Wednesday, September 18, 2013

Kenali Siapa Salafi..


The Malaysian Insider

rencana

Menilai pemikiran Salafiyah - Dr Ahmad Farouk Musa

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh seraya berkata : Sesungguhnya aku adalah salah seorang MUSLIM” (Surah Fussilat 41:33).

Mereka yang memerhatikan perkembangan dakwah yang berlaku di kalangan umat ketika ini terutamanya dalam masyarakat di tanah air pasti akan mempersoalkan apakah itu yang dinamakan “Salafiyah”.

Yang dimaksudkan dengan perbincangan kita tentang “Pemikiran Salafiyah” di sini ialah kerangka berfikir – manhaj fikri – yang tercermin melalui pemahaman generasi terbaik daripada ummat ini, yakni para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan setia, dengan mempedomani hidayah al-Qur’an dan tuntunan Nabi yang tercinta.

Merekalah yang telah berhasil menterjemahkan al-Qur’an dalam kehidupan generasi sesudah mereka. Mereka mengerti kehendak as-Sunnah dalam peribadatan dan kepentingan akal dalam kehidupan seharian. Mereka mempelopori berbagai kemenangan serta menyebarluaskan keadilan dan ihsan. Mereka mendirikan “negara ilmu dan iman”. Mereka membangun peradaban rabbani yang manusiawi, dan merupakan contoh masyarakat madani. Bahkan, segala pencapaian mereka masih tercatat di dalam sejarah hingga ke hari ini.

Adapun kini terdapat banyak tren dalam aliran salafiyah ini dan kita juga sedar akan pertelingkahan yang timbul akibat daripada sikap sesetengah para penyeru kepada dakwah salafiyah ini. Sesungguhnya malapetaka yang paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan.
Sesungguhnya faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya akan mampu dibaiki dengan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Hal ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seIslam. Ia adalah sesuatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.

Maksud Salafiyah

Daripada segi bahasa, Salafiyah dinisbahkan kepada salaf, dan perkataan salaf adalah satu istilah yang penuh misteri.

Salaf seringkali diertikan sebagai generasi yang terdahulu iaitu generasi awal Islam. Bukanlah menjadi hasrat kami untuk memperbincangkan epistemologi Salafiyah kerana ia akan melibatkan huraian yang sangat panjang. Masalah ini telahpun dikesan oleh Dr Muhammad Imarah di mana beliau menyebut di dalam bukunya Tayyarat al-Fikr al-Islamiy:

“Sesungguhnya perkara yang terdahulu yang diikuti masih tidak terhad kerana ianya sendiri tidak berbilang, adakah ia Qur’an dan Sunnah? Atau termasuk di dalamnya makthurat yang diriwayatkan daripada sahabat? Adakah ia nas-nas itu saja atau termasuk juga di dalamnya mazhab-mazhab Tabi’in dan Tabi’-Tabi’in.

"Kalau kita katakan bahawa Salaf adalah Qur’an dan Sunnah bagaimana pula halnya dengan manhaj-manhaj mufassirin. Kalau kita katakan bahawa Salaf adalah kata- kata sahabat dan tabi’in, maka kita sedia maklum bahawa kata-kata mereka dan mazhab- mazhab mereka bukan satu bahkan ada yang bertentangan. Oleh sebab itu, kita tidak mempunyai satu mazhab tertentu yang boleh kita namakan dengan mazhab Salaf.”

Setelah menghuraikan masalah ini dengan panjang lebar, Dr Muhammad Imarah menerangkan bahawa Salafiyah adalah fenomena yang lahir daripada aliran pemikiran pimpinan Imam Ahmad bin Hanbal. Apa yang nyata daripada kata-kata ini ialah Dr Muhammad Imarah berpendapat Salafiyah adalah mazhab Ahmad bin Hanbal dan salafiyyun adalah mereka yang mengikuti mazhab Hanbali.

