Saturday, July 14, 2007

Siar Berita Harian 12 Julai 07

Hak Muslim: Sedia dokumen elak permohonan cerai tertangguh


SOALAN;
SAYA dan isteri sudah bersetuju untuk bercerai. Secara logik dan tulusnya, tiada sesi kaunseling lagi diperlukan. Malah, keputusan kami diperoleh dalam keadaan sedar menerusi perbincangan dari hati ke hati dan selepas meneliti segala fakta permasalahan. Namun, kami masih kabur dari segi prosedur proses perceraian. Di harap pihak tuan dapat membantu. Apakah bentuk tuntutan perceraian yang sesuai, adakah khuluk atau fasakh

Suami nekad,
Selangor.

JAWAPAN:

Pertama, kita perlu lihat kedudukan perceraian dulu. Walaupun perceraian adalah suatu yang amat dibenci Allah, namun sekiranya perkahwinan itu tidak lagi dapat melahirkan suasana mawaddah dan rahmah dalam kehidupan pasangan, maka perceraian jalan keluar disediakan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “…… dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah al- Ahzab, ayat 49)

Kedua, mengenai apakah kaedah perceraian bersesuaian. Pada pandangan saya, permohonan perceraian khuluk (tebus talak) atau fasakh tidak sesuai dimohon dalam keadaan kedua belah pihak bersetuju untuk bercerai secara baik .

Perceraian khuluk bermaksud perceraian yang berlaku dengan tebusan dibayar isteri kepada suami berdasarkan kadar dipersetujui, manakala fasakh pula adalah perceraian yang berlaku disebabkan kecacatan pada salah satu pihak atau atas sebab tertentu misalnya suami tidak membayar nafkah kepada isteri atau suami menganiaya isteri.

Ketiga, ke mana perlu diketengahkan permohonan itu? Apabila kedua belah pihak bersetuju untuk bercerai, maka prosedur sesuai diikuti adalah permohonan bercerai atas persetujuan bersama. Jika di Selangor, permohonan boleh dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sesi kaunseling di Pejabat Agama sememangnya tidak diwajibkan untuk dihadiri pasangan yang pada dasarnya sudah mempunyai kata sepakat untuk bercerai. Apa yang perlu dilakukan, salah satu pihak sama ada suami atau isteri boleh membuat permohonan untuk bercerai di mahkamah rendah syariah berdekatan dengan alamat tempat tinggal. Borang permohonan perceraian boleh diperoleh di mana-mana mahkamah rendah syariah.

Dokumen yang perlu dibawa bersama-sama adalah:


Salinan kad pengenalan (tiga salinan)


Sijil nikah (tiga salinan)


Sijil kelahiran anak (tiga salinan).

Pihak pemohon juga akan dikehendaki membuat Surat Akuan yang antara lain mengatakan mengenai maklumat pernikahan dan maklumat peribadi seperti alamat surat-menyurat, tempat bernikah, wali, pekerjaan, anak hasil perkahwinan dan maklumat lain berkaitan pernikahan. Surat Akuan itu hendaklah diikrarkan di hadapan Pendaftar Mahkamah atau Pesuruhjaya Sumpah Islam.

Jika kedua belah pihak, isteri dan suami sudah mempunyai kata sepakat mengenai nafkah edah, mutaah dan nafkah anak hasil perkahwinan iaitu ia adalah masih bidang kuasa mahkamah Rendah Syariah iaitu jika persetujuan itu tidak melebihi RM100,000, maka persetujuan itu boleh dinyatakan dalam borang permohonan perceraian supaya boleh di rekodkan di mahkamah dan seterusnya mahkamah boleh mengeluarkan perintah berdasarkan persetujuan kedua belah pihak.

Walau bagaimanapun jika tiada persetujuan dicapai merujuk kepada isu di atas, maka mahkamah hanya akan memutuskan permohonan cerai yang dimohon oleh kedua-dua pihak.

Pemohon akan diberi tarikh sebutan pertama dalam masa 21 hari daripada tarikh permohonan perceraian difailkan dan pada tarikh sebutan pertama itu, jika mahkamah berpuas hati tiada peluang untuk kedua-dua pihak bersama semula dan atas persetujuan kedua belah pihak untuk bercerai, maka mahkamah boleh membenarkan suami melafazkan cerai pada tarikh berkenaan di hadapan mahkamah.

Kebenaran mahkamah itu dengan syarat isteri mesti berada dalam keadaan suci. Jika tidak satu tarikh sebutan lain akan diberikan iaitu ketika isteri berada dalam keadaan suci bagi membolehkan suami melafazkan talak di hadapan mahkamah.

Kedua belah pihak akan memperoleh surat cerai, selepas tamat tempoh edah isteri iaitu dengan membawa surat keputusan atau perintah perceraian daripada mahkamah ke pejabat agama Islam yang berdekatan dengan tempat tinggal untuk mendapatkan surat cerai.

Perlu diingat bahawa sesuatu lafaz cerai yang ingin dilafazkan mestilah dengan kebenaran mahkamah syariah dan di hadapan mahkamah. Jika berlaku lafaz cerai di luar mahkamah dan bukan dengan kebenaran mahkamah, maka ia bersalahan dengan peruntukkan undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Saya menasihatkan pihak yang datang ke mahkamah supaya memahami dan mengetahui apa yang ingin dimohon di mahkamah bagi mengelakkan kes tertangguh. Segala dokumen yang difailkan di mahkamah hendaklah dibawa bersama bagi memudahkan kedua belah pihak membuat rujukan jika ditanya mahkamah.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com