Wednesday, November 3, 2010

Artikel Hak Melayu/Islam

Artikel

Antara pendapat bahawa semua orang adalah sama dengan pendapat bahawa islam dan Melayu mempunyai hak yang 'lebih sedikit' seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia. Mari kita sama-sama baca untuk mengetahui apakah yang berlaku di Malaysia tentang hak Melayu, kedudukan agama Islam, kelebihan bangsa Melayu dari kaca mata perlembagaan negara malaysia. Saya setuju dengan tulisan kawan saya di bawah 120%.

____________

Majlis Raja-Raja benteng kebal pertahan Islam, hak orang Melayu
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

2010/11/03

SEKALI lagi Raja-Raja Melayu menzahirkan kegusaran mereka dengan perkembangan terkini tanah air, khususnya dalam kalangan ahli politik yang sejak kebelakangan ini dilihat berlumba-lumba meraih simpati sesetengah pihak sehingga sanggup membelakangkan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Kali ini kegusaran baginda dibuat tanpa berselindung dengan nada yang jelas sambil memperingatkan khalayak ramai norma yang sudah dipersetujui dan terbukti membawa negara kepada kemakmuran sehingga hari ini.

Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol untuk dikenang. Baginda memainkan fungsi yang amat besar dalam sistem perundangan negara. Baginda adalah payung negara. Kegusaran yang dizahirkan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja itu mempunyai pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat. Setiap rakyat perlu meneliti kembali teguran yang dizahirkan itu.

Sebelum ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan baginda dengan perkembangan terkini sesetengah kaum yang menuntut hak mereka tidak selari dengan apa yang dipersetujui sebelum ini. Institusi Raja-Raja Melayu sudah menzahirkan kegusaran mengenai tuntutan segelintir pihak memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Baginda Sultan Johor menyifatkan golongan berkenaan sebagai dangkal dan tidak meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang akan merosakkan keharmonian kaum di negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz juga mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya menjaga hubungan antara kaum dengan tidak terlalu mendesak seolah-olah rakyat minoriti di negara ini dizalimi. Sudah acap kali Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda terhadap trend masyarakat ketika ini dan mengajak rakyat kembali kepada semangat yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah juga tidak ketinggalan menyuarakan isu ini. Rakyat seharusnya memahami apa yang ingin dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu dan bukan berselindung di sebalik hak sama rata dalam erti kata begitu luas dan tersasar daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Keistimewaan orang Melayu sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang jitu sehinggakan ia diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Keistimewaan orang Melayu itu juga sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Inilah toleransi yang dicapai antara kaum di kalangan pemimpin pelbagai kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu mengingatkan kita.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi sehinggakan peruntukan Perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Ini bermakna sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara tertentu mestilah terlebih dulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen. Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan ataupun melanggar peruntukan Perlembagaan.

Antara perkara yang berkaitan ialah Perkara 153. Perkara 153 adalah peruntukan yang panjang mencakupi hal ehwal berkaitan perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agong boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, dana siswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat itu, adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada kerajaan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri yang difikirkan munasabah dan kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Semua hak yang dinyatakan di atas adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri dan sekiranya hak-hak itu termasuklah hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak mendapat biasiswa dan kemasukan ke menara gading hendak dipinda, persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh sebelum pindaan itu dibuat. Sekiranya ia dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja, pindaan itu akan menjadi tidak sah. Jika pindaan pun tidak dibenarkan tanpa perkenan Raja-Raja Melayu, apatah lagi tidak menghiraukan keistimewaan itu ataupun membuat perkara yang bertentangan dengan keistimewaan itu.

Begitulah besarnya peranan Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada hak istimewa Islam dan pribumi di Malaysia. Raja-Raja Melayu adalah payung yang melindungi kepentingan Islam dan orang Melayu. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini Raja-Raja Melayu mula menzahirkan tanggungjawab berperlembagaan baginda mempertahankan hak istimewa Islam dan orang Melayu. Raja-Raja Melayu adalah benteng terakhir dalam mempertahankan agama Islam dan hak istimewa Melayu di Malaysia.

Berbalik kepada titah ucapan baginda Raja Raja Melayu itu, jelaslah sebarang tindakan yang melanggar Perkara 153 memerlukan perkenan daripada Majlis Raja Raja. Sekiranya tidak diperoleh, tindakan yang dibuat itu sudah pasti menjadi tindakan yang tidak berperlembagaan.

Raja-Raja Melayu sudah bersuara. Rakyat segenap lapisan hendaklah mengambil berat titah ucapan Raja Raja Melayu itu yang mempertahankan hak orang Melayu dan kedudukan istimewa agama Islam.

Janganlah mempersoalkan lagi keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu serta kedudukan tinggi agama Islam dalam negara kita. Ia sudah tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dihormati.

Sebagai undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan ini mestilah dipertahan dan diberi penghayatannya. Pihak kerajaan juga perlu akur dengan kedudukan ini. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga ketika menjelaskan Gagasan 1Malaysia dengan nada yang tegas menyatakan setiap rakyat perlu menerima Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Gagasan 1Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh lari daripada undang-undang tertinggi itu. Malah tanggungjawab berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong amatlah jelas seperti sumpah baginda dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang berikrar mempertahankan Islam pada setiap masa. Jelaslah Raja-Raja Melayu amat prihatin dengan apa yang dilalui oleh negara ketika ini yang semakin hari semakin menyisihkan sejarah dan aspirasi datuk nenek kita sewaktu menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Melupai sejarah akan hanya menghakis jati diri kebangsaan. Memahami sejarah akan menambahkan lagi sikap tolak ansur dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.