Wednesday, September 5, 2007

Tulisan Terbaru

Hari ini 5 September, tulisanku tersiar dalam Berita HArian untuk slot PGSM. Ada yang tak minat aku tulis pasal Hakim Wanita di Mahkamah Syariah tapi I think my stand is in line with Syariah.. Orang lain tak setuju itu tidak membebankan fikiran ku...biarler mereka...


Peguam Syarie Menulis: Peranan wanita tak wajar dipinggir
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim



Kedudukan dalam pembangunan kini diiktiraf, usaha perkasa perlu berlandas agama


PADA 25 Ogos lalu, Malaysia menyambut Hari Wanita dengan satu tema besar iaitu ‘Wanita Nadi Negara’. Ini menunjukkan kedudukan kaum hawa sudah diiktiraf, diberi penghormatan dan dianggap penting dalam mempengaruhi perkembangan serta kesejahteraan masyarakat dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengakui bahawa peranan wanita dalam pembangunan negara bukan sesuatu yang boleh dipinggirkan. Perkembangan hari ini menyaksikan perubahan peranan wanita yang sangat hebat.

Jika dulu majoriti golongan wanita adalah suri rumah menguruskan rumah tangga dan anak, tetapi hari ini rata-rata wanita bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri. Berdasarkan laporan Jabatan Statistik Negara, pada 2002, kira-kira 3.4 juta pekerja di negara ini adalah wanita dan jumlah itu bertambah kepada 3.7 juta pada 2006. Ini satu jumlah yang sangat memberangsangkan.

Rentetan kepada pencapaian wanita dekad ini, pada 1 dan 2 September baru-baru ini diadakan Persidangan Antarabangsa, ‘Muslim Women in The Midst Of Change’ anjuran Muslim Profesional Forum dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 300 peserta Islam dan bukan Islam, dari beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Mesir, Amerika Syarikat, Australia, Kenya, Jepun, Jerman dan Bangladesh.

Pensyarah Universiti Kaherah, Dr Heba Raouf, pada pembentangannya kerap menekankan wanita tidak boleh berdiam diri daripada turut terbabit dalam semua usaha membangunkan masyarakat. Usaha membina dan memperkasakan wanita perlu berpijak kepada dasar agama dan tidak sekadar membawa agenda feminisme seperti diperjuangkan wanita barat.

Beliau juga berjaya membawa analogi sangat baik bagaimana perbezaan pembawaan diri wanita Madinah yang suka bertanya dan menuntut ilmu, keberanian dan kesungguhan dalam berusaha banyak mempengaruhi perkembangan fiqh dan jawapan Rasulullah SAW ketika era Baginda dulu.

Perbandingan itu wajar diterjemahkan dalam masyarakat kita yang melihat betapa hebatnya pencapaian serta ketinggian ilmu wanita hari ini. Bagaimana harus semua kelebihan yang ada pada wanita ini digemblengkan supaya dapat membawa kebaikan dan kecemerlangan kepada agama dan masyarakat. Nasihat dan cabaran itu wajar diambil perhatian semua pihak.

Persidangan itu juga menyaksikan perbincangan hangat berkenaan ketiadaan hakim wanita di mahkamah syariah di Malaysia sedangkan semua jabatan lain sudah dipegang dan diamanahkan kepada golongan wanita.

Fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 6 April 2006 bahawa harus hukumnya bagi seorang wanita dilantik menjadi hakim diketengahkan. Begitu juga fatwa Dr Yusuf al-Qaradhawi (1993) adalah berkaitan apabila beliau menyebut tiada satu nas secara jelas melarang wanita menjadi hakim.

Beliau menyarankan, penting untuk ulama hari ini menilai perbezaan kepada pencapaian manusia, sama ada berkait dengan perubahan masa, perkembangan sosial atau kerana keperluan semasa dalam memutuskan perkara ini.

Beliau juga menyebut pandangan ulama terdahulu yang melarang pelantikan hakim wanita perlu dipertimbangkan kembali, dikaji semula kerana ia mungkin bersesuaian pada waktu pandangan mereka diutarakan. Bahkan tambah beliau, kegagalan menilai perkara ini boleh membawa maksud kegagalan kita meletakkan Islam di tempat sepatutnya.

Persidangan itu turut menyentuh peruntukan yang ada dalam resolusi Konvensyen Menghapuskan Semua Jenis Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ada beberapa peruntukan berlawanan dengan syariah seperti kesamaan pelantikan antara gender sebagai ketua agama, ketua ibadat serta peranan dan tanggungjawab dalam rumah tangga menyebabkan negara tidak memberi persetujuan menerima pakai hasil konvensyen itu.

Perbincangan dalam kumpulan turut mengupas bagaimana wanita bekerjaya membabitkan diri dengan usaha membangun masyarakat dapat mengimbangi semua tuntutan hidup dengan seimbang. Walau bagaimana tinggi dan besar pangkat seseorang wanita, pada masa sama beliau juga mempunyai peranan lain yang perlu diberi perhatian iaitu sebagai anak, isteri, ibu dan ahli masyarakat.

Pada akhir persidangan, beberapa resolusi diketengahkan dan diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail. Antara resolusi yang diputuskan adalah:


Menuntut supaya kedudukan wanita yang berkaliber dan berilmu diiktiraf dan dilantik sebagai hakim syarie di mahkamah syariah bersesuaian dengan Fatwa Majlis Kebangsaan.


Menuntut supaya mahkamah syariah dimartabatkan dalam segala segi terutama membabitkan skim kerja, gaji dan kebajikan Hakim Syarie termasuk juga infrastruktur mahkamah syariah. Bilangan hakim syarie perlu ditambah untuk menangani kes tertangguh yang boleh memberi kesan secara langsung kepada wanita sebagai pihak memerlukan keadilan di mahkamah.


Sebagai langkah menjaga kredibiliti dan disiplin peguam syarie terbabit di mahkamah bagi membantu anak guam tanpa takut dan berpihak, Akta Profesion Guaman Syarie perlu digubal dengan kadar segera demi keadilan semua pihak.


Wanita berilmu dan berkelayakan perlu terbabit dengan lebih serius dan bilangan mereka wajar ditambah dalam Jawatankuasa Majlis Agama termasuk di negeri. .


Pihak berwajib wajar memperkenalkan mata pelajaran Sosial Famili pada peringkat sekolah menengah dan universiti sebagai langkah mendidik generasi muda menghargai perkahwinan, tidak melakukan keganasan kepada wanita serta menghayati peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai langkah mengelakkan keruntuhan institusi keluarga pada masa depan.

Persidangan itu boleh dianggap berjaya dalam mengumpulkan tenaga pakar, pekerja amal dan semua yang prihatin bagi mengupas isu terkini kedudukan wanita Islam di tengah perubahan zaman. Tahniah diucapkan kepada penganjur dan semoga wanita negara ini akan sentiasa ingat bahawa kita adalah nadi negara.

Namun, jangan kita lupa kaum hawa juga adalah nadi keluarga yang teramat tinggi dan mulia kedudukannya. Marilah kita mengisi kedua-dua tugasan ini dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan semua.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com