Sunday, December 30, 2012

Dunia academia

Ahli akademik..

Bca artikel Prof ni membuatkan saya terduduk, termenung, dan terfikir tentang wahhh macam-macam boleh terjadi dalam dunia akademi..Saya rasa takut bila baca artikel ni..
Saya berdoa semoga saya termasuk dalam orang-orang yang jujur, menjadi penulis bersama yang memang berkongsi  membuat penulisan yang ada..
Semoga kita semua menjadi ahli ilmu yang baik, jujur dan beramanah kepada ilmu.. insya allah..

wallahu a'lam
__________________


ARKIB : 16/11/2011

Integriti dalam dunia akademik

LUMRAHNYA golongan akademik adalah komuniti yang dianggap kudus, berintegriti, berakhlak tinggi, serta boleh dipercayai dari segi menjana dan mengukuhkan khazanah ilmu. Hanya akhir-akhir ini komuniti tersebut telah dicemari dengan unsur-unsur negatif yang berpunca daripada pelbagai faktor, sama ada kerana permainan ranking atau faktor-faktor lain, sehinggakan ada yang sanggup melakukan apa sahaja 'kecurangan akademik' demi mengejar pangkat dan kedudukan.
Istilah 'kecurangan' atau 'jenayah akademik' merujuk kepada perilaku segelintir pensyarah universiti yang melanggar etika dan amalan baik profesion perguruan tinggi melalui penyelewengan kuasa atau membuat dakwaan palsu.
Jenayah akademik dapat dibahagikan kepada tiga jenis: pertama, pembohongan dalam penulisan biodata; kedua, penipuan dalam penerbitan; ketiga, salah laku dalam tugas pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan.

Biodata yang sangat hebat
Etika asas penulisan Curriculum vitae (CV) ialah kejujuran dan keikhlasan, tetapi penyelewengan maklumat di dalamnya sering berlaku dengan memasukkan apa yang disebut dalam bahasa Inggeris half truth.
Maklumat yang dimuatkan kadang-kadang tidak tepat dan boleh mengelirukan. Satu contoh klasik ialah bagaimana seorang pensyarah membuat dakwaan palsu bahawa beliau pernah menjadi penyelia Phd di sebuah universiti terkenal di England.
Pensyarah berkenaan kebetulan menjadi pelawat selama enam bulan di universiti tersebut. Dalam tempoh tersebut beliau telah dikunjungi oleh seorang pelajar Phd yang ingin mendapatkan pandangannya.
Apabila pensyarah itu pulang ke tanah air beliau telah mengemaskini CVnya dengan memasukkan maklumat bahawa beliau telah dilantik sebagai penyelia Phd di universiti tersebut. Sungguh hebat!
Pengakuan "separuh benar" itu sangat menarik. Pertama, beliau berbuat demikian kerana terdesak. Permohonan menjadi profesor menghendaki seseorang itu menjadi penyelia Phd terlebih dahulu. Maka dirangkumnya pelajar di England itu sebagai calon Phd di bawah seliaannya.
Kedua, nak dipanjangkan cerita, siasatan telah dibuat oleh pihak dekan. Terbukti berlakunya pembohongan terang-terangan dalam CV berkenaan. Bahkan calon Phd yang dikatakan diselianya itu telah membuat pengakuan bertulis menafikan bahawa pensyarah itu adalah penyelianya.

Penulisan dalam percetakan

Satu contoh lagi ialah bagaimana seorang pensyarah dilantik menjadi profesor kerana dalam CVnya terdapat tajuk buku yang sangat berwibawa. Sewaktu ditemuduga beliau telah menunjukkan kulit buku yang kononnya masih dalam percetakan.
Namun demikian, bukunya itu tak keluar-keluar setelah sekian lama. Maka terkenallah profesor itu di kalangan rakan seangkatannya sebagai "profesor kulit buku," Yang lain memanggilnya unbooked profesor.
Selain buku, makalah dalam percetakan juga tidak terkecuali daripada disenaraikan dalam CV sebagai usaha untuk menunjukkan jumlah penerbitan. Petua umumnya ialah kita jangan mudah percaya dengan bahan yang masih dalam percetakan.
Taktik lain adalah mengumpul beberapa kertas kerja yang diformat semula dan dijilid seolah-olah seperti buku, lalu dipersembahkan sebagai karya akademik bertaraf buku.
Dalam amalan akademik, kertas kerja yang dikumpul dan dijilid dipanggil prosiding. Untuk menjadikannya buku tidak salah, tetapi prosesnya memerlukan penyuntingan dan penilaian yang ketat oleh pakar bidang. Kalau kertas kerja itu dijilid mentah-mentah tanpa suntingan rapi sebaik sahaja berlangsungnya seminar, maka integriti orang yang menjadi penyunting 'buku' itu boleh dipersoalkan.

Bayi tunggal bidan sepuluh
Kita pernah mendengar fenomena pembonceng gratis dalam bentuk penulis bersama. Amalan ini bukan perkara baru dalam dunia akademik, tetapi akhir-akhir ini kita sering melihat karya akademik yang mempunyai terlalu ramai penulis bersama, ada yang sampai sepuluh orang. Setelah diteliti ternyata bukan semua sepuluh orang itu pakar dalam bidang berkenaan, tetapi nama-nama mereka dimasukkan dengan tujuan menambahkan jumlah penerbitan setiap orang.
Fenomena yang seakan-akan sama juga berlaku dalam penulisan kertas kerja bergabung. Kertas kerja yang dimaksudkan itu adalah hasil kerja berpasukan tetapi pembahagian tugasnya sangat menarik. Salah seorang akan menjadi penulis. Seorang lagi akan menaja perbelanjaan ke luar negara untuk menghadiri seminar. Mungkin ada seorang lagi yang akan menjadi pembentang kertas kerja tersebut. Setelah pulang, ketiga-tiga orang itu akan menyenaraikan dalam CV masing-masing satu lagi kertas kerja antarabangsa.

