Friday, September 6, 2013

Pendekatan Guru-guru

THE MALAYSIAN INSIDER

Rencana

Pendekatan keras pengajaran di sekolah: Perspektif kebajikan kanak-kanak - Dr Nurhidayah Hashim

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pendekatan-keras-pengajaran-di-sekolah-perspektif-kebajikan-kanak-kanak-dr

September 04, 2013
Bahagian 1

Beberapa minggu lalu, akhabar melaporkan insiden seorang murid lapan tahun, darjah dua ditampar oleh gurunya sehingga rosak mata dan dimasukkan ke hospital. ‘Kesalahannya’ adalah tidak menyiapkan kerja rumah dan menyerahkan buku latihan seperti yang dikehendaki oleh guru. Dilaporkan juga bahawa tindakan guru itu mungkin ada kaitan dengan tekanan kerja dan tempat tinggal yang jauh dari sekolah. Ibu kanak-kanak itu membuat laporan polis berkenaan kes ini.
Sebelum itu, terdapat juga beberapa laporan akhbar mengenai kes pelajar dikenakan hukuman keras sebegitu oleh guru kerana pelbagai ‘kesalahan’ seperti tidak membuat kerja rumah, memberi jawapan yang salah kepada latihan diberi, tidak menghafal sifir, tidak datang sekolah, datang lambat ke sekolah,  berbuat bising dalam kelas, tidak menghafal ayat al-Quran atau apa-apa yang disuruh guru dan tidak fokus kepada penerangan guru. Ada yang mendakwa ditampar, didenda berdiri di atas kerusi berjam-jam,  ditarik telinga, dirotan dan sebagainya.



 Laporan kes sebegini sebenarnya menunjukkan dua isu besar, iaitu pendekatan keras yang diambil sesetengah guru dalam mendidik murid, terutama murid sekolah rendah, dan juga tekanan dan beban kerja yang dihadapi guru yang mungkin menjadi faktor kepada pendekatan keras diambil.


Apabila mengupas mengenai pendekatan keras yang diberikan kepada murid, daripada satu segi, hukuman sebegini diberikan dengan harapan ia dapat menjadi pengajaran dan menyedarkan murid tentang kesilapan yang dibuat. Sekaligus membuatkan mereka berubah sikap kepada lebih baik. Melalui tamparan dan berdiri atas kerusi kerana tidak membuat kerja rumah, diharapkan mungkin murid akan berubah sikap dan menjadi rajin menyiapkan kerja rumah pada masa depan. Dengan ditarik telinga kerana bising semasa guru mengajar, diharapkan murid akan diam dan berubah sikap menjadi taat dan memberi tumpuan dalam kelas. Dengan disuruh berdiri atas kerusi selama sejam kerana salah memberi jawapan kepada latih tubi yang diberi, diharapkan murid akan lebih berhati-hati dan tidak memberi jawapan yang salah di masa depan.

Namun, daripada sudut lain, pendekatan sebegini menimbulkan banyak persoalan lain dan kesan sebaliknya. Apakah ‘kesalahan’ tidak membuat kerja rumah, datang lambat, tertinggal buku wajar dihukum sebegitu? Apatah lagi yang melakukannya adalah budak kecil darjah satu atau tiga? Apakah dengan pendekatan dimarah, dipukul dan didenda, ia dapat mengubah sikap kanak-kanak menjadi seorang yang prihatin kepada ilmu, berminat untuk mencari ilmu, membuat kerja rumah kerana cintakan ilmu dan tidak akan cuai lagi dalam menyelesaikan latihan yang diberikan? Atau ia sebenarnya membina rasa takut di hati murid kepada guru terlibat dan kepada hukuman semata? Ataukah ia sebenarnya membina rasa  tidak yakin diri dalam diri kanak-kanak kerana dimalukan di hadapan kawan lain dan membina rasa benci kepada guru, kepada subjek yang dipelajari dan kepada sekolah itu sendiri?
Pendekatan negatif dan keras  dalam mendekati kanak-kanak terutama murid darjah satu dan dua membimbangkan pihak yang prihatin. Berita dilaporkan mungkin hanya segelintir daripada yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat. Sekiranya pendekatan keras menjadi sesuatu yang ‘biasa’ di kalangan guru, ia secara tak langsung menunjukkan wujudnya masalah dalam sistem dan kaedah pendidikan negara kita.

Inilah antara isu yang diketengahkan dalam tulisan Anas Alam Faizli daripada grup Teaching for Malaysian (TFM) dalam artikelnya yang disiarkan dalam The Malaysian Insider pada 20 June 2013 mengenai kurangnya pendekatan kasih sayang dalam pendekatan pendidikan kita.

