Monday, November 3, 2008

Nikah Imam Tak Der Tauliah??

Ini penting untuk semua...
Dijawab oleh kawan saya Siti, telah di upload dalam web PGSM di http://pegaumsyarie.org

_________________

Hak Muslim: Hukum status anak pasangan dinikah imam tamat tauliah



SAYA dan suami tidak mengetahui imam yang menikahkan kami sudah tamat tauliahnya sedangkan bapa saya mewakilkan wali kepada imam berkenaan. Selepas pernikahan, saya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Apabila suami hendak membuat pendaftaran anak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan sijil nikah kami adalah palsu. Kami dinasihatkan untuk mengesahkan pernikahan. Ketika kes pengesahan nikah, mahkamah memutuskan pernikahan itu adalah fasid tetapi mahkamah tidak memutuskan sama ada anak kami adalah anak sah taraf atau tidak. Apakah taraf anak kami sebenarnya? Bagaimanakah kami hendak mengesahkan taraf anak kami? Apakah hak anak kami terhadap kami sebagai ibu bapanya kerana kami tidak bersalah dan tidak tahu tauliah imam itu sudah tamat.

Shikin,
Shah Alam

Jawapan
Kami bersimpati dengan permasalahan puan dan moga puan serta suami tabah menghadapi ujian Allah. Isu yang diutarakan adalah berkaitan nasab anak. Nasab anak perlu diketahui kerana kesannya dari segi undang-undang berkaitan nafkah, penjagaan, memanfaatkan harta benda, harta pusaka dan juga perwalian semasa pernikahan anak itu nanti.

Dalam kes pengesahan nikah, sememangnya mahkamah hanya mensabitkan berkaitan kesahan pernikahan saja tanpa mensabitkan status anak hasil pernikahan itu.

Pihak yang perlu membuat permohonan pengesahan nasab anak adalah suami puan kerana nasab anak disabitkan kepada bapa. Beliau boleh memohon untuk pengesahan nasab anak di Mahkamah Tinggi Syariah melalui notis permohonan dan afidavit.

Mahkamah pula, melalui kaedah digariskan hukum syarak akan mengambil keterangan pihak yang mengetahui mengenai pernikahan serta kelahiran anak dan setelah berpuas hati, mahkamah akan memutuskan sama ada anak berkenaan sah taraf atau tidak hasil daripada pernikahan itu.
Jawapan permasalahan puan ini akan merujuk Konsep Nasab Dalam Undang-undang Islam dan Implikasi Perundangannya oleh Md Som Sujimon dalam Manual Undang-undang Keluarga Islam, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di mana penulis menyatakan majoriti pengkaji Undang-Undang Keluarga Islam menggariskan beberapa cara untuk mensabitkan nasab.

Antaranya, menggunakan doktrin daripada hadis berbunyi anak itu milik kepada pemilik katil, penyaksian itu secara pengakuan lisan pihak dan dua orang saksi yang menyaksikan anak yang lahir itu.

Sementara persoalan berkaitan tuntutan pengakuan nasab atau secara qiyafah iaitu berdasarkan ilmu firasat salasilah untuk mensabitkan nasab seperti pada zaman moden ini menggunakan kaedah ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Berdasarkan permasalahan puan, hanya beberapa garis panduan saja diterangkan sebagai mensabitkan nasab, namun ia bukanlah bertujuan mensabitkan nasab anak puan dalam tulisan ini kerana semuanya bergantung kepada keterangan puan, suami dan saksi semasa di mahkamah kelak.
Merujuk teks hadis anak itu milik kepada pemilik katil, secara literal ia menetapkan anak yang dihasilkan di tilam yang dipunyai oleh pemiliknya dianggap sebagai anak yang sah taraf. Ulama sependapat menyatakan pemilik katil atau 'al firasy' merujuk kepada nikah sahih dan juga nikah fasid.

Nikah fasid ialah nikah yang salah satu daripada syarat atau rukun nikah tidak dapat dipenuhi. Segelintir ulama mazhab Hanafi berpendapat anak hasil daripada nikah fasid dianggap sah taraf secara automatik walaupun ayah kepada anak itu tidak membuat tuntutan nasab.

Mereka berpendapat anak hasil nikah fasid tidak dianggap sah kecuali jika persetubuhan berlaku dan hasil pernikahan, wanita itu mengandungkan anak. Namun, terdapat beberapa kriteria yang mesti dipenuhi untuk menggunakan doktrin ini iaitu suami mestilah seorang yang baligh dan berkemampuan melakukan hubungan seks sehingga menjadikan isterinya mengandung dan selepas pernikahan, mereka mestilah tinggal bersama yang memungkinkan berlakunya persetubuhan menyebabkan wanita itu mengandung.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Euukins) ada memperuntukkan berkaitan sah taraf yang menyamai mazhab Syafie dan selaras dengan doktrin ini di mana Seksyen 111 memperuntukkan jika seseorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Persoalan wati' syubhah, istilhaq iaitu tuntutan pengakuan juga sebagai cara mensabitkan nasab di mana hubungan kelamin yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang tidak menyedari hubungan kelamin dilakukan itu tidak sah atau haram.

Mazhab Syafie, Hanafi dan kebanyakan ulama Hambali berpendapat bahawa anak hasil perhubungan itu dianggap sah taraf kerana ketika persetubuhan berlaku mereka beranggapan sah. Seksyen 114 Euukins pula memperuntukkan berkaitan persetubuhan syubhah iaitu jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang, sudah digariskan cara untuk mensabitkan taraf seseorang anak.

Oleh itu, puan dan suami perlu membuat permohonan untuk mengesahkan nasab anak itu berdasarkan garis panduan yang dinyatakan.

Apabila mahkamah sudah mensabitkan berkaitan nasab anak, barulah puan boleh membawa perintah mahkamah ke JPN untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak.

Dapatkan khidmat peguam syarie berkaitan kes pensabitan nasab anak untuk membantu puan dan suami mengemukakan keterangan, bukti dan hujah yang menyokong kesahtarafan anak dari segi hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.