Wednesday, September 18, 2013

Belajar dari kaedah pendidikan Australia



Kaedah pendidikan, kerja rumah dan budaya suka membaca: pendekatan sekolah di Australia-  Nurhidayah Muhd Hashim


Melihat perlaksanaan negara lain boleh membuka pandangan kita untuk mempertingkatkan kelompongan yang ada. Ini bersesaian dengan ajaran Islam di mana  apa-apa yang baik haruslah dicontohi apatah lagi demi kesejahteraan kanak-kanak sebagai generasi pelapis negara masa depan. Ini bertepatan pula dengan usaha negara memperbaiki sistem pendidikan negara dan juga bergerak ke arah negara maju pada tahun 2020.

Satu perkara penting yang dapat dilihat dari sistem sistem pendidikan sekolah rendah di Australia adalah mereka tidak mendesak ilmu diberi secara cepat dan memaksa kanak-kanak menjadi ‘pandai’  lebih awal melepasi tahap normal keupayaan mereka. Silabus subjek mereka terutama matematik dan sains tidak begitu berat dan serius seperti yang dijalankan di sini. Mereka tidak menggunakan konsep ‘hafal’ fakta atau sifir tetapi lebih kepada memahami konsep sesuatu perkara yang diajar. Mereka juga menggunakan pendekatan praktikal dan kemudian pelajar mengingati sesuatu input secara ‘sepontan atau tanpa sedar’ kerana selalu mengulanginya atau kerana guru-guru menceritakan rasional  di sebalik maklumat tersebut.

Lihat, pegang, buat dan hafal

Pembelajaran secara aplikasi dalam subjek matematik dan sains sangat ketara di sana. Contohnya apabila mempelajari tentang binatang mamalia, replitilia dan sebagainya, pelajar akan dibawa ke zoo berdekatan atau menonton dokumentari bersama guru tentang haiwan. Semasa matapelajaran sains berkaitan alam, pelajar akan dibawa ke taman, ke padang di luar bilik darjah dan membuat ekperimen yang bersesuaian. Melawat pasar ikan juga adalah antara tempat penting untuk guru-guru membawa murid-murid dalam pembelajaran sains. Mereka belajar dengan memahami konsep, melihat, membuat dan kemudian mengingat.

Ketika mempelajari matematik gred tiga dan empat berkenaan berat dan jarak, murid-murid dibawa berjalan keluar dari kawasan sekolah ke mana-mana kedai berdekatan dengan sekolah dan tuan kedai akan menunjukkan bentuk-bentuk timbangan serta bagaimana barang ditimbang, kilogram diguna, apakah gram dan sebagainya. Pelajar akan diberi peluang berlakon sebagai  pekedai dan pembeli menggunakan alat penimbang dan pengukur jarak. Kanak-kanak bukan menghafal ukuran gram dan kilogram sebegitu sahaja, tetapi melihat sesuatu dengan mata mereka dan melakukannya. Ini menunjukkan pendekatan mereka adalah teori dan praktikal sekali gus. Ingatan mereka terhadap perkara tersebut bukan melalui hafalan, tetapi melalui penglihatan dan praktikal.

Begitu juga ketika mereka belajar sifir. Guru tidak memaksa murid menghafal sifir tanpa tahu bagaimana bahagi, tolak, darab dan bahagi berlaku. Contohnya ketika guru mengajar sifir, mereka menggunakan pendekatan bersahaja dan menarik dengan  menunjukkan dengan praktikal pembahagian sesuatu barang seperti manik, duit, batu kecil, gula-gula di lantai dengan santai dan ceria. Guru akan membahagiakan  dalam beberapa kumpulan mengikut pecahan sifir berapa yang diajar. Pelajar akan mengelilingi guru dan memberi jawapan untuk tambah, tolak, darab dan bahagi. Selepas praktikal dibuat, dan murid faham bagaimana bahagi berlaku, darab berlaku, maka baharulah hafalan sifir dibuat. Kanak-kanak menghafal sifir kerana melihat kegunaannya dalam hidup dan bukan kerana takut dirotan kerana tidak menghafal sifir. Secara tak langsung, guru-guru menjadikan subjek matematik dan sains adalah matapelajaran yang disukai, menarik dan seronok.

Kerja rumah

Saya melihat mereka sering merujuk kepada pendapat pakar, guru-guru  dan ibu bapa  dalam hal berkaitan persekolahan. Contohnya mengenai urusan memberi kerja rumah selepas tamat sekolah. Amalan umum adalah mereka tidak membebankan pelajar dengan kerja rumah yang bertimbun-timbun seperti diamalkan di sekolah-sekolah kita sekarang ini. Walaupun ada kebaikan dalam tindakan guru-guru memberi kerja rumah, tetapi apabila ianya banyak dan semua subjek mempunyai kerja rumah, maka sudah tentu ia membebankan kanak-kanak.

Isu kerja rumah ini pernah menjadi topik hangat di kalangan ibu bapa dan pakar pendidikan di Australia. Semasa saya sekeluarga masih berada di Australia pada awal tahun 2012, terdapat perbincangan berhari-hari di stesen TV bertajuk ‘kerja rumah- wajar atau tidak’.  Pihak TV menemubual sekumpulan ibu bapa, pakar pendidikan dan guru-guru sekolah.  Ramai ibu bapa tidak bersetuju jika sekolah memberikan kanak-kanak kerja rumah, kerana ia membebankan kanak-kanak. Ia disokong pula oleh seorang pakar pendidikan kanak-kanak yang menghuraikan bahawa sebarang kerja rumah yang hanya bertujuan membuat pelajar sibuk menyalin, menjawab soalan-soalan latihan tidak membawa manfaat yang banyak kepada pelajar.

 Terdapat juga pakar yang berdebat mengatakan kerja rumah wajar diberi tetapi dalam jumlah yang sedikit dan tidak membebankan, tidak boleh mengambil masa yang lama dan haruslah berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak untuk hari-hari seterusnya. Maksudnya kerja rumah diberi hendaklah untuk memudahkan mereka belajar tajuk selepasnya dan bukan mengulangi apa yang telah dipelajari. Ia juga semestinya tidak boleh menyebabkan terganggu keseimbangan tumbesaran kanak-kanak untuk masa mereka bermain, membaca buku-buku cerita dan menonton TV yang turut sama membina minda mereka.

Di sana, kanak-kanak berada di sekolah selama 6 - 7 jam setiap hari (bermula jam 9.00 pagi dan tamat sesi persekolahan jam 3.30 petang). Menurut guru besar yang ditemubual, mereka melihat waktu belajar secara formal di sekolah selama 6-7 jam itu sudah  memadai untuk kanak-kanak. Waktu petang  selepas sesi persekolahan adalah untuk mereka bermain, atau menghadiri kelas di luar sistem persekolahan seperti kelas teakwondo, tarian, berenang dan lain-lain aktiviti untuk keseimbangan fizikal dan minda mereka. Manakala waktu malam selepas makan adalah untuk mereka membaca bahan bacaan dan novel-novel bersama ibu bapa sebelum tidur untuk membina kemampuan kreativiti dan penguasaan bahasa mereka. Tuisyen atau kelas tambahan selepas waktu sekolah adalah perkara yang bukan amalan di sana. Beliau beberapa kali menegaskan bahawa tuisyen selepas belajar secara formal di sekolah adalah tidak wajar, ia membebankan kanak-kanak, tidak baik untuk tumbesaran mereka dan boleh menimbulkan kesan negatif seperti tidak cukup rehat dan waktu bermain untuk kanak-kanak.

Apa yang saya perhatikan dalam sesi pembelajaran anak-anak di sana, kerja rumah yang diberikan adalah berkaitan dengan tugasan seterusnya. Contohnya jika murid-murid ditugaskan membentangkan sesuatu tajuk pada minggu seterusnya, maka kerja rumah adalah untuk mencari bahan berkaitan tajuk tersebut dari internet dan sebagainya,  serta membuat slide perbentangan. Ini menunjukkan mereka mengambil maklum pendapat pakar pendidikan dan kehendak ibu bapa dalam melaksanakan pendekatan untuk memberi kerja rumah atau tidak. Ia sekali gus menjawab soalan kenapa mereka tidak membebankan kanak-kanak dengan pelbagai kerja rumah seperti diamalkan di negara kita.


Membaca buku cerita adalah kerja rumah

Pendekatan menyeluruh berkaitan dengan kerja rumah dan penerapan nilai budaya suka membaca dapat dilihat daripada penjelasan guru kelas yang ditemubual. Katanya, membina minat suka membaca di kalangan kanak-kanak adalah satu perkara yang penting. Seseorang dewasa sukar mempunyai minat suka membaca jika ia tidak diterapkan dari kecil. Justeru, amalan biasa di Australia adalah sebelum balik dari sekolah, setiap kanak-kanak akan disuruh meminjam beberapa buah buku cerita di perpustakaan kelas atau perpustakaan sekolah dan mereka hendaklah membaca buku tersebut bersama  ibu bapa. Itulah yang dipanggil kerja rumah bagi mereka. Mereka juga diberi sebuah buku log untuk ibu bapa tandatangan mengesahkan buku cerita tersebut telah dibaca dengan catatan berapa minit diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Bagi pelajar yang belum tamat membacanya, maka ia hendaklah disambung pada hari selepasnya. Manakala yang sudah tamat, akan mengambil buku lain untuk dibaca di rumah. Pada hujung bulan, pelajar yang menghabiskan buku paling banyak akan menerima hadiah atau dipilih sebagai ‘pupil of the week’. Justeru, adalah perkara biasa di sana seseorang pelajar berjaya menghabiskan 30 buah atau lebih bahan bacaan seminggu.

Membaca buku cerita dengan ibu bapa sangat ditekankan di sana. Sekolah dan perpustakaan daerah kerap mengadakan sesi pembacaan buku cerita dengan menjemput ibu bapa  dalam aktiviti tersebut. Mereka turut membuat tutorial kepada ibu bapa bagaimana untuk membaca buku bersama anak-anak. Itulah sebabnya juga kenapa dalam cerita kanak-kanak kecil di negara-negara maju akan ada sesi membaca buku sebelum tidur bersama ibu bapa, yang dipanggil ‘bedtime stories’. Kerana itu juga, masyarakat mereka menjadi sebati dengan budaya membaca dan mendarah daging sehingga mereka dewasa. Ini menjawab pertanyaan kenapa kita sering melihat kanak-kanak atau orang dewasa di Australia dan juga negara maju mempunyai tahap minat membaca yang tinggi dan  sentiasa membawa buku ke mana-mana, dan membaca buku dalam keretapi, tram, bas, sambil menunggu kaunter, di klinik dan sebagainya. Sistem persekolahan mereka sebenarnya meletak perancangan ke arah pembinaan minat membaca ini. Pendekatan sekolah rendah sudah bergerak ke arah menanam, membina dan menyuburkan budaya suka membaca dalam diri kanak-kanak sekolah rendah. Budaya suka membaca menjadi agenda semua pihak, bukan agenda individu atau ibu bapa  yang prihatin.


Dengan membaca novel dan bahan bacaan,  guru tersebut menjelaskan mereka berjaya mendapat beberapa manfaat. Selain dari menjadikan kanak-kanak akan membaca sehingga menjadi amalan harian mereka, ia juga memperkasakan kanak-kanak dengan bahasa mereka dan menguasai maksud serta penggunaan perkataan dan prosa kata. Kanak-kanak tahu apa maksud sesuatu perkataan, kata-kata hikmah dan peribahasa serta bagaimana ia digunakan. Justeru, membaca novel dan bahan bacaan menjadi perkara penting di sekolah di sana. Kanak-kanak bukan menghafal tatabahasa, atau menghafal erti sesuatu kata-kata hikmah tetapi memahaminya melalui penulisan yang dibaca. Melalui pembacaan, jendela akal mereka terbuka dan mereka tanpa sedar menghafal penggunaan tatabahasa, kosa kata dan menirunya dalam percakapan dan penulisan. Sudah tentu menjadikan kanak-kanak membaca untuk membina minda dan kemahiran bahasa sebagai agenda sekolah tidak dapat dilakukan sekiranya kerja rumah untuk pelbagai subjek diberi dengan banyak. Pendekatan holistik mereka berjaya membina masyarakat yang cintakan ilmu dan suka membaca.

Saya berpendapat pendekatan mereka sangat dekat dengan apa yang Nabi ajarkan. Kata-kata ilmuan Islam yang hebat, Muhammad Abduh selalu terngiyag-ngiyang di minda saya; Semasa beliau  dibawa berjalan-jalan di sekitar Eropah, Syeikh Mohammad Abduh berkata:

رأيت الاسلام و لم ار المسلمين و رأيت المسلمين و لم ار الاسلام
“Aku melihat Islam (di Eropah), tapi tidak melihat Muslim.  Dan aku melihat Muslim (di Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.


Sungguh, saya berharap dan berdoa agar nilai2 Islam akan berada dalam masyarakat saya; penyayang kepada kanak-kanak, mendidik dengan penuh kasih dan sayang, bukan dengan garang dan baran.