Saya ada menulis satu artikel mengenai pandangan saya mengenai kes Sweden, tapi BH tak dapat siarkan/taknak siarkan. Alasannya keras sangat. Saya pun tak tahu
Tapi sekadar pendapat saya, saya letakkan di sini...
Ketika ramai bercakap memihak kepada ibu bapa yang terlibat, saya melihat sebaliknya...
Saya berpendapat kanak-kanak adalah pihak yang segala perkara harus memihak kepada mereka.. kebaikan mereka adalah priority dalam semua perkara yang diperbahaskan..kecuali yang berlawanan dengan hukum agama.
____________________
Melaporkan kes melibatkan keluarga dan kanak-kanak
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Kes
pertelingkahan keluarga yang diketengahkan di mahkamah sering menjadi bahan
laporan di negara kita. Sama ada
melibatkan perceraian pasangan suami isteri, poligami, perebutan hak jagaan
anak, tuntutan harta sepencarian, tuntutan nafkah anak selepas cerai,
perbicaraan tuntutan fasakh dan pelbagai lagi.
Dari segi
ilmiah, kes yang diputuskan oleh mahkamah sebegini kerap dilaporkan di dalam
jurnal undang-undang sebagai rujukan hakim, peguam dan sesiapa yang berminat
mengetahuinya. Laporan tersebut sangat terperinci di mana semua fakta, nama penuh
pihak-pihak terlibat, nombor kad pengenalan, alamat, nama anak yang ada, umur
dan sekolah mereka belajar, bahan pembuktian, hujah peguam dan alasan
penghakiman ketika memutuskan kes tersebut akan
dilaporkan. Contohnya laporan kes yang disiarkan dalam jurnal terkenal seperti
Malayan Law Journal, Shariah Law Report, Jurnal Hukum dan sebagainya.
Masa yang sama,
kes-kes sebegini kerap juga dilaporkan di dalam media, termasuklah media cetak
dan siber. Ini sangat kerap berlaku dalam kes orang Islam yang dibicarakan di
mahkamah Syariah. Walaupun tidak bersifat ilmiah, laporan di media turut menceritakan
dengan terperinci nama pasangan yang terlibat, dan selalu melaporkan alamat dan
tempat kerja pihak yang bertikai. Bahkan, apabila melibatkan kanak-kanak pula,
selalu juga nama penuh kanak-kanak, umur dan sekolah mereka belajar disiarkan
dalam laporan. Kadang-kadang gambar
kanak-kanak terlibat diletakkan. Pengkisahan pula akan dilaporkan lebih terperinci apabila
melibatkan keluarga orang terkenal, ahli politik atau kes yang menarik
perhatian ramai. Justeru, tidak pelik apabila sesuatu kes orang terkenal dibawa
ke mahkamah Syariah, wartawan sudah menunggu untuk mengambil gambar dan
bertanyakan pelbagai soalan kepada peguam Syarie, pihak bertikai dan juga
kanak-kanak yang terlibat.
Ini termasuklah
juga kes yang hangat diperkatakan sekarang yang menarik perhatian seluruh
rakyat Malaysia, yang melibatkan pasangan Malaysia didakwa di Sweden atas
dakwaan penderaan ke atas empat orang
anak mereka. Walaupun ia bukanlah kes keluarga, dan bukan dibicarakan di mahkamah
di Malaysia, tetapi laporan kes tersebut disiarkan dengan begitu terperinci hampir
setiap hari dalam media kita. Bahkan, catatan perbicaraan perkataan demi
perkataan dilaporkan dengan menunjukkan pula reaksi kanak-kanak terlibat,
gambar serta tempat persekolahan mereka. Laporan dan ulasan sebegini sebenarnya
menggusarkan kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut berasa tidak
selamat, takut, menjadi bahan perhatian, dan kemungkinan menjadi bahan ejekan.
Ia membawa mesej besar tentang pendekatan negara kita terhadap penjagaan kebajikan
kanak-kanak sebagai orang berkepentingan dalam kes yang dilaporkan.
