Saturday, July 14, 2007

Siar Berita Harian 11 Julai 07

Peguam Syarie Menulis:

Agensi Sokongan Keluarga selesai soal nafkah
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim


MAHKAMAH syariah membuat keputusan bahawa Zetty berjaya mendapat hak penjagaan tiga anaknya. Mahkamah memerintahkan suaminya, Fendi membayar nafkah anak sebanyak RM500 sebulan. Namun begitu, Fendi hanya menyempurnakan bayaran nafkah selama enam bulan pertama. Selepas tempoh itu, Fendi cuai mematuhi perintah nafkah berkenaan dan dia juga tidak dapat dihubungi kerana sudah berhenti kerja serta bertukar alamat.

Zetty menghadapi masalah kewangan untuk menanggung nafkah anak mereka, tetapi dia tidak tahu apakah tindakan seharusnya dilakukan.

Bukan sedikit wanita menghadapi masalah seperti ini. Bahkan, ramai menyalahkan mahkamah kerana dianggap tidak melaksanakan perintah untuk mereka. Sebenarnya undang-undang memperuntukkan beberapa kaedah bagi melaksanakan sesuatu perintah yang sudah diputuskan. Namun begitu, bagi orang awam, tatacara yang bersifat teknikal kurang difahami sehinggakan ia memberi kesan kepada hasil daripada penghakiman yang diperoleh sebelumnya.

Kegagalan menguatkuasakan dan mendapat hasil daripada penghakiman memang memberi kesan besar dan menimbulkan tekanan kepada pihak yang memenangi litigasi. Kerenah birokrasi juga kadangkala menghalang pelaksanaan perintah di mahkamah syariah kerana pihak terpaksa berurusan dengan pelbagai pihak.

Contohnya Zetty dalam kes di atas, perlu berurusan dengan beberapa pihak untuk menguatkuasakan perintah itu seperti majikan suaminya, pihak bank, pejabat tanah, polis, imigresen dan pihak lain yang relevan. Hal itu memeningkan lagi kepala pihak yang sudah menang dan dilihat menafikan hak mereka menikmati hasil litigasi di mahkamah.

Secara ringkasnya, untuk menguatkuasakan penghakiman, ada beberapa kaedah seperti saman penghutang penghakiman, penyitaan dan penjualan, prosiding hiwalah (garnishee), pemilikan dan penghantar serahan dan prosiding penghinaan mahkamah.

Jika pihak terbabit tahu mengenai tatacara di mahkamah, permasalahan ini boleh diatasi tetapi hakikatnya ramai yang pergi ke mahkamah syariah tidak tahu prosedur perlu dilakukan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Pada masa sama, kita tidak boleh membiarkan pihak yang teraniaya terutama anak menanggung kesengsaraan kerana kesukaran menguatkuasakan penghakiman. Kita perlu mencari jalan penyelesaian bagi membantu mereka, memudahkan urusan demi kebajikan mereka yang terbabit dalam kes sebegini.

Melihat kepada pengalaman di luar negara, ada beberapa usaha diambil bagi menangani kekusutan ini. Contohnya, Australia menubuhkan Jawatankuasa Sokongan Kanak-Kanak bertujuan menyediakan perkhidmatan untuk mendapatkan hak saraan dan nafkah bagi kanak-kanak.

Badan itu memberi perkhidmatan antara lain melaksanakan perintah saraan dan nafkah kanak-kanak yang diputuskan mahkamah. Jabatan Khidmat Sosial Louisiana pula memberi perkhidmatan antaranya mengesan di mana ibu bapa dan waris kanak-kanak, menguatkuasakan perintah dan membuat kutipan bagi pembayaran nafkah kanak-kanak.

Begitu juga di tempat lain seperti Agensi Sokongan Keluarga Dublin, Sistem Penguatkuasaan Sokongan yang ditubuhkan di Kanada, Agensi Penguatkuasaan Sokongan Kanak-kanak di Misouri. Usaha itu juga dilaksanakan di Jerman dan Maghribi dengan kewujudan badan dipanggil Jawatankuasa Sokongan Keluarga.

Melihat kepada hasil yang berjaya dicapai bagi memastikan kebajikan -anak terbela, Malaysia juga perlu mengikut langkah berkenaan. Dengan menubuhkan satu agensi atau badan khusus yang berperanan memastikan pelaksanaan perintah berjalan dengan teratur sebagaimana diperintahkan, kemungkinan banyak masalah dapat diatasi.

Apatah lagi, kita mempunyai kelebihan kerana adanya mahkamah syariah yang boleh memastikan semua tindakan berdasarkan kepada hukum syarak, manakala, daripada sudut dana kewangan bagi yang memerlukan, kita mempunyai Baitulmal yang dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Kedua-dua badan iaitu mahkamah syariah dan baitulmal boleh bergerak selari dengan perantaraan satu agensi lain yang mungkin boleh dinamakan Agensi Sokongan Keluarga (ASK). Usaha itu bertujuan memastikan kebajikan anak dibela termasuk kebajikan ibu tunggal bagi meneruskan kehidupan mereka dengan lebih bermakna.

Antara tugas yang boleh dimainkan ASK ialah:


-Membantu untuk mendapatkan perkhidmatan dan nasihat perundangan dalam hal berkaitan nafkah dan saraan kanak-kanak dan ibu tunggal;


-Melaksanakan tugas bailif di mahkamah dalam memastikan semua perintah mahkamah dipatuhi;


-Mengurus dan mentadbir bantuan yang diperoleh daripada baitulmal; jabatan agama Islam, kerajaan dan badan/orang persendirian;


-Menyelaras perintah mahkamah dengan bekerjasama dengan pihak berkenaan seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, imigresen, bank dan majikan;


-Melaksanakan perintah bersaling luar negara dan dalam negara;


-Menjejaki pihak yang gagal mematuhi perintah mahkamah dan tidak memberi nafkah;


-Mengawal selia pengurusan nafkah dan saraan;


-Menjadi badan pemegang amanah dalam kes di mana mahkamah memerintahkan perlu pemegang amanah dilantik; dan


-Menyediakan alternatif lain bagi menyelesaikan masalah saraan dan nafkah kanak-kanak dan ibu tunggal.

ASK yang dicadangkan ini wajar dilaksanakan pada peringkat kebangsaan dan bukannya peringkat negeri. Ini kerana dengan status kebangsaan, ia mampu menangani kerenah birokrasi dan masalah undang-undang serta prosedur yang berbeza antara negeri bagi umat Islam di Malaysia.

Bagi memastikan kejayaan ASK, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perlu disusun semula dengan cadangan penubuhan satu jawatankuasa baru di bawahnya untuk menangani penubuhan ASK ini.

Mungkin beberapa peruntukan undang-undang yang ada wajar dikaji seperti peruntukan undang-undang mengenai bailif bagi menjamin kelicinan perkhidmatan ASK. Latihan berterusan untuk memantapkan kakitangan ASK juga perlu dijalankan untuk memastikan mereka memahami tujuan penubuhan agensi itu di samping melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Sudah tiba masanya Malaysia mencedok pengalaman daripada luar bagi memastikan kebajikan umat Islam terjamin. Pengalaman negara luar ini sebenarnya baik dan bertepatan dengan konsep menjaga maslahah pihak berkeperluan serta tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.

Perkhidmatan ini juga wajar dipanjangkan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Semoga dengan adanya ASK, kebajikan pihak terbabit dapat dibela, sekali gus dapat menutup tohmahan buruk yang dilemparkan kepada mahkamah syariah berkenaan isu pelaksanaan perintah mahkamah syariah.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com