Thursday, November 4, 2010

Kesan Cerai Pada Anak-anak

Artikel

Sekadar pendapat saya mengenai perkembangan cerai yang semakin bertambah dalam masyarakat kita. Sebagai isteri, ibu, ahli masyarakat, civil servant, penyokong dakwah, saya gusar melihat keadaan ini. Semoga ALlah menyelamatkan rumah tangga kita daan rumah tangga orang-orang yang kita sayang.. amin..

_______________

Artikel Kesan Cerai Pada Anak-anak

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Keluarga seumpama satu blok yang tersusun menjadi bangunan dalam masyarakat. Keluarga adalah tempat hidup kita bermula dan kita terikat kepadanya. Jika perasaan sayang dan rasa terikat antara ahli keluarga utuh, semakin tenang serta bahagia sesebuah keluarga.

Malaysia sekarang menyakskan perubahan nilai terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Bilangan perceraian semakin meningkat. Rekod JAKIM menunjukkan perceraian di kalangan orang Islam sepanjang tahun 2008 adalah 22289. Perceraian kini menjadi perkara biasa, diterima umum dan dianggap lumrah. Ia berlaku dalam semua kelompok masyarakat sehingga tanpa sedar memberi nilai rendah kepada satu akad nikah yang perlu dipertahankan.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Amerika, ‘The Social Scientific Data on the Impact of Marriage and Divorce on Children’, Dr Patrick F. Fagan menyatakan bahawa apabila wujud rasa terbuang (rejection) di antara pasangan suami isteri sehingga membawa kepada pertengkaran, bergaduh, apatah lagi bercerai, maka seluruh isi keluarga terutama anak-anak berasa sangat sengsara.

Kajian beliau turut disokong oleh pakar-pakar sosiologi keluarga membuktikan bahawa graf tertinggi sikap positif adalah terhasil dari keluarga di mana ahli keluarganya berhubungan baik, saling terikat dengan perasaan kasih sayang. Anak-anak dari keluarga sebegini lebih mendapat gred yang tinggi, mempunyai sikap yang baik, lebih ceria dan bagus dalam hubungan sosial. Mereka juga kurang terlibat dengan penyakit kejiwaan seperti kemurungan, kecewa keterlaluan dan sebagainya.


Apabila ayah dan ibu tidak lagi mempunyai rasa terikat dan saling ‘membuang’ salah satu seperti ayah meninggalkan ibunya kerana wanita lain, atau ibu meminta cerai kerana lelaki lain, atau anak diberitahui dia adalah anak zina dan sebagainya, Dr Fagan dapati anak-anak ini mempunyai kesamaan dalam urusan kejiwaan mereka. Kekuatan dalaman anak tersebut tidak terbentuk dengan baik. Banyak perkara negatif memenuhi jiwa dan memberi kesan langsung dengan tumbesaran mereka. Mereka kecewa dengan hidup, murung, suka membuli, melakukan keganasan, gagal dalam akademik dan juga gagal dalam hidup. Anak-anak tersebut juga mengalami tekanan emosi yang teruk, kesihatan badan tidak kuat, kemurungan, bimbang dengan hidup, bahkan lebih pendek jangka hayat mereka, ramai yang berhenti belajar awal, tidak berminat dengan ilmu dan kerjaya, sedikit yang berusaha ke menara gading, bahkan ramai yang menghisap dadah dan kaki arak. Anak-anak ini menjadi seumpama bunga yang tidak tersiram, layu, kekeringan dan akhirnya mati kerana tanahnya kering kontang dan tidak dibajai.


Kaitan langsung apabila anak-anak ini membesar dan membina rumah tangga pula, ramai yang menjadi pembuli, suka keganasan, berlaku ganas dan mendera pasangan dan anak-anak, malas bekerja, tidak suka menerima tanggungjawab, suka keganasan seperti mencuri, memukul dan banyak lagi kesan negatif.

Apabila bilangan perceraian semakin bertambah dan anak-anak mangsa cerai yang mengalami ‘tekanan kejiwaan’ bertambah ramai, mereka membesar dan berkahwin, mengulangi kesilapan ibu bapa mereka, maka masyarakat umum akan turut menerima kesan negatif daripada perkara tersebut.


Semakin banyak rumah tangga hancur, maka semakin banyak peruntukan kewangan dan program sosial yang perlu diadakan.


Kajian beliau walaupun melibatkan masyarakat di Amerika, tetap menjadi iktibar kepada kita di Malaysia terutama melibatkan keutuhan ikatan kekeluargaan. Jika Malaysia ingin maju di masa depan, blok terpenting yang perlu dijaga adalah keluarga dan anak-anak yang terhasil dalam keluarga tersebut.

Kita perlu menanam dan menyuburkan rasa ‘keterikatan’ antara pasangan suami isteri sehingga perceraian dilihat sebagai jalan terakhir selepas semua usaha sudah gagal. Kepatuhan kepada agama, taat kepada Allah, memegang tanggungjawab sebagai pasangan dan ibu bapa kerana perintah agama perlu diterapkan. Apabila ibu dan ayah saling berkasih sayang, rasa ‘terikat’ sesama mereka, sering berdekatan dan saling sokong menyokong atas nama Allah, semakin kuat blok kekeluargaan kita dan semakin kurang masalah yang timbul ke atas anak-anak.

Wallahua'lam...