Isu ini juga pernah diketengahkan pendakwah terkenal (Dr Zahazan) yang meletakkan di Facebook beliau gambar sekumpulan pelajar sekolah rendah dijemur di bawah panas matahari kerana tidak membuat kerja rumah yang diberikan guru dalam bulan puasa baru-baru ini. Beliau menegur tindakan itu dan mengaitkan dengan kesabaran guru dalam mendidik, apatah lagi pada bulan Ramadan yang mulia. Namun, tindakan beliau dibantah oleh sebilangan guru yang berpendapat teguran dibuat  seolah-olah ‘menghina’ institusi guru. Ada juga guru yang menulis bahawa  jika ibu bapa tidak suka pendekatan keras guru, lebih baik mengajar anak mereka sendiri di rumah. Teguran yang positif oleh pendakwah tersebut dipandang negatif pula oleh segelintir guru.

Respons yang diberi terhadap nasihat pendakwah tersebut sebenarnya turut menjadi bukti yang menunjukkan bahawa ramai yang melihat cara keras, marah dan memukul dengan rotan adalah kaedah tepat dalam mengajar murid sekolah atau mengajar anak di rumah. Kita kerap dimainkan dengan kisah dulu-dulu seperti, “Cikgu dulu-dulu pukul saya, ikat di tiang, rotan sampai patah kayu rotan, sebab itu saya berjaya.” Ada pula yang menyebut bahawa amalan biasa zaman dulu-dulu ketika ibu bapa menyerahkan anak kepada tuan guru atau sekolah menyebut bahawa, “Didiklah anak saya, buatlah apa sahaja, asalkan tidak buta atau cedera cukuplah.” Ramai juga yang beranggapan apabila tidak dimarah, tidak dihukum, kanak-kanak akan menjadi naik kepala,  nakal dan tidak berakhlak.

Mungkin pendekatan keras ini  berguna dalam keadaan tertentu,  tapi hakikatnya ia tidaklah tepat dalam semua perkara. Apatah lagi kepada kanak-kanak kecil di sekolah rendah-yang berumur tujuh hingga 12. Ia juga tidak selari dengan pendekatan pendidikan umum yang Nabi tunjukkan. Pendekatan Nabi adalah indah, cantik, lembut, bertimbang rasa, memuji, mengajar dengan perlahan, sedikit demi sedikit, tidak mendesak sehingga memaksa seseorang memahami sesuatu sebelum masanya, menanam rasa cinta kepada ilmu, kurang mengherdik dan banyak memuji. Pendekatan keras hanya datang sebagai alternatif terakhir kepada kesalahan yang berat yang melayakkan hukuman sebegitu, apabila keadaan sangat memerlukan.

Ini dapat dilihat contohnya dalam hadith mengenai solat di mana hadith bermaksud; “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Abu Daud). Sebelum sampai kepada umur tujuh tahun lagi, ibu bapa sebenarnya sudah diminta menunjuk ajar, memujuk, mengajak anak mereka mengerjakan solat bersama mereka dan memuji apabila mereka melakukannya dengan baik.

Apabila mereka dididik dengan lembut dengan ajakan yang membina, diberi galakan dan pujian dari kecil sehingga berumur tujuh tahun, mereka akan berada dalam situasi iaitu mengerjakan solat adalah sebahagian dari cara hidup mereka.  Apabila sudah sebati dalam diri mereka rasa cinta melakukan solat kerana faham kenapa dan apa yang mereka perolehi melalui solat, maka pendekatan keras seperti tengkingan dan pukulan tidak perlu digunakan lagi. Sekiranya selepas berumur 10 tahun tetapi masih enggan mengerjakan solat selepas dididik, maka barulah rotan hadir sebagai alat terakhir dalam mendidik. Itupun bukan untuk mencederakan tetapi memberi pengajaran menunjukkan bahawa Allah tidak suka tindakan meninggalkan solat.

Begitu juga dalam hadis lain menunjukkan pendekatan lembut Nabi apabila cucu Baginda memakan buah kurma yang diserahkan kepada Nabi sebagai hasil zakat. Rasulullah tidak menggunakan kekerasan tetapi mengambil balik kurma dari dalam mulut cucu Baginda dan menyebut dengan lembut; “Tidakkah kamu tahu bahawa kita tidak boleh memakan barang zakat?” (Riwayat Bukhari Muslim).

Ketika menyebut mengenai pendekatan keras suami dalam melayani dan mendidik isteri dan anak-anak, Nabi menyebut, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya. Dan aku adalah seorang yang paling baik dengan keluargaku” (Riwayat al-Tirmizi). Ini menunjukkan bahawa pendekatan berlembut, positif dan membina adalah pendekatan pilihan, dan pendekatan keras adalah alternatif kedua sekiranya keadaan sangat memerlukan. Sekiranya dengan ahli keluarga kita diminta bercakap dengan lembut, mendekati dan membetulkan mereka dengan pendekatan berhikmah, positif dan kasih sayang, maka begitulah juga dengan orang lain, termasuklah murid yang berada di bawah tanggungjawab kita untuk mendidik mereka.

