Friday, August 20, 2010

Ramadan di Melbourne

Artikel Berita Harian

Liza, Editor Ruangan Agama Berita harian email saya mintak saya tuliskan artikel ramadan di melbourne. Masa tu belum pun seminggu kita berpuasa. Jadi untuk memenuhi permintaan beliau, saya tuliskan sedikit apa yang saya lalui di Melbourne, Ramadhan tahun lepas dan juga setelah seminggu Ramadan di sini tahun ini.. Oleh kerana mereka nak gambar, saya kirimkan beberapa gambar yang telah ada.. Disebabkan dalam berita harian online tak nampak ada gambar atau tidak, saya pun tak tahu apakah gambar tadarus disiarkan atau tidak.

Malam tadi, Liza email kata, artikel saya dia akan siarkan hari ini, Jumaat 20 August 2010.
__________



Jumaat , 20 Ogos 2010

Agama



Tazkirah, tadarus al-Quran subur di Melbourne
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim di Melbourne, Australia

2010/08/20



RAMADAN bulan mulia tiba dengan ribuan rahmat yang ditawarkan untuk insan. Masyarakat Islam di Melbourne terutamanya bangsa Melayu Malaysia, Singapura, Indonesia, Arab, Turki dan Somalia semuanya meraikan ketibaan bulan penuh barakah ini.

Australia terkenal negara pelbagai rumpun bangsa. Selepas 1970-an, apabila kerajaan Australia menerima polisi multibudaya, ribuan penghijrah termasuk beragama Islam datang dan mendiami bumi kangaroo ini.



Profesor Abdullah Saeed dalam bukunya Muslim in Australia menulis, Muslim di Australia berasal dari lebih 70 negara, antaranya Turki, Pakistan, Bangladesh, Somalia, Vietnam, Croatia, Somalia, Singapura, Indonesia dengan jumlah 281,572 pada 2001. Bilangan itu semakin bertambah apabila bancian 2006 menunjukkan jumlah Muslim di seluruh Australia mencapai 340,000.



Melbourne sendiri dianggarkan mempunyai hampir 103,000 Muslim dengan pelbagai budaya dan adat resam.
Kepelbagaian ini dizahirkan pula melalui masjid yang dibina mewakili budaya dan rumpun masing-masing. Ada lebih 30 masjid dan kebanyakannya dinamakan sempena negara seperti masjid Albania, masjid Somalia atau masjid Turki.

Masjid di sini turut meraikan Ramadan dengan mengadakan hari terbuka masjid seperti dianjurkan Masjid Preston di utara Melbourne, 8 Ogos lalu. Masyarakat bukan Islam turut dijemput pada majlis itu bagi memperkenalkan agama Islam kepada mereka. Masyarakat bukan Islam dijemput masuk melihat ruang solat dan bertanyakan apa saja soalan mengenai Islam kepada imam serta ilmuwan Islam. Rakyat Malaysia turut terbabit menjayakan program ini.




Ramadan di Melbourne kali ini disambut ketika musim sejuk menjadikan waktu berpuasa agak singkat berbanding di Malaysia. Waktu sahur berakhir jam 5.40 pagi dan berbuka jam 5.45 petang. Suhu sejuk antara tujuh hingga 10 darjah Celsius menjadi cabaran untuk kanak-kanak bangun bersahur.

Walaupun jauh beribu batu dari bumi sendiri, rakyat Malaysia di Melbourne dianggarkan seramai 7,000 tetap berusaha menjalani ibadat Ramadan sebaiknya. Persatuan pelajar dengan kerjasama beberapa pihak tidak ketinggalan membuat pelbagai program untuk menyemarakkan rasa kebersamaan dalam masyarakat Malaysia.

Majlis berbuka puasa dianjurkan di Malaysia Hall Melbourne setiap hujung minggu dan diserikan dengan majlis ceramah bersama pakar, tazkirah, tadarus al-Quran yang dipimpin oleh ustaz jemputan daripada pelajar.




Majlis di Malaysia Hall..


Program solat jemaah Isyak dan sunat Tarawih diadakan bergilir-gilir dari rumah ke rumah oleh komuniti Malaysia di sini. Selepas Tarawih, diadakan tadarus al-Quran dan tuan rumah menyediakan moreh ringkas.


Tadarus lepas terawih



Bagi yang ingin merasai pengalaman berbeza di rantau orang, ada yang mengerjakan solat Tarawih di masjid berbeza. Di samping melihat kepelbagaian kaum, kita dapat memanjangkan silaturahim dengan bangsa lain di sini.

Masyarakat Melayu di Melbourne turut mengadakan bazar Ramadan pada setiap hujung minggu. Antara yang menarik perhatian ramai adalah sate, kuih ketayap, lepat pisang, bubur lambuk, qasidah, rendang tok dan pelbagai lagi kuih tradisional Melayu. Walaupun tidak sehebat bazar Ramadan di negara kita, bazar di sini tetap meriah dan menjadi tempat melepaskan rindu mendapatkan kuih tradisional di samping merapatkan jalinan persahabatan sesama anak Malaysia di perantauan.

Menjadi perkara biasa majlis buka puasa diadakan di universiti oleh Persatuan Islam Universiti masing-masing. Ia bersifat antarabangsa kerana pelajarnya dari pelbagai negara. Pelajar Malaysia juga tidak ketinggalan menjayakan majlis iftar dengan makanan Malaysia seperti nasi minyak, nasi ayam dan kuih ondeh-ondeh. Keadaan bertambah ceria apabila pelajar negara lain asyik bertanyakan nama dan kekaguman mereka dengan makanan Malaysia.




Majlis Iftar Pelajar Malaysia taja di La Trobe Univ Ramadan lepas (tahun ni belum buat lagi..)



Ada juga majlis buka puasa anjuran sekolah agama tempat anak rakyat Malaysia belajar dan disertai Muslim dari Singapura serta Indonesia. Majlis ini selalunya diadakan di dewan dilengkapkan dengan ceramah, persembahan kanak-kanak dan berakhir dengan solat Tarawih.



Solat terawih bersama-sama selepas iftar sekolah agama madrasah hari ahad di dewan



Keindahan persaudaraan dalam Islam terserlah melalui pembabitan dalam program kemasyarakatan di sepanjang bulan berkat ini. Ramadan yang mulia ini boleh menjadi ruang menyemarakkan semangat beribadah serta keakraban rakyat Malaysia di sini.

Penulis ialah pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam, kini melanjutkan pelajaran di Australia