Sunday, September 4, 2011

Hari Raya di Melbourne

Menyambut Hari Raya di Melbourne 2011
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim

Sepertimana umat Islam di Malaysia, rakyat Malaysia di Melbourne menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran atas kejayaan melaksanakan puasa sebulan Ramadhan. Perasaan gembira diraikan dengan sambutan hari raya Idil fitri atas dasar silaturrrahim sesama rakyat Malaysia di luar negara. Umumnya rakyat Malaysia di Melbourne menyambut hari raya pada hari Rabu 31 Ogos walaupun segelintir masyarakat Islam lain menyambutnya pada hari Selasa 30 Ogos.

Perbezaan hari sambutan raya menimbulkan sedikit kekeliruan di kalangan umat Islam. Keadaan di sini agak berbeza kerana tidak ada badan rasmi kerajaan yang menjaga pengisytiharan tarikh berpuasa dan berhari raya sepertimana di Malaysia. Kami berpandukan kepada organisasi Islam iaitu Islamic Council of Australia (ICV) dan juga Badan Imam (Board of Imams) yang mengisytiharkan melalui internet, email, pengisytiharan di masjid dan juga di bangunan ICV. Bagi mereka yang tidak menerima autoriti badan-badan ini,  ada yang  membuat keputusan berbeza dengan apa yang diputuskan.

Menurut kajian Dr Zaharudin Sani (2011), terdapat lebih 5,000 rakyat Malaysia di Melbourne dengan jumlah pelajar yang paling ramai berbanding negeri lain di Australia. Oleh kerana tempat yang agak jauh dengan bilangan yang besar, terdapat 3 tempat perkumpulan yang besar didiami oleh pelajar Malaysia di sini. Perkumpulan di utara Melbourne yang dipanggil KampongVic, di selatan Melbourne yang dipanggil South Eastern Family dan juga di kawasan Bundoora yang dipanggil DesaBundoora. Terdapat pelbagai aktiviti dan upacara dirancangkan oleh perkumpulan pelajar setempat termasuklah ibadah terawih semasa bulan Ramadhan, ibadah solat sunat hari raya dan juga jamuan raya.

Bagi tujuan memudahkan seramai mungkin pelajar dan keluarga mengerjakan ibadah solat sunat hari raya di tempat yang didiami, perkumpulan pelajar menganjurkan solat sunat hari raya di beberapa buah tempat. Solat sunat hari raya masyarakat DesaBundoora dijalankan di dewan Universiti La Trobe manakala di KampungVic, ia dilaksanakan di padang terbuka. Pihak ICV juga melaksanakan solat sunat  hari raya di padang terbuka Flagstaf Garden, di tengah-tengah bandar Melbourne. Ini merupakan pengalaman menarik terutama bagi pelajar yang baru sampai di Melbourne.

Penulis berkesempatan bersama-sama perkumpulan pelajar di KampongVic melaksananya di Jack Ropert Reserve, sebuah padang terbuka di utara Melbourne. Cuaca pada hari tersebut sangat baik dan tidak begitu sejuk. Dengan berpakaian baju kurung berbagai warna dan corak serta baju Melayu bersamping dan bersongkok, sambutan hari raya begitu  meriah dan berseri. Mendengar khutbah dan bertakbir raya di dataran terbuka adalah pengalaman yang sangat menarik. Kaum ibu pula membawa makanan secara ‘potluck’ untuk dimakan bersama-sama para jemaah yang hadir. Anak-anak bermain sesama mereka dan kami berpelukan mengucapkan selamat hari raya dan mohon maaf di atas sebarang silap yang berlaku. Perhimpunan ini turut dimeriahkan oleh masyarakat Melayu Singapura yang tinggal berdekatan. Di sini, ungkapan yang meniti dari mulut ke mulut setiap kali berjumpa adalah ‘Eid Mubarak’ dan juga ‘Maaf zahir batin’.

Sepertimana amalan di Malaysia, rakyat Malaysia di Melbourne juga turut meriah dengan amalan rumah terbuka. Ziarah menziarahi diteruskan dari rumah ke rumah. Begitu juga  amalan gotong royong masih menjadi amalan terutama dalam menyediakan juadah hari raya sambutan raya perkampungan setempat.

Pada 3 September pula, penulis berkesempatan meraikan jamuan raya bersama perkumpulan pelajar di DesaBundoora. Dengan pelbagai juadah lazat seperti ketupat, nasi himpit, kuah kacang, nasi dagang, sup dan biskut raya, keadaannya sungguh meriah seumpama berada di negara sendiri, Malaysia. Jamuan raya yang besar turut diadakan di Dewan Malaysia Melbourne pada  4 September 2011. Dengan pelbagai juadah yang lazat, ia dihadiri oleh semua lapisan pelajar, tanpa mengira agama dan bangsa.


Apa yang menarik, sambutan hari raya di kalangan rakyat Malaysia di Melbourne ini dimeriahkan dengan kehadiran Konsulat Jeneral Melbourne. Penubuhan  rasmi pejabat Konsulat Jeneral di Melbourne baru-baru ini banyak memudahkan rakyat Malaysia di Melbourne. Konsulat Jeneral, Dr Mohamad Rameez Yahaya turut hadir dalam banyak aktiviti pelajar yang diadakan di sini dan turut memberi sepatah dua kata nasihat untuk kami semua.

Sambutan hari raya di Melbourne di kalangan pelajar sangat meriah dan menzahirkan silaturrahim sesama rakyat Malaysia. Semoga semangat 1Malaysia, bersatu hati, cintakan agama dan negara serta amalan positif tidak lekang dari budaya kita semua walau di mana kita berada.

(p/s baru dikirimkan ke Berita Harian tadi.)