Friday, January 16, 2015

Membantu Mangsa Banjir

 Kenangan ditinggalkan.. hidup diteruskan..


 Kisah kenangan Melbourne saya tinggalkan dulu.. Hidup diteruskan untuk mencari pahala untuk kehidupan selepas mati.

Baru-baru imi banjir besar melanda negara. Kesian sungguh kita melihat kesan yang dihadapi oleh mangsa banjir. Semoga ALlah kurniakan bantuanNya dan memberi kesabaran yang kuat kepada semua mangsa..

Artikel di bawah saya tulis dan disiarkan dalam Berita Harian Khamis 8 Januari lepas.
Esok 17 Jan 2014, saya dan keluarga akan mengikut misi ke Jerantut membantu  membersihkan sekolah di sana. Hari ini saya berjaya mendapat sponsor dari kawan2 kakak ipar saya solehah untuk membeli satu water jet petrol berharga RM2500 untuk ke sana. Syukur Alhamdulillah rakan2 saya yang baik... Dalam 1 jam sahaja RM2500 dikumpulkan.. Semoga kami berjaya memberi sedikit bantuan kepada mangsa banjir..

-------------------------
Libatkan Keluarga Membantu Mangsa Banjir
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim

Negara kita menutup tirai tahun 2014 dengan pelbagai kisah sedih  dan ujian yang hebat melanda penduduk negara kita. Ini termasuklah banjir besar yang melanda beberapa buah negeri beberapa hari lepas.
 
Ujian besar ini  menyebabkan kerugian yang tidak mampu digambarkan. Dilaporkan ribuan rumah rosak, dihanyutkan dalam banjir besar ini. Ada rumah yang hanya tinggal tangga sahaja, dan tidak sedikit yang terus lenyap meninggalkan tapak sebagai sejarah. Ini tidak termasuk jumlah kenderaan yang rosak dan hilang dalam kejadian tersebut.

Kejadian banjir besar ini adalah satu tanda kebesaran pencipta yang berkuasa mutlak terhadap segala yang ada di alam ini. Ia membuka mata hati kita merenung penciptaan alam dan tunduk mengaku bahawa manusia tidak mampu melawan apa-apa bencana alam yang ditakdirkan berlaku ke atas kita. Namun kita tidak pula diminta hanya duduk berserah tetapi perlu berusaha mencari jalan terbaik menangani bencana alam yang menimpa.
 
Kejadian ini juga hakikatnya membuka mata kita semua  untuk melihat hikmahnya dari sudut yang berbeza. Apabila melihat ramai insan terlibat sebagai mangsa, ramai yang kehilangan tempat tinggal dan harta, tinggal sehelai sepinggang, ia memberi ruang untuk kita membantu dan memberi bantuan semampu yang terdaya.

Memberi kepada orang yang memerlukan adalah satu ajaran mulia dalam agama kita. Apatah lagi apabila kita mendapat tahu ada insan yang berada dalam situasi yang memerlukan bantuan, maka ketika itu adalah menjadi kewajipan kita untuk sama-sama membantu atas dasar simpati.

Membantu mangsa banjir ini juga boleh menjadi sebahagian dari cara merapatkan hubungan keluarga. Libatkan anak-anak dalam pengumpulan dana, mengumpul pakaian, makanan dan membungkusnya untuk mangsa banjir boleh menimbulkan sikap perihatin di hati mereka.
 
Media banyak melaporkan pelbagai pihak, termasuklah individu, badan-badan NGO, masjid dan surau yang perihatin telah menjalankan kutipan derma, mencari dana membeli pelbagai keperluan untuk membantu mangsa banjir.  Beberapa NGO seperti IKRAM, ABIM, masjid-masjid dan surau serta orang ramai menjalankan gerakan besar-besaran mendapatkan dana dan menghantar ke kawasan-kawasan yang terlibat. Ribuan ringgit yang dikutip menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jiwa murni mengasihani sesama insan. Ia adalah sikap yang terpuji dan patut diteruskan sepanjang masa.

Masa yang sama, kita seharusnya perlu memberi kata-kata semangat kepada mangsa banjir yang ditemui. Pujuk mereka dengan kata-kata positif supaya mereka lebih tabah menghadapi ujian, sabar atas kehilangan yang berlaku. Melalui kata-kata berhikmah dan positif, ia juga sebenarnya merupakan satu sedekah yang kita berikan.
 
Dalam menghadapi ujian getir termasuklah kehilangan harta, insan tersayang, kesakitan, bencana dan sebagainya, yakinlah Allah sedang menguji dan melihat respon hamba-hambaNya yang diuji. Segala ujian hebat ini memang akan menggoncang hati dan menimbulkan ketakutan dan rasa sedih yang mendalam.

Sesungguhnya ujian yang datang, walau bagaimana berat pun ia adalah ketentuan Allah untuk melihat bagaimana reaksi hamba-hambaNya, sama ada menjadi lebih dekat kepada Nya atau menjadi lebih jauh daripadaNya. Keimanan, keyakinan, tawakal dan kesabaran yang kuat sangat diperlukan dalam menghadapi ujian getir ini.

Orang yang menjadi jauh dari Allah akan menyalahkan Allah kerana mengujinya, memarahi takdir yang menimpa dan mengandai-andaikan pelbagai sangkaan buruk kepada Allah penciptanya. Sedangkan orang yang menjadi lebih dekat dengan Allah akan melihat musibah berlaku sebagai satu bukti kekuasaaan Allah sebagai pencipta yang telah memilihnya untuk diuji. Ia mungkin menjadi kifarat segala dosa-dosa dan kesalahannya dan akan menyebabkan dia mendapat ganjaran besar dan syurga Allah di akhirat kelak.
 
Oleh karena itu, dalam apa keadaan sekalipun, mangsa banjir sama ada kita atau orang lain hendaklah  senantiasa berbaik sangka kepada Allah. Dan haruslah yakin bahawa semuanya adalah ujian untuk menguji keimanan yang mereka miliki. Inilah yang dimaksudkan dalam firman  Allah yang bermaksud, “Apakah kalian mengira bahwa kalian akan masuk ke dalam syurga, sedangkan belum datang kepada kalian (ujian) sebagaimana yang berlaku kepada orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat.” (Al Baqarah : 214)


Justeru, kesabaran yang tinggi  dan bersangka baik kepada Allahlah yang menjadi nadi dalam kehidupan kita sebagai Muslim.