Thursday, March 3, 2011

Harta simati

Satu artikel yang baik untuk renungan bersama..
__________
Peguam Syarie Menulis: Kuasa terhad sukarkan proses pembahagian harta
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/03/02
PENJELASAN mengenai pengurusan harta pusaka perlu didedahkan kepada masyarakat supaya tidak timbul kekeliruan dan perbalahan satu hari nanti.


PENJELASAN mengenai pengurusan harta pusaka perlu didedahkan kepada masyarakat supaya tidak timbul kekeliruan dan perbalahan satu hari nanti.Pewaris buat tuntutan pusaka lebih RM2 juta rujuk Mahkamah Tinggi dan Syariah

MASYARAKAT hari ini masih ada yang kabur atau tidak memahami langsung mengenai urusan pentadbiran harta pusaka terutama apabila berlaku kematian. Mereka tercari-cari jalan untuk menyelesaikan isu harta pusaka.
Ada yang keliru apakah penghakiman harta pusaka perlu di bawa ke Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi (Sivil), Unit Pembahagian Pusaka / Pejabat Tanah atau AmanahRaya.
Di Malaysia, pentadbiran harta pusaka termasuk dalam senarai dan tugas negeri, kecuali bagi orang bukan Islam, pentadbiran harta mereka termasuk dalam senarai dan tugas persekutuan. Ini di jelaskan dalam senarai 1 (4) (e) (i) dan (ii) jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Buat masa ini, pentadbiran harta pusaka ditadbir mengikut Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 yang secara ringkasnya memperuntukkan cara mendapat Surat Kuasa Wasiat dan Surat Kuasa Tadbir.

Manakala Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 secara ringkasnya memperuntukkan cara memudahkan dan mempercepatkan pengendalian serta pengurusan sesuatu tuntutan pusaka kecil yang selalunya membabitkan tanah.

Akta ini digunakan tanpa ada batasan bangsa dan agama. Pemakaian undang-undang ini terhadap orang Islam tertakluk kepada hukum faraid atau pusaka Islam. Oleh itu, dalam perkara ini, mahkamah yang berbidang kuasa menentukan pembahagian harta pusaka orang Islam mengikut hukum faraid apabila adanya permohonan adalah Mahkamah Syariah.
Contohnya, seksyen 61 (3) (b) (ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor, 2003 memperuntukkan Mahkamah Tinggi Syariah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes jika semua pihak dalam prosiding itu adalah Islam.

Tindakan atau prosiding terbabit adalah berkaitan penentuan orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian kepada orang yang berhak.

Seksyen 65 Enakmen sama menyatakan Mahkamah Syariah boleh atas permohonan orang yang berkepentingan menentukan orang yang berhak mendapat bahagian dalam pusaka itu atau bahagian kepadanya masing-masing orang itu berhak.

Ini memberi maksud bidang kuasa Mahkamah Syariah terbatas hanya mengesahkan dan memperakukan dua perkara di atas dalam bentuk sijil faraid saja. Oleh itu, Mahkamah Syariah tidak berbidang kuasa melaksanakan perintah pembahagian kerana ia masih terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah sivil.

Pada masa ini, perintah Mahkamah Syariah boleh diguna pakai oleh Mahkamah Tinggi dan badan lain dalam menentukan pembahagian pusaka orang Islam. Kekeliruan timbul apabila waris tidak tahu pihak mana hendak dirujuk.

Sesetengah berpandangan mereka harus pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan sijil faraid bagi menentukan kadar bahagiannya dan terus dibahagikan harta itu. Ini pandangan terbaik selain itu, Mahkamah Tinggi (Sivil), Unit Pembahagian Pusaka / Pejabat Tanah atau AmanahRaya turut mempunyai hubung kait dengan urusan pembahagian harta pusaka.

Fungsi serta peranan Mahkamah Syariah adalah jelas iaitu bagi pusaka kecil hanya berupaya menyelesaikan harta pusaka bernilai tidak lebih daripada RM2 juta dan sebelum pindaan jumlahnya hanya RM600,000.

Jika nilaian keseluruhan harta melebihi RM2 juta, permohonan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Sivil). Waris sekali lagi dikehendaki membuat permohonan baru mengikut kaedah mahkamah.

Bagi si mati yang meninggalkan harta lain seperti kenderaan atau wang simpanan di institusi kewangan dan harta tidak alih seperti rumah atau tanah pertanian, sepatutnya urusan pembahagian harta dibuat di unit pembahagian pusaka dan pejabat tanah.

Apa yang berlaku sekarang, apabila permohonan dibuat di Mahkamah Tinggi, AmanahRaya dan sebahagian di pejabat tanah atau Unit Pembahagian Pusaka, bagi kes kematian orang Islam, sijil faraid diperlukan untuk dilampirkan bersama.

Untuk mendapat sijil faraid, waris dikehendaki membuat permohonan di Mahkamah Syariah. Permohonan itu didengar dalam satu perbicaraan bagi menentukan waris yang berhak mewarisi dan bahagiannya. Setelah Mahkamah berpuas hati, perakuan dalam bentuk sijil faraid dikeluarkan.

Pihak terbabit seperti AmanahRaya, Unit Pembahagian Pusaka atau Mahkamah Tinggi setelah menerima permohonan akan memanggil semua waris untuk pembahagian sama ada mengikut pakatan atau faraid.

Pakatan adalah yang terbaik kerana bersesuaian dengan konsep reda meredai. Sebelum pembahagian dibuat melalui pakatan atau faraid, perkara lain yang berkaitan seperti tuntutan jual beli, gadaian, sekatan kepentingan tanah dan sebagainya perlu diambil kira.

Amalan ini jelas menunjukkan bahawa bagi orang Islam terpaksa menghadiri dua perbicaraan bagi menyelesaikan pusaka berbanding pusaka bukan Islam. Pertama ke Mahkamah Syariah dan keduanya ke Mahkamah Sivil atau ke Pejabat Tanah.

Jika perbicaraan di Unit Pembahagian Pusaka tidak mendapat persetujuan waris atau berlaku pertikaian, pembahagian ditangguh dan pihak yang menuntut diminta membawa tuntutan ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan terlebih dulu.

Mahkamah Syariah berbidang kuasa mendengar tuntutan itu dan mengeluarkan perintah berkaitan tuntutan itu. Perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah hendaklah dikemukakan kepada Unit Pembahagian Pusaka.

Kedudukan Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya berdasarkan peruntukkan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada negeri menjalankan pentadbiran undang-undang Islam. Namun ada undang-undang Persekutuan yang menghadkan dan menyekatkan pemakaian undang-undang dan ini menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah menjalankan pentadbiran harta pusaka orang Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)