Kajian banyak menunjukkan bahawa seseorang sering melakukan apa yang sama seperti mana dia dilayan ketika kecil. Kajian juga mendapati seseorang yang sering dipukul, dimarah, kerap dimalukan dan tidak dihargai, dilayan dengan keras dengan pelbagai hukuman semasa kecil, akan mempunyai perwatakan negatif dan didapati melakukan yang sama kepada pasangan dan anak-anaknya tatkala mereka berkeluarga. Dapatan ini banyak diketengahkan oleh pengkaji sosial, sarjana kemanusiaan termasuklah pakar psikologi. Justeru itu, sekiranya pendekatan kita dalam mendidik murid sekolah rendah lebih banyak kepada kekerasan, adalah dimbimbangi  mereka  yang kerap menerima hukuman dan pendekatan keras akan melayan dan mendidik dengan keras pula apabila mereka menjadi ibu bapa atau guru di masa akan datang. Inilah isu yang perlukan perhatian dan tindakan para guru yang prihatin.

Apatah lagi, kita perlu menerima hakikat bahawa zaman kita sebelum ini adalah berbeza dengan zaman kanak-kanak hari ini. Cabaran yang kanak-kanak lalui hari ini, dengan konsep dunia terbuka, media sosial dan cara hidup bebas dan sebagainya memerlukan guru-guru mencari pendekatan pendidikan yang jauh lebih baik dari sebelum ini. Seperti kata-kata Umar al-Khattab yang antara lain bermaksud, “Ajarilah anak-anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi zaman kamu.”

Apabila cabaran dunia berubah, kemampuan menggali ilmu sudah berbeza dan ujian yang mereka lalui dalam hidup sangat kompleks, maka proses dan pendekatan pendidikan juga perlu mengambil maklum dan dibuat penambahbaikan sentiasa.

Justeru, tindakan beberapa pihak dan NGO yang mengetengahkan pendekatan pendidikan positif dengan lebih lembut, banyak memuji dari mengherdik, kurang pendekatan keras berdasarkan panduan dari Rasulullah adalah usaha murni yang harus dipuji. Pendekatan sebegini wajar diketengahkan dan disokong oleh semua pihak sehingga menjadi amalan dalam sistem pendidikan dan kaedah pengajaran guru kepada murid. Melalui pendedahan sebegini, ia mungkin dapat membantu guru dalam mendidik murid, menangani karenah mereka dalam meninggikan keilmuan, di samping membentuk akhlak mereka.

Pada masa sama, dengan pelbagai perubahan kepada sistem pendidikan yang ada, tidak mustahil kesibukan dan beban kerja sebagai guru sekarang ini boleh menjadi faktor tekanan yang boleh mempengaruhi guru dalam pendekatan mereka terhadap murid. Jika dalam kes murid ditampar dikatakan mungkin ada kaitan dengan tekanan yang dihadapi oleh guru, maka isu tekanan kerja guru perlu ditangani pihak berwajib dengan sebaiknya. Ia bukan sesuatu yang boleh dinafikan atau diletakkan sebagai masalah individu. Ini kerana sekiranya beban kerja yang terlalu banyak dan tekanan yang dihadapi boleh menjadi faktor guru menjadi cepat marah, maka tindakan susulan menangani tekanan dan usaha merendahkan tahap beban kerja guru ke tahap munasabah perlu diperhatikan.

Tanpa menafikan bahawa usaha penambahbaikan kepada sistem pendidikan secara keseluruhan telah dan sedang berlaku seperti perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang baru diisytiharkan, adalah baik juga jika kita dapat melihat bagaimana sistem pendidikan sekolah dilaksanakan di negara lain, terutama negara maju. Ia boleh dijadikan panduan dalam usaha mencari jalan penambahbaikan kepada sistem pendidikan di negara kita. Walaupun tidak semua aspek pendidikan mereka boleh diambil pakai, namun apa yang baik wajar dipertimbangkan. Apatah lagi apabila melibatkan penambahbaikan kehidupan kanak-kanak yang menjadi pelapis negara masa depan. Ia selari juga dengan usaha negara untuk menjadi negara maju pada tahun 2020  dan  hasrat negara untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dalam semua urusan melibatkan mereka, termasuklah aspek pendidikan selepas menandatangani United Nations Convention on the Rights of the Child (UNCRC) 1989.

Mengambil tindakan memperelokkan apa-apa yang menjadi amalan kehidupan juga digalakkan oleh agama yang menggalakkan kita berusaha ke arah menjadi lebih baik hari demi hari. Al-Quran menyarankan kita bertanya kepada yang lebih mengetahui apa-apa yang tidak kita ketahui sebagai satu penzahiran betapa bertanya, mengkaji sesuatu ke arah penambahbaikan hidup adalah anjuran agama selagi mana ia tidak berlawanan dengan Syariah.

Dalam beberapa artikel selepas ini, saya akan membawakan beberapa aspek pendidikan dan pendekatan sistem persekolahan sekolah rendah di Australia sebagai perbandingan berdasarkan dapatan  awal kajian yang saya dan rakan lakukan serta pengalaman sendiri semasa melanjutkan pelajaran selama empat tahun di sana.

* Prof Madya Dr Nurhidayah Hashim pensyarah di IPT di Selangor yang baru sahaja menamatkan PhD di Melbourne, Australia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.