Huraian Dr Muhammad Imarah ini telah diperjelaskan lagi oleh al-Imam Dr Muhammad Abu Zahrah di dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, sebuah buku yang tersangat penting untuk dikaji dan wajib dibaca oleh mereka yang bergerak di jalan dakwah, terutama oleh golongan yang mendakwa diri mereka sebagai “Salafi”. Antara lain beliau memperjelaskan bahawa aliran Salafiyah yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal ini telah diperkembangkan semula oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah beberapa kurun sesudah itu.

Adapun Syeikh Muhammad al-Ghazali mempunyai pandangan yang berbeza. Salafiyah menurut beliau adalah aliran pemikiran dan perasaan yang berhubung kait dengan kurun yang baik, kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap al-Qur’an dan as-Sunnah, serta kesungguhan mengumpulkan usaha-usaha umat sama ada berbentuk material atau spiritual demi menegakkan kalimah Allah tanpa membezakan warna kulit dan keturunan.

“Salafiyyun” bukanlah kumpulan tertentu yang menghuni kawasan tertentu di negara Arab dan hidup dengan cara yang tertentu. Sheikh Muhammad al-Ghazali selanjutnya menghuraikan di dalam bukunya Dustur al-Wihdat al-Thaqaffiyyah baina al- Muslimin bahawa ada orang yang memahami Salafiyah sebagai feqah Ahmad bin Hanbal, ataupun Salafiyah itu adalah satu aliran yang terikat dengan “nas” yang bersikap literal dalam penafsirannya.

Menurut beliau, Salafiyah juga bukan dengan kembali kepada yang terdahulu di mana banyak terdapat perkara-perkara yang remeh-temeh yang sepatutnya lenyap di zaman itu juga.

Salafiyah menurut tafsiran beliau adalah satu nama yang besar bagi hakikat yang besar yang asasnya adalah akal yang bebas mengkaji dan aktif, walaupun paksinya tetap merupakan al-Qur’an dan as-Sunnah. Akal yang bebas lagi merdeka inilah yang membuatkan mereka yang berada di atas landasan Salafiyah berupaya untuk menterjemah tuntutan nas berdasarkan maqasid atau tujuan yang hendak dicapai daripada nas tersebut.

Akal yang bebas dan merdeka inilah yang telah mengangkat darjat manusia mengatasi segala makhluk termasuklah mengatasi para malaikat yang suci berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 31-33.

Sheikh Muhammad al-Ghazali melihat Salafiyah sebagai suatu aliran pemikiran dan perasaan yang menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai sumber kekuatannya, namun memberikan ruang yang luas kepada akal yang rasional.

Sebenarnya bukanlah beliau seorang sahaja yang melihat Salafiyah sebagai aliran pemikiran, ramai lagi yang lain kebanyakannya daripada Madrasah al-Imam Muhammad Abduh; seperti Allamah Sayyid Rasyid Ridha, Syeikh Muhammad al-Khudari, Syeikh Mustafa al-Maraghi, Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, Syeikh Mahmud Shaltut, Muhammad Abdullah Diraz, Muhammad al- Baki, Muhammad al-Madani, Imam Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan terlalu ramai para ulama yang seperti mereka.

Sesungguhnya aliran ini bernama Salafiyah tetapi mereka memberikan banyak ruang kepada akal, berlainan dengan Salafiyah Nususiah yang diketuai oleh Sheikh Muhammad Abdul Wahhab yang mempelopori aliran literalis. Kedua golongan ini mempunyai pandangannya masing-masing mengenai Salafiyah.

Salafiyah pada pandangan Imam Muhammad Abduh ialah aliran pemikiran yang bersandar kepada al-Quran dan as-Sunnah serta kemerdekaan akal sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Hal keadaan yang sama telah dimaksudkan oleh al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna apabila beliau menyatakan bahawa dakwah al-Ikhwan al-Muslimun adalah dakwah Salafiyah. Beliau yang merupakan murid kepada Allamah Sayyid Rasyid Ridha telah meneruskan dakwah Salafiyah yang merupakan manhaj al-Ikhwan al-Muslimun dari dahulu hingga ke hari ini.

