Saturday, November 6, 2010

Artikel Rahsia Nama Dalam Pertelingkahan


Artikel Saya disiarkan dalam Berita Harian hari ini, ruangan agama..
____________--


Agama

Mahkamah wajar rahsia nama dalam pertelingkahan
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

2010/11/06

Undang-undang disaran guna nama pertama bagi jaga reputasi pasangan, anak dalam kes

KEPUTUSAN mengenai pertikaian panggilan dalam rumah tangga yang diputuskan Mahkamah Keluarga Adelaide pada Mac lalu yang menjadi tajuk utama akhbar, menarik untuk dibincang dan difikirkan.

Seorang ibu membawa kes ke mahkamah menghalang anak perempuannya berumur enam tahun memanggil isteri baru bekas suaminya (ibu tiri anak itu) dengan panggilan ‘mum’, ‘mummy’ atau ‘my other mummy’ (ibu saya satu lagi).
Kes ini menarik berikutan dikaitkan dengan harga diri seorang ibu, perasaan takut dan risau akan kehilangan kasih sayang daripada anaknya.

Wanita itu dalam hujahnya mengatakan apabila bekas suami menyuruh dan membenarkan anak mereka memanggil ibu tiri sebagai ‘mum’, ‘mummy’ atau ’mummy D’ (D adalah huruf pertama ibu tiri dalam kes itu), ia bermaksud suaminya secara langsung dengan niat merendah harga dirinya, menafikan peranannya dan memberi kesan kepada kedudukannya sebagai ibu kandung.

Ia juga bermaksud bekas suaminya berusaha menggantikan tempat beliau di hati anak dengan ibu tirinya dengan panggilan itu. Ia sudah tentu boleh menghakis kasih sayang anak terhadap dirinya dan beralih kepada ibu tiri.

Masyarakat Barat umumnya memanggil semua orang dengan nama pertama saja kecuali ibu, ayah dan orang terdekat. Jadi dalam kes itu, wanita berkenaan berhujah bahawa ibu tiri seharusnya dipanggil dengan nama pertama dan tidak wajar dipanggil dengan gelaran ibu atau sama maksud dengannya.
Mahkamah Keluarga Adelaide sebenarnya sudah memutuskan satu duluan kepada ribuan keluarga yang terbabit dalam ‘pergaduhan’ panggilan nama ini.

Menariknya, mahkamah tidak membuat keputusan memihak kepada ibu tetapi menolak daripada membuat sebarang arahan. Bermakna, mahkamah membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang arahan mengenai panggilan dalam rumah tangga.

Dalam penghakimannya, hakim prihatin jika beliau membuat arahan, ia akan membawa kepada tuntutan lain iaitu kemungkinan mahkamah perlu membuat keputusan, sama ada bapa berkenaan sudah melanggar arahan apabila menggalakkan anaknya memanggil ‘mummy D’.

Hakim turut menyebut harapannya adalah apabila anak itu besar, dia akan dengan secara rela hatinya mula memanggil ibu tirinya dengan nama pertama.

Bagaimana jika perkara sebegini berlaku di negara kita? Dalam masyarakat kita, ibu tiri selalunya dipanggil ibu, mak, umi, mama, mak muda atau makcik. Perkara ini kerap berlaku dalam keluarga berpoligami atau pasangan berkahwin lain selepas bercerai.

Bagaimanapun, ia jarang digembar-gemburkan mungkin kerana masyarakat menganggap ia perkara kecil dan tidak wajar orang lain tahu. Apa yang penting, Islam menyuruh kita menghormati orang lebih berusia dengan panggilan hormat bersesuaian untuk mereka.

Jika diperhatikan, kes membabitkan keluarga atau perebutan anak, mahkamah hanya melaporkan dengan nama pertama atau nama keluarga berserta nombor kes diberikan pendaftar mahkamah seperti Whisler v Whisler (2010 42 Fam LR 633), atau Smith v Smith , Allen v Green, tanpa merekodkan nama penuh pasangan.

Ia penting untuk menjaga nama baik pasangan terutama anak yang terbabit dalam kes dilaporkan. Nama anak dalam setiap laporan kes juga hanya menggunakan huruf pertama seperti, pasangan mempunyai anak iaitu L (enam tahun) dan M (dua tahun).

Walaupun kes itu dilaporkan dalam bahan bercetak atau secara maya dalam arkib mahkamah, atau dirujuk dalam artikel ilmiah perundangan, nama mereka yang bertelingkah tidak diketahui secara nyata. Yang penting adalah prinsip dan penghakiman yang ingin dirujuk.

Saya berpendapat Mahkamah Syariah dan Sivil yang membicarakan kes membabitkan pertelingkahan keluarga wajar menggunakan pendekatan sebegini kerana kes dibicarakan di mahkamah terbuka dan dilaporkan dalam Jurnal Hukum adalah dianggap harta umum.

Jika menggunakan nama pertama saja, pembaca tidak mengetahui siapa terbabit dan nama baik mereka serta anak dalam pertelingkahan itu akan terpelihara.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam kini melanjutkan pengajian di Australia