Wednesday, December 29, 2010

Kesan Cerai Pada Anak-anak

Artikel ni disiarkan dalam Berita Harian pada 22/11/2010. Saya tak dapat nafikan ada kawan2 saya dari keluarga bercerai, ayah hilang tak tahu ke mana, tinggal dengan mak sendirian, tapi mereka mampu berjaya dalam hidup. Ada yang berjaya dengan baik, namun ramai yang kurang berjaya kesan dari perperaian ibu bapa. Wallahua'lam.

Semoga keluarga kita selamat dari perpecahan dan perkara tidak diingini.

____________________

Cetak . E-mel RakanEmel Rakan .

Anak daripada keluarga pincang mudah terjerumus masalah sosial
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

2010/11/22

KELUARGA seumpama satu blok yang tersusun menjadi bangunan dalam masyarakat. Keluarga adalah tempat hidup kita bermula dan kita terikat kepadanya. Jika perasaan sayang dan rasa terikat antara ahli keluarga utuh, semakin tenang serta bahagia sesebuah keluarga.

Malaysia sekarang menyaksikan perubahan nilai terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Bilangan perceraian semakin meningkat. Rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan perceraian dalam kalangan orang Islam sepanjang 2008 adalah 22,289 kes. Perceraian kini menjadi perkara biasa, diterima umum dan dianggap lumrah. Ia berlaku dalam semua kelompok masyarakat sehingga tanpa sedar memberi nilai rendah kepada satu akad nikah yang perlu dipertahankan.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Amerika, The Social Scientific Data on the Impact of Marriage and Divorce on Children, Dr Patrick F Fagan menyatakan bahawa apabila wujud rasa terbuang antara pasangan suami isteri sehingga membawa kepada pertengkaran, bergaduh, apatah lagi bercerai, maka seluruh isi keluarga terutama anak berasa sangat sengsara.

Kajian beliau turut disokong oleh pakar sosiologi keluarga membuktikan bahawa graf tertinggi sikap positif adalah terhasil daripada keluarga yang mana ahli keluarganya berhubungan baik, saling terikat dengan perasaan kasih sayang. Anak daripada keluarga sebegini lebih mendapat gred yang tinggi, mempunyai sikap yang baik, lebih ceria dan bagus dalam hubungan sosial. Mereka juga kurang terbabit dengan penyakit kejiwaan seperti kemurungan, kecewa keterlaluan dan sebagainya.

Apabila ayah dan ibu tidak lagi mempunyai rasa terikat dan saling ‘membuang’ salah satu seperti ayah meninggalkan ibunya kerana wanita lain, atau ibu meminta cerai kerana lelaki lain, atau anak diberitahu dia adalah anak zina dan sebagainya, Dr Fagan dapati, anak ini mempunyai kesamaan dalam urusan kejiwaan mereka.

Kekuatan dalaman anak ini tidak terbentuk dengan baik. Banyak perkara negatif memenuhi jiwa dan memberi kesan langsung dengan tumbesaran mereka. Mereka kecewa dengan hidup, murung, suka membuli, melakukan keganasan, gagal dalam akademik dan juga gagal dalam hidup. Anak ini juga mengalami tekanan emosi yang teruk, kesihatan badan tidak kuat, kemurungan, bimbang dengan hidup, bahkan lebih pendek jangka hayat mereka, ramai yang berhenti belajar awal, tidak berminat dengan ilmu dan kerjaya, sedikit yang berusaha ke menara gading, bahkan ramai yang menghisap dadah dan kaki arak. Mereka menjadi seumpama bunga yang tidak disiram, layu, kekeringan dan akhirnya mati kerana tanahnya kering kontang dan tidak dibaja.

Kaitan langsung apabila anak ini membesar dan membina rumah tangga pula, ramai yang menjadi pembuli, suka keganasan, berlaku ganas dan mendera pasangan dan anak, malas bekerja, tidak suka menerima tanggungjawab, suka keganasan seperti mencuri, memukul dan banyak lagi kesan negatif.
Apabila bilangan perceraian semakin bertambah dan anak mangsa cerai yang mengalami ‘tekanan kejiwaan’ bertambah ramai, mereka membesar dan berkahwin, mengulangi kesilapan ibu bapa mereka, maka masyarakat umum akan turut menerima kesan negatif daripada perkara itu.

Semakin banyak rumah tangga hancur, maka semakin banyak peruntukan kewangan dan program sosial yang perlu diadakan.

Kajian beliau walaupun membabitkan masyarakat di Amerika, tetap menjadi iktibar kepada kita di Malaysia terutama mengenai keutuhan ikatan kekeluargaan. Jika Malaysia ingin maju pada masa depan, blok terpenting yang perlu dijaga adalah keluarga dan anak-anak yang terhasil dalam keluarga berkenaan.

Kita perlu menanam dan menyuburkan rasa ‘keterikatan’ antara pasangan suami isteri sehingga perceraian dilihat sebagai jalan terakhir selepas semua usaha sudah gagal. Kepatuhan kepada agama, taat kepada Allah, memegang tanggungjawab sebagai pasangan dan ibu bapa kerana perintah agama perlu diterapkan. Apabila ibu dan ayah saling berkasih sayang, rasa ‘terikat’ sesama mereka, sering berdekatan dan saling sokong menyokong atas nama Allah, semakin kuat blok kekeluargaan kita dan semakin kurang masalah yang timbul ke atas anak-anak.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan sedang melanjutkan pengajian di Australia