Tuesday, September 4, 2007

Lama Tak sempat Masuk Blog ni

Lama Betul Tak Sempat Upload Blog Sendiri

Hari ni 4 September, dah dekat 2 bulan tak sempat masuk dan isi apa-apa dalam blog sendiri. Sibuk betul.. Hari ni aku nak masukkan artikel lama tulisan aku yang keluar dalam surat khabar... Banyak benda nak ditulis tapi tak sempat.. Nantilah yer..
Ini artikel yang kuar dalam Metro bulan Jun dulu.. tarikhnya dah tak ingat dah...


Ibu sebagai institusi pendidikan

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

ANAK adalah kurnia Allah s.w.t. yang sangat besar ertinya bagi setiap pasangan suami isteri. Apatah lagi bagi mereka yang baru memulakan hidup berumah tangga, kelahiran cahaya mata memang ditunggu-tunggu sebagai lambang kasih sayang.

Setiap ibu dan ayah juga sering mengharapkan anak yang dilahirkan sihat, comel, baik perangainya, mendengar kata dan dapat menjadi penyejuk mata dan penenang jiwa.

Kebiasaannya, apabila mendapat anak, kehidupan seorang ibu akan mengalami perubahan besar. Perhatiannya akan tertumpu kepada anak hingga ada ibu berkata, “Sejak mempunyai anak, saya tidak ada masa untuk diri sendiri. Segala perhatian adalah untuk anak.

“Ketika dia tidur, saya bimbang dia terbangun, digigit nyamuk, tak mahu dia kesejukan, sakit atau lapar. Saya terjaga beberapa kali untuk melihat keadaannya.”

Apabila anak sakit, ibu selalunya orang yang paling susah hati dan sanggup bersengkang mata, tidak tidur malam, tidak rehat menguruskan urusan rumah tangga dan berusaha untuk memastikan semua tersusun baik.

Anak pula sifatnya ‘rapuh’ dan tidak boleh mengurus diri sendiri. Mereka umpama kain putih dan sangat senang dipengaruhi. Sabda Rasulullah s.a.w: ‘Setiap anak dilahirkan atas fitrah (kesucian agama yang sesuai dengan naluri), hingga lancar lidahnya, kedua-dua orang tuanya yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.’ (Riwayat Tabrani dan Bayhaqi).

Bagi setiap anak, ibu bapa adalah orang terdekat dalam kehidupan mereka. Apa yang diberi ibu bapa itulah yang mereka terima.

Tingkah laku dan tutur kata ibu bapa sama ada yang baik atau yang buruk adalah model dan ikutan mereka.

Dalam buku tulisan Glen Doman ada dicatatkan bagaimana Barat melihat peranan ibu dalam membina generasi baru hingga Napoleon Bonarparte dikatakan pernah mengungkapkan: ‘Biarlah negeri Perancis memiliki ibu yang baik, pastinya kita akan memiliki anak muda yang handal.’ Charles Simmon pula ada menyebut, ‘Sekiranya anda mahu membersihkan dunia daripada dosa dan noda, bermulalah dengan bantuan ibu.’

Ini menunjukkan mereka juga percaya ibu dan pendidikan daripada ibu kepada anak akan memberi kesan besar dan membentuk keperibadiannya.

Anak yang dididik dengan baik akan menjadi input berguna untuk membantunya membina kehidupan masa depan. Anak yang didedahkan dalam suasana Islam dan sentiasa menerima pendidikan Islam pasti lebih mudah tertanam di jiwanya kecintaan kepada agama.

Kajian menunjukkan seorang anak yang pemarah suka merosakkan barang, apabila marah suka melakukan penderaan kepada orang lain, menggunakan bahasa kesat dan tidak sopan, selalunya dipengaruhi cara dia dilayan di rumah dan melihat pergaulan ibu bapa dan adik beradik mereka.

Ibu dan ayah pembantu kepada perkembangan kejayaan anak. Untuk melakukan peranan itu, mereka perlu menyediakan diri dengan ilmu keibubapaan, termasuk pendekatan dalam mendidik, berusaha menahan marah, bersifat pemaaf, sabar dan berhati-hati dalam tindakan.

Selain itu, mereka perlu berusaha memahami anak dan sikap anak, membina jati diri dan nilai mulia dalam diri anak sejak kecil, bercakap dengan bahasa dan nada yang baik, memberi nasihat dengan berhikmah, menghiasi rumah dengan ilmu dan budaya membaca, menonton siaran yang baik dan membeli bahan bacaan yang bermanfaat agar suasana yang baik akan mempengaruhi jiwa dan hati anak.

Pesanan Rasulullah s.a.w. mengenai kegagalan ibu bapa dalam memberi pendidikan hendaklah selalu diingati, ‘Bukanlah musuhmu itu orang yang apabila engkau bunuh dia, bererti kamu menjadi menang dan kalau kamu mati terbunuh, kamu akan masuk syurga. Tetapi musuh mu itu terkadang adalah anak yang lahir daripada tulang rusukmu sendiri. Kemudian musuh mu yang paling berat ialah harta benda yang kamu miliki.’ (Riwayat Tabrani)

Justeru, ibu bapa harus melihat tugas mendidik anak sebagai tugasan mulia dan berterusan serta tidak melakukannya secara sambil lewa.

Selepas usaha keras mendidik mereka, berserahlah kepada Allah s.w.t. agar anak yang ditinggalkan nanti menjadi soleh dan tidak menjadi beban kepada ibu bapa, masyarakat dan negara.

Ibu dan ayah juga tidak pernah menghitung berapa jumlah wang ringgit yang mereka belanjakan untuk membesarkan anak.

Mereka tidak berkira berapa banyak kudrat dan tenaga yang dicurahkan untuk membesarkan anak. Mereka juga tidak pernah meminta anak membayar balik segala perbelanjaan yang digunakan. Cukuplah bagi setiap ibu dan ayah kalau anak menghargai, menghormati dan mengasihi mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).