Maka amat hairanlah kita apabila melihat al-Ikhwan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai “Salafi”.

Citra “Salafiyah” dirosakkan

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, istilah “Salafiyah” ini telah dirosakkan citranya oleh kedua-dua golongan yang mendokong dan menentang.

Orang-orang yang mendokong manhaj Salafiyah – baik yang selama ini dianggap orang dan menamakan diri mereka sedemikian, atau yang sebahagian mereka yang dianggap memahami konsep Salafiyah – telah membatasinya dalam skop formaliti dan kontroversi sahaja, seperti masalah-masalah tertentu dalam Ilmu Kalam, Ilmu Fiqh atau Ilmu Tasawuf.

Mereka tersangat keras dan garang terhadap orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah-masalah kecil dan tidak prinsipal ini. Sehingga memberi kesan kepada sesetengah orang bahwa manhaj Salafiyah adalah merupakan metodologi “debat” dan “polemik”, bukan manhaj yang konstruktif dan praktikal.

Dan juga memberi kesan bahawa yang dimaksudkan dengan “Salafiyah” ialah mempersoalkan perkara yang kecil dan remeh dengan mengorbankan hal-hal yang yang pokok dan mendasar. Mereka mempermasalahkan khilafiah dengan mengabaikan masalah-masalah yang disepakati. Mereka mementingkan formaliti dan kulit dengan melupakan inti dan jiwa.

Kita melihat di negara kita betapa obsesnya mereka dengan janggut, isbal dan niqab seakan-akan yang demikian itu menjadi lambang Salafiyah.

Sedangkan pihak yang menentang Salafiyah menuduh faham ini sebagai kefahaman yang “mundur”, senantiasa menoleh ke belakang, tidak pernah memandang ke hadapan. Faham Salafiyah, menurut mereka, tidak memberi perhatian terhadap hal ehwal masa kini dan masa depan.

Golongan Salafiyah ini juga dilihat sangat fanatik terhadap pendapat sendiri, tidak mahu mendengar suara dan pendapat orang lain. Salafiyah membawa pengertian anti pembaharuan atau permodenan, mematikan kreativiti dan daya cipta. Salafiyah juga merupakan suatu bentuk pemikiran yang ekstrim, yang tidak mengenal apa itu moderat dan pertengahan.

Kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi lagi, sebenarnya tuduhan-tuduhan ini merosak citra Salafiyah yang hakiki dan penyeru-penyerunya yang asli. Barangkali tokoh yang paling menonjol dalam menyebarkan “Salafiyah” dan membelanya bermati-matian pada masa lampau ialah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berserta muridnya Imam Ibnul Qayyim. Mereka inilah orang yang paling layak mewakili gerakan”pembaruan Islam” pada masa mereka kerana pembaharuan dan tajdid yang mereka lakukan benar-benar meliputi seluruh disiplin ilmu Islam.

Mereka telah menumpaskan faham taqlid, fanatik madzhab fiqh dan ilmu tasawuf yang menyeleweng yang telah mendominasi dan mengekang pemikiran Islam selama beberapa abad. Namun, di samping kegarangan mereka dalam membasmi ashabiyah madzhabiyah ini, mereka tetap menghargai para Imam Madzhab dan memberikan hak-hak mereka untuk dihormati. Hal itu jelas terlihat dalam risalah Raf’ul – Malaam ‘anil – A’immatil A’lam karya Ibnu Taimiyah.

