Tuesday, September 6, 2011

Artikel Raya di Melboure

Artikel saya ..

Disiarkan oleh berita harian tapi diedit  oleh pihak Editor Berita Harian. Perkara begini selalu berlaku sebab pihak Editor Surat Khabar or Majalah mempunyai hak untuk mengedit, yang kadang-kadang ada jugak lari dari tulisan asal. Dalam artikel ni, perenggan mengenai kehadiran Konsulat ada sedikit kekeliruaan selepas dipendekkan. Saya harap tidak menimbulkan sebarang masalah. wallahua'lam

(p/s thank you to Adli tolong scan dan email dari mesia)
______________


Solat sunat di padang terbuka


Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

bhnews@bharian.com.my

2011/09/06






WARGA Malaysia di Melbourne menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran atas kejayaan melaksanakan puasa sebulan Ramadan. Umumnya rakyat Malaysia di Melbourne menyambut hari raya pada 31 Ogos walaupun segelintir masyarakat Islam lain menyambutnya pada 30 Ogos.

Perbezaan sambutan 1 Syawal menimbulkan sedikit kekeliruan di kalangan umat Islam. Keadaan di sini agak berbeza kerana tidak ada badan rasmi yang menjaga pengisytiharan tarikh berpuasa dan hari raya seperti di Malaysia. Kami berpandukan kepada organisasi Islam iaitu Islamic Council of Australia (ICV) dan Badan Imam (Board of Imams) yang mengisytiharkan melalui internet, e-mel, pengisytiharan di masjid serta bangunan ICV. Bagi mereka yang tidak menerima autoriti badan ini, ada yang membuat keputusan berbeza dengan apa diputuskan.

Menurut kajian Dr Zaharudin Sani (2011), ada 5,000 rakyat Malaysia di Melbourne dengan jumlah pelajar paling ramai berbanding negeri lain di Australia. Oleh kerana tempat yang agak jauh dengan bilangan yang besar, ada tiga tempat perkumpulan yang besar didiami pelajar Malaysia di sini.


Perkumpulan di utara Melbourne yang dipanggil Kampong Vic, di selatan dikenali sebagai South Eastern Family dan kawasan Bundoora dipanggil desa Bundoora. Pelbagai aktiviti dan upacara dirancangkan perkumpulan pelajar setempat termasuk ibadah tarawih ketika Ramadan, solat sunat Aidilfitri dan jamuan raya.


Bagi memudahkan pelajar dan keluarga mengerjakan solat sunat hari raya di tempat mereka, perkumpulan pelajar menganjurkannya di beberapa tempat. Solat sunat hari raya masyarakat desa Bundoora dijalankan di dewan Universiti La Trobe manakala di Kampung Vic, dilaksanakan di padang terbuka.Pihak ICV juga melaksanakan solat sunat hari raya di padang terbuka Flagstaf Garden, di tengah bandar Melbourne. Ini pengalaman menarik terutama bagi pelajar yang baru sampai di Melbourne.



Kali ini kami menunaikan solat sunat hari raya bersama pelajar di Kampong Vic di padang terbuka di Jack Ropert Reserve, utara Melbourne. Cuaca hari itu sangat baik dan tidak begitu sejuk. Dengan berpakaian baju kurung pelbagai warna dan corak, baju Melayu bersamping serta bersongkok, sambutan hari raya begitu meriah dan berseri. Mendengar khutbah dan bertakbir raya di dataran terbuka adalah pengalaman cukup menarik.


Kumpulan ibu membawa makanan untuk dinikmati bersama jemaah. Anak-anak bermain sesama mereka dan kami berpelukan mengucapkan selamat hari raya serta mohon maaf atas sebarang silap yang berlaku.


Perhimpunan ini turut dimeriahkan masyarakat Melayu Singapura yang tinggal berdekatan. Di sini, ungkapan yang meniti dari mulut ke mulut setiap kali berjumpa adalah ‘Eid Mubarak’ dan juga ‘maaf zahir batin’.


Seperti amalan di tanah air, rakyat Malaysia di Melbourne turut menganjurkan rumah terbuka. Ziarah menziarahi diteruskan dari rumah ke rumah. Begitu juga gotong-royong masih menjadi amalan terutama dalam menyediakan juadah sambutan raya di perkampungan setempat.


Pada 3 September lalu, sambutan Aidilfitri dianjurkan pelajar di desa Bundoora yang menghidangkan pelbagai juadah lazat seperti ketupat, nasi impit, kuah kacang, nasi dagang, sup dan biskut raya. Suasana meriah seperti berada di Malaysia rasanya.


Jamuan raya yang besar diadakan di Dewan Malaysia Melbourne pada 4 September dihadiri semua lapisan pelajar, tanpa mengira agama dan bangsa. Hadir sama, Konsulat Jeneral Melbourne, Dr Mohamad Rameez Yahaya.


Sambutan hari raya di Melbourne sangat meriah dan menzahirkan silaturahim sesama rakyat Malaysia. Semoga semangat 1Malaysia, bersatu hati, cintakan agama dan negara serta amalan positif tidak lekang dari budaya kita semua walau di mana kita berada.





Penulis ialah Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sedang menyambung pengajian di Melbourne, Australia