Saya ingin membandingkan
dengan perlaksanaan negara maju menjaga keselamatan keluarga yang bertikai,
kanak-kanak yang terlibat dan rahsia peribadi mereka. Untuk perbandingan, pada
bulan Mac 2010, satu kes diputuskan di Mahkamah Keluarga di Australia menjadi
tajuk utama akhbar. Ia melibatkan tuntutan seorang ibu meminta mahkamah
mengeluarkan perintah melarang bekas suaminya dari menyuruh atau menggalakkan
anak perempuan mereka berumur 6 tahun memanggil isteri barunya sebagai Mak (Mummy).
Kes ini menarik kerana ibu tersebut berhujah kasih anak kepadanya tergugat dengan
panggilan tersebut. Bahkan merendahkan
harga dirinya sebagai ibu kandung, menafikan peranannya sebagai ibu dan menyebabkan
ibu tiri dapat merampas kasih anak tersebut. Walaupun kisah ini menarik, akhbar
tidak menyebut langsung nama ibu bapa dan kanak-kanak tersebut.
Undang-undang di
Australia memperuntukkan dengan jelas mengenai larangan melaporkan dengan
terperinci nama mereka yang terlibat di media bahkan juga di jurnal-jurnal
undang-undang. Ini termasuk juga kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak. Terdapat
satu peruntukkan khusus mengenai perkara ini. Seksyen 121 Akta Undang-undang
Keluarga 1975, memperuntukan bahawa mana-mana orang yang menerbitkan dalam
surat khabar atau penerbitan berkala, dalam radio atau televisyen atau melalui
cara elektronik mana-mana bahagian prosiding yang mengenal pasti pihak kepada prosiding itu, orang yang
berkaitan, saksi dalam kes adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum,
apabila disabitkan dengan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun.
Mereka dengan
tegas menjaga kerahsiaan kes keluarga, apatah lagi melibatkan kanak-kanak
dengan meletakkan satu peruntukan bahawa seseorang dianggap melakukan kesalahan
dan boleh dihukum apabila melaporkan nama, gelaran, nama samaran, alamat premis di mana orang itu tinggal atau
kerja, pekerjaan mereka, apa-apa jawatan rasmi yang dipegang oleh orang itu, atau apa-apa yang menjadi butir-butir yang mencukupi untuk
mengenal pasti orang itu kepada orang awam.
Justeru itu,
semua laporan ilmiah di jurnal undang-undang mereka juga hanya dibenarkan melaporkan dengan nama pertama atau nama
keluarga berserta nombor kes seperti Whisler v Whisler (2010 42 Fam LR 633),
atau Smith v Smith , Allen v Green, tanpa melaporkan nama penuh pasangan. Ia penting untuk menjaga
nama baik pasangan terutama anak yang terbabit dalam kes dilaporkan. Nama anak
dalam setiap laporan kes juga hanya dibenarkan menggunakan huruf pertama
seperti, anak pertama bernama L (enam
tahun) dan anak kedua bernama M (dua tahun).
Undang-undang
New Zealand juga menyebut bahawa semua media tidak dibenarkan melaporkan
apa-apa butiran yang boleh menyebabkan pembaca dapat mengenal pasti siapa yang
terlibat dalam kes tersebut, termasuklah nama anak, nama ibu bapa, nama
penjaga, nama saksi dan sebagainya kecuali selepas mendapat kebenaran mahkamah.
Bahkan laporan di dalam jurnal juga tidak boleh menyebut nama penuh mereka, atas
alasan keperluan menjaga kerahsiaan urusan undang-undang keluarga.
Melihat kepada
perkembangan yang berlaku di negara kita di mana kes-kes melibatkan kanak-kanak
dan keluarga bertikai terutama di mahkamah Syariah sering menjadi sumber
laporan media, sudah sampai masanya bagi pihak berwajib mengambil tindakan
tegas dengan menggubal undang-undang khusus tentang sekatan penyiaran kes mahkamah.
Peraturan yang memberi garis panduan secara etika dan undang-undang berkenaan sejauhmana
perjalanan kes boleh dilaporkan oleh media, dan juga jurnal undang-undang wajar
digubal. Undang-undang perlu ada untuk menjaga kebajikan mereka yang bertikai,
terutama melibatkan kanak-kanak kerana penyiaran laporan tanpa sekatan boleh
memberi kesan besar kepada kepentingan, kejiwaan, keselamatan dan kerahsiaan urusan hidup mereka
yang terlibat.