Demikian juga hebatnya serangan mereka terhadap “tasawuf” kerana penyimpangan- penyimpangan pemikiran dan aqidah yang menyebar di dalamnya. Khususnya di tangan para pengasas madzhab Al-Hulul Wal-Ittihad (penyatuan). Dan penyelewengan perilaku yang dilakukan para orang jahil dan yang menyalahgunakan “tasawuf” untuk kepentingan peribadinya.

Namun, mereka menyedari akan tasawuf yang benar lagi sahih. Mereka memuji para pemuka tasawuf yang ikhlas dan rabbani. Bahkan dalam bidang ini, mereka meninggalkan warisan yang sangat berharga, yang tertulis dalam dua jilid kitab daripada Majmu’ Fatawa karya besar Imam Ibnu Taimiyah. Demikian pula dalam beberapa karangan Ibnu-Qayyim. Yang termasyhur ialah Madarijus Salikin syarah Manazil as-Sairin ila Maqomaat Iyyaka Na’budu wa-Iyyaka Nasta’in, dalam tiga jilid.

Bukan sekadar ucapan

Syeikh Yusuf al-Qaradawi menekankan bahawa mengikut manhaj Salaf, tidaklah bererti sekadar menuruti ucapan-ucapan mereka dalam masalah-masalah kecil tertentu. Adalah suatu hal yang mungkin terjadi, anda mengambil pendapat-pendapat Salaf dalam masalah yang juz’i, sedangkan pada hakikatnya anda telah meninggalkan manhaj mereka yang universal, integral dan seimbang. Sedangkan apa yang lebih wajar, anda memegang teguh manhaj mereka yang kulli (universal), jiwa dan tujuan-tujuannya, walaupun anda menyalahi sebagian pendapat dan ijtihad mereka.

Inilah sikap saya secara peribadi terhadap kedua Imam tersebut, yakni Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim, kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi. Saya sangat menghargai manhaj mereka secara global dan memahaminya. Namun, ini tidak bererti bahawa saya harus mengambil semua pendapat mereka. Jika saya melakukan hal itu bererti saya telah terperangkap dalam taqlid yang baru. Dan bererti telah melanggar manhaj yang mereka pegang dan perjuangkan sehingga mereka disiksa kerananya iaitu manhaj “nalar” dan “mengikuti dalil”. Melihat setiap pendapat secara objektif, bukan memandang orangnya. Apa ertinya anda mengkritik orang lain yang bertaqlid kepada Imam Abu Hanifah atau Imam Malik, jika anda sendiri bertaqlid kepada Ibnu Taimiyah atau Ibnul Qayyim.

Juga termasuk dalam perbuatan menzalimi kedua Imam tersebut jika hanya disebutkan sumbangan mereka daipada segi ilmiah dan pemikiran dan mengabaikan sudut-sudut lain yang tidak kurang pentingnya daripada yang pertama. Sering kita terlupa sisi Rabbani daripada kehidupan Ibnu Taimiyah yang pernah menuturkan kata-kata:

“Aku melewati hari-hari dalam hidupku di mana suara hatiku berkata, kalaulah yang dinikmati ahli syurga itu seperti apa yang kurasakan, pastilah mereka dalam kehidupan yang bahagia.”
Di dalam sel penjara dan penyiksaannya, beliau pernah mengatakan: “Apakah yang hendak dilakukan musuh terhadapku? Sekiranya aku di penjara, maka aku berkhalwah, sekiranya aku di buang daerah, maka aku melakukan rehlah, dan jika aku dibunuh nescaya aku menikmati syahadah”.

Beliau adalah seorang lelaki rabbani yang mempunyai kekuatan rohani. Demikian pula muridnya Ibnul Qayyim, dan hal ini dapat dirasakan oleh semua orang yang membaca kitab-kitabnya dengan hati yang terbuka.

Namun, orang seringkali melupakan, segi “dakwah” dan “jihad” di dalam kehidupan dua orang Imam tersebut. Imam Ibnu Taimiyah terlibat langsung dalam beberapa medan pertempuran dan bertindak sebagai penggerak kebangkitan umat. Kehidupan kedua-dua tokoh itu penuh diwarnai perjuangan dalam memperbaharui seruan Islam. Mereka dihumban ke dalam penjara beberapa kali kerana usaha pembaharuan yang dilakukan. Akhirnya Syaikhul Islam mengakhiri hidupnya di dalam penjara, pada tahun 728 H. Inilah makna “Salafiyah” yang sebenarnya.

Berkata Syeikh Yusf al-Qaradawi lagi, apabila kita mengalihkan pandangan ke zaman sekarang, kita akan bertemu tokoh yang paling menonjol yang mendakwahkan “Salafiyah”, dan paling gigih mempertahankannya menerusi artikel, kitab karangan dan majalah pembawa misi “Salafiyah”, ialah Imam Muhammad Abduh dan muridnya Allamah Sayyid Muhammad Rasyid Ridha.

Menerusi majalah Al-Manar dalam tempoh lebih tiga puluh tahun telah membawa “bendera” Salafiyah ini. Syeikh Rasyid Ridha kemudiannya menulis Tafsir al-Manar hasil daripada pengajian tafsir yang dipelajari daripada gurunya Imam Muhammad Abduh, dan dimuatkan di dalam majalah yang sama, yang telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia hinggalah ke nusantara ini.

Menerusi al-Manar-lah, tumbuhnya gerakan Salafiyah di nusantara ini dengan para pemimpinnya seperti Ustaz Ahmad Dahlan dengan “Muhammadiyyah”nya, Syeikh Ahmad Surkati dengan “Al-Irsyad”nya, dan Ustaz A. Hassan dengan “Persatuan Islam”nya.

Begitu juga dengan para tokoh ilmuan daripada kalangan mufassir dan muhaddith seperti Prof Hasbi as-Siddiqui. Gema Salafiyyah yang dicanangkan oleh Imam Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha itu juga disambut oleh para ulama’ di Tanah Melayu yang bangun memperjuangkan risalah Tauhid dan menggerakkan Tajdid seperti Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi.

Imam Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha adalah para Mujaddid Islam pada masanya. Barangsiapa yang membaca tafsir al-Manar dan buku-bukunya, seperti Al-Wahyu Al-Muhammadi, Yusrul-Islam, Nida’ Lil-Jins Al-Lathief, Al-Khilafah, Muhawarat Al-Mushlih wal-Muqollid dan sejumlah kitab dan makalah-makalahnya, akan melihat bahawa pemikiran para tokoh ini benar-benar merupakan “Manar” yang memberi petunjuk dalam perjalanan Islam di masa moden. Kehidupan amali mereka merupakan bukti bagi pemikiran “Salafiyah” yang mereka terokai.

Rasyid Ridhalah yang merumuskan suatu kaedah “emas” yang terkenal dan kemudiannya dilanjutkan oleh Imam Hasan al-Banna iaitu kaedah:
“Marilah kita saling bekerja sama dalam hal-hal yang kita sepakati. Dan marilah kita saling memaafkan dalam masalah-masalah yang kita berbeza pendapat.”

Betapa indahnya kaedah ini jika difahami dan diterapkan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai “Salafi”.

Penutup

Kami menyeru kepada semua yang berada di atas landasan dakwah agar mengelakkan diri kita daripada cepat menuduh orang lain yang bebeza pendapat dan berbeza penafsiran dengan kita dengan tuduhan “LIBERAL” dan sebagainya.

Ingatlah pesanan asy-Syahid Imam Hassan al-Banna: “Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa yang memberi kebaikan”.
Dan nasihatnya lagi: “Sesungguhnya kewajipan-kewajipan kita adalah lebih banyak daripada masa yang ada pada kita; oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya”. - September 17, 2013.

* Penulis ialah pengarah Islamic Renaissance Front, Kuala Lumpur. Artikel ini ditulis pada Oktober 2008.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.