Thursday, November 6, 2008

My Article _6 Nov 08 Berita Harian

Slot Hak Muslim minggu ni sepatutnya dijawab oleh Musa, Setiausaha PGSM tapi dia tak sempat, saya cover ler..
Perkataan kediri dalam peruntukan undang-undang bermaksud .. serah kepada diri defendan tersebut.. Dalam artikel ni, saya hantar kepada Berita harian, saya tulis kediri, tapi editornya telah tukar kepada perkataan kendiri.. (yang mempunyai maksud yang nyata berbeza..). Di sini, saya kembali kepada perkataan asal iaitu kediri.

_______

Hak Muslim: Padah suami main cinta pembantu rumah Indonesia

Soalan
SAYA seorang kerani dan berkahwin atas dasar suka sama suka lebih enam tahun lalu. Saya mempunyai dua anak berumur empat dan dua tahun. Masalah bermula selepas kami mengambil pembantu rumah dari Indonesia akhir 2007. Rupa-rupanya suami dan pembantu rumah sudah bercinta di luar pengetahuan saya. Pada awal tahun ini, saya ditinggalkan suami kerana ingin berkahwin dengan bekas pembantu rumah kami. Saya berpendapat suami kena sihir oleh wanita itu. Oleh kerana suami sudah meninggalkan saya hampir 10 bulan tanpa nafkah, saya tidak dapat bersabar dan berhasrat untuk memohon cerai. Malangnya, saya tidak tahu di mana suami tinggal sekarang. Ketika ke Mahkamah Syariah, pegawai mahkamah memberitahu bahawa saya perlu mengetahui alamat suami sedangkan saya tidak mungkin dapat menyediakan alamat itu kerana saya tidak tahu di mana suami berada. Menurut pegawai berkenaan, kes saya akan menjadi lebih lama untuk diselesaikan kerana saya perlu menyampaikan saman kepada suami. Pegawai terbabit juga menca-dangkan saya menggunakan khidmat peguam. Apakah sebenarnya yang harus saya lakukan.

Insan ditinggalkan,
Klang, Selangor

Jawapan

Semoga puan bersabar atas ujian yang berlaku ke atas puan serta anak. Namun begitu, kami berpendapat puan sudah beroleh kekuatan untuk menegakkan hak puan dengan berusaha mendapatkan keadilan di mahkamah.

Perkara pertama mengenai firasat puan bahawa suami mungkin disihirkan, kami berpendapat puan wajar berusaha mendapatkan bantuan mereka yang arif dengan perubatan Islam.
Adalah tidak wajar kita menuduh seseorang di sihir tetapi jika wujud tanda tidak normal seperti tanda sihir, maka puan tidak boleh pula berdiam diri.

Puan perlu mendapatkan pertolongan dengan cara yang tidak melanggar hukum syarak. Jangan sama sekali berusaha mendapatkan bantuan secara ilmu hitam yang berlawanan dengan syarak. Di samping itu, puan juga perlu banyakkan solat hajat memohon bantuan serta kekuatan Allah untuk menghadapi ujian ini.

Perkara kedua adalah berkenaan nasihat pegawai di mahkamah bahawa puan perlu mengetahui alamat suami, adalah benar. Pada asasnya apabila puan memulakan tindakan mal seperti memohon fasakh, taklik atau perceraian biasa, ia akan bermula dengan saman dan penyata tuntutan.

Puan perlu menyediakan dokumen itu dan ia perlu diserahkan kepada suami atau dipanggil defendan dalam kes ini. Ia bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Perkara itu ditetapkan dalam peruntukan Enakmen Tatacara Mal Negeri.

Prosedur itu ditetapkan untuk memberi ruang kepada puan memberitahu mahkamah keterangan daripada pihak puan dan memberi peluang pihak defendan memberi balasan dan jawapan. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.

Cara penyampaian saman pula secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermeterai kepada defendan dan diperiksa olehnya. Saman itu perlu diserahkan kepada beliau. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan. Saman itu perlu diserahkan kepada defendan dalam 12 bulan daripada tarikh ia dikeluarkan. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu dalam tempoh berkenaan.

Jika tempoh itu sudah atau akan luput, puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh sah saman itu. Bagaimana saman boleh diserahkan kepada suami jika puan tidak memberitahu mahkamah alamat suami yang tepat. Ini akan menjadi masalah kerana sudah tentu saman dan penyata tuntutan itu akan gagal diserahkan. Inilah yang akan berlaku nanti dalam kes puan.

Sebenarnya puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti. Jika mahkamah berpuas hati atas alasan yang mencukupi, saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri seperti dinyatakan di atas, mahkamah boleh memerintahkan saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat defendan yang terakhir atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah. Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan jika difikirkan patut.

Penyampaian ganti bermakna, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, tetapi kesan tindakan itu di sisi undang-undang seolah-oleh defendan sudah menerima saman itu secara kediri. Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah perlu menyifatkan saman itu sudah disampaikan kepada defendan.

Selepas penampalan dan pengiklanan dibuat, puan perlu memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan penyampaian ganti sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah. Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, puan boleh memohon kes dibicarakan nanti.

Perkara ketiga adalah mengenai tindakan atau kaedah perceraian mana yang boleh digunakan dalam tuntutan atas alasan ditinggalkan tanpa nafkah? Puan boleh menggunakan kaedah taklik atau fasakh atas alasan yang sama. Puan mesti mendapatkan bahan bukti dan keterangan untuk menyokong dakwaan serta tuntutan puan. Puan perlu membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui hal keadaan puan bagi mensabitkan tuntutan.

Perkara keempat adalah mengenai nasihat pegawai supaya puan menggunakan khidmat peguam syarie juga adalah benar. Ini bagi memudahkan puan kerana sebagai orang awam, sudah tentu puan sukar untuk memahami dan menyediakan semua dokumen dikehendaki oleh undang-undang. Dengan adanya peguam syarie, ia akan memudahkan urusan dengan mahkamah. Jika puan kurang berkemampuan untuk menggunakan khidmat peguam syarie berbayar, boleh mendapatkan nasihat dari Biro Bantuan Guaman (BBG) berdekatan.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sila layari http://peguamsyarie.org