Wednesday, January 22, 2014

Hak Kanak-kanak dalam Berita Harian

Hak Kanak-kanak 


 Saya berusaha untuk menulis dalam Berita Harian, berkongsi rasa dan sedikit ilmu yang Allah berikan. Terima kasih pada ALlah di atas rezekiNya yang sangat saya syukuri. Terima kasih juga kepada kawan saya yang merecommend saya dengan kata-kata yang baik kepada pihak Berita Harian... Alhamdulillah...

Saya plan dan  berhasrat untuk mengenengahkan isu kanak-kanak, kekeluargaan,undang-undang dan pendidikan dalam artikel yang akan keluar setiap hari Khamis di Berita Harian Ruangan Agama. Semoga ada manfaat.. ameen


Khamis Pertama 9 Jan 2014

Bersama mendidik kanak-kanak dengan pendekatan lembut dan kasih sayang
Oleh: Prof Madya Dr Nurhidayah Hashim
Sepanjang tahun 2013 ini, banyak laporan akhbar menyentuh mengenai pendekatan keras segelintir guru yang dilakukan ke atas anak didik mereka, sama ada di sekolah rendah, menengah, agama, termasuklah juga sekolah pondok tahfiz. Antaranya murid tahun dua didakwa ditampar sehingga pekak, murid tahun satu ditendang guru matematik, pelajar sekolah agama ditendang guru, dibaling kunci  oleh guru dan sebagainya. Antara ‘kesalahan’ mereka adalah tidak menyiapkan kerja rumah,  tidak menghafal sifir, tidak datang sekolah, datang lambat ke sekolah, berbuat bising dalam kelas, tidak menghafal ayat al-Quran,  tidak fokus kepada penerangan guru dalam kelas dan bergaduh dengan rakan-rakan. 

Dari satu segi, pendekatan keras yang diberikan kepada murid bertujuan supaya menjadi pengajaran,  menyedarkan murid tentang kesilapan mereka, dan membuatkan mereka berubah sikap kepada lebih baik. Apabila ditampar, atau dihukum berdiri atas kerusi kerana tidak membuat kerja rumah, diharapkan mereka akan  menjadi rajin menyiapkan kerja rumah. Dengan ditarik telinga kerana bising, diharapkan murid akan diam dan berubah sikap menjadi taat dan memberi tumpuan dalam kelas. 
Namun, daripada sudut lain, pendekatan sebegini menimbulkan banyak persoalan lain dan kesan sebaliknya. Apakah ‘kesalahan’ tidak membuat kerja rumah, datang lambat, tertinggal buku wajar dihukum sebegitu? Apatah lagi yang melakukannya adalah budak kecil darjah satu atau tiga? Apakah dengan pendekatan kasar begitu  dapat mengubah sikap kanak-kanak menjadi  prihatin, berminat mencari ilmu, membuat kerja rumah kerana cintakan ilmu dan tidak akan cuai menyelesaikan latihan yang diberikan? Atau ia sebenarnya membina rasa tidak yakin diri dalam diri kanak-kanak,  membina rasa takut kepada guru, dan tidak suka kepada subjek yang dipelajari dan kepada sekolah itu sendiri?


Mungkin pendekatan keras ini  berguna dalam keadaan tertentu, tapi hakikatnya ia tidaklah tepat dalam semua perkara. Apatah lagi kepada kanak-kanak kecil di sekolah rendah.  Ia juga tidak selari dengan pendekatan pendidikan umum yang Nabi tunjukkan. Pendekatan Nabi adalah indah, cantik, lembut, bertimbang rasa, memuji, mengajar dengan perlahan, sedikit demi sedikit, tidak mendesak sehingga memaksa seseorang memahami sesuatu sebelum masanya, menanam rasa cinta kepada ilmu, kurang mengherdik dan banyak memuji. Pendekatan keras hanya datang sebagai alternatif terakhir kepada kesalahan yang berat yang melayakkan hukuman sebegitu, apabila keadaan sangat memerlukan.

Ini dapat dilihat contohnya dalam hadith, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun…” (Riwayat Abu Daud). Sebelum sampai kepada umur tujuh tahun lagi, ibu bapa sebenarnya sudah diminta menunjuk ajar, memujuk, mengajak anak mereka mengerjakan solat bersama dan memuji apabila mereka melakukannya dengan baik. Apabila mereka dididik dengan lembut dengan ajakan membina, diberi galakan dan pujian dari kecil sehingga berumur tujuh tahun, mereka akan berada dalam situasi di mana mengerjakan solat adalah sebahagian dari cara hidup mereka.  Apabila sudah sebati dalam diri mereka rasa cinta melakukan solat kerana faham kenapa dan apa yang mereka perolehi melalui solat, maka pendekatan keras seperti tengkingan dan pukulan tidak perlu digunakan. 

Sekiranya selepas berumur 10 tahun, mereka meninggalkan solat dengan sengaja, atau enggan mengerjakan solat selepas dididik, maka barulah rotan hadir sebagai alat terakhir dalam mendidik. Itupun bukan untuk mencederakan tetapi memberi pengajaran. Ia juga menunjukkan bahawa ‘menghukum’ kanak-kanak dengan rotan, atau pukulan hanyalah  kepada kesalahan yang dianggap ‘berat’ sewajarnya dan tidak dilakukan kepada kanak-kanak kecil sebelum umur 10 tahun. Bahkan pukulan tidak boleh dibuat di tempat yang sensitif seperti muka. Ia sekaligus menegur bahawa guru yang menampar anak murid adalah bercanggah dengan sunnah secara total.

Contoh pendekatan lembut Nabi turut ditunjukkan apabila cucu Baginda memakan buah kurma yang diserahkan kepada Nabi sebagai hasil zakat. Rasulullah tidak menggunakan kekerasan tetapi mengambil balik kurma dari dalam mulut cucu Baginda dan menyebut dengan lembut; “Tidakkah kamu tahu bahawa kita tidak boleh memakan barang zakat?” (Riwayat Bukhari Muslim). Nabi turut menjelaskan kenapa ia dilarang secara ringkas untