lelaki sebagai mahram dalam menilai tugas dan peranan mahram dalam sesebuah keluarga. Begitu juga melalui usaha pihak berwajib dalam menangani perkara ini. Kita sangat bersyukur kerana amalan ‘honor killing’ tidak berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia.  


 Penulis adalah Pensyarah UiTM Shah Alam, sedang menyambung pelajaran di Melbourne, Australia