Menciplak tugasan pelajar
Demi memperbanyakkan jumlah penerbitan ada pensyarah yang menciplak tugasan pelajar terutama sekali hasil kerja pelajar sarjana dan Phd. Tugasan pelajar diedit semula dan diterbitkan dalam bentuk artikel tanpa sebarang pengiktirafan kepada pelajar berkenaan.
Bukan setakat itu, ada pensyarah yang mengguna keringat dan titik peluh pelajar untuk menjalankan penyelidikan peribadi mereka dengan alasan bahawa itu adalah sebahagian daripada kerja kursus pelajar. Hasil penyelidikan itu digunakan oleh pensyarah berkenaan sebagai penerbitan asalnya, sementara pelajar berputih mata kerana langsung tidak diberikan sebarang ganjaran ataupun pengiktirafan.
Kewajaran yang digunakan oleh golongan ini ialah sebagai penyelia, mereka berhak ke atas hasil kerja pelajar kerana merekalah yang mengeluarkan idea asal dan bimbingan - satu lagi bentuk pentakrifan semula etika akademik yang mungkin tidak akan berlaku di Barat.
Sibuk dengan penyelidikan
Penyelidikan merupakan salah satu kriteria yang diambil kira dalam kenaikan pangkat. Jenayah akademik yang melibatkan penyelidikan berlaku dalam pelbagai bentuk, antaranya pengurusan dana yang penuh dengan penipuan, sama ada dalam bentuk tuntutan perjalanan, perbelanjaan runcit, pembayaran kepada pembantu penyelidik 'hantu' serta penggunaan keringat pelajar secara percuma.
Selain itu terdapat mereka yang menjalankan kerja-kerja perundingan secara diam-diam tanpa memaklumkan kepada universiti tetapi mereka ini rakus pula menggunakan kemudahan universiti dan tenaga kakitangan sokongan pada waktu pejabat dengan dakwaan itu adalah tugas rasmi.
Pensyarah golongan ini biasanya banyak membatalkan kuliah dan tutorial atau mengajar tidak cukup jam. Ada pula yang menyuruh 'keldai akademik' melakukan kerja-kerja pengajaran bagi pihaknya. Keldai tersebut terdiri daripada pensyarah muda yang menaruh harapan kepada pensyarah kanan dan yang berpengaruh itu.

Tiba-tiba bergelar Dr.
Pada zaman dahulu peluang untuk mendapatkan Phd adalah sangat sukar kerana prosedur penilaian yang sangat ketat. Apa yang berlaku sekarang ialah ramai orang yang mendapat Phd dengan begitu mudah, terutama sekali di kalangan ahli perniagaan dan ahli politik. Hampir tidak percaya -- bila masa pula mereka ini mengikuti pengajian di peringkat Phd?
Ada beberapa kelompongan yang terdapat dalam proses mendapatkan gelaran Dr. Kalau di luar negara ada Phd yang 'boleh dibeli' terutama sekali daripada universiti yang integritinya diragui, di Malaysia caranya agak berlainan.
Proses asas memperolehi Phd melibatkan tiga tahap; penyelidikan, penulisan dan penilaian. Nampaknya akhir-akhir ini ada beberapa kes di mana tahap pertama dan kedua itu boleh 'diswastakan' mengikut kadar bayaran yang boleh dirunding. Maka muncullah penyelidik upahan dan penulis hantu - satu industri hiliran baru dalam dunia akademik.
Penilaian tesis Phd di universiti luar negara biasanya melalui proses yang sangat ketat dengan pemeriksa yang dilantik secara objektif mengikut bidang kepakaran masing-masing. Bahkan penyelia tidak boleh campur tangan dalam pelantikan tersebut.

Di Malaysia siapa yang akan menjadi penilai 'bisa diatur' dengan pemeriksanya merangkumi daripada kalangan kawan-kawan baik penyelia tesis. Yang menariknya ialah apabila kawan-kawannya itu mempunyai pelajar Phd yang hendak dinilai, maka penyelia ini akan dilantik pula sebagai pemeriksa. Maka wujudlah lingkaran 'hutang budi' yang sangat merbahaya.
Perkembangan akademik yang tidak sihat ini sedikit sebanyak merosakkan persepsi dunia luar terhadap integriti akademik Malaysia. Biarpun seseorang itu mempunyai CV yang sangat impresif, namun dunia di luar sana sudah lama mengetahui tentang permainan kotor segelintir golongan akademik di negara ini.

Seseorang mungkin bergelar Dr. atau profesor, tetapi kalau proses perolehannya diragui maka tak akan ke mana komuniti akademik kita di persada antarabangsa.
Yang menariknya jenayah akademik bukanlah jenayah yang boleh dikenakan tindakan mengikut hukum kanun negara. Maka berleluasalah pelanggaran etika akademik dalam pelbagai bentuk dewasa ini.
Prof. Dr. Mohamed Yusoff Ismail Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Terbuka Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm#.UN1sbuaTXHN.facebook#ixzz2GSmGvvuz
© Utusan Melayu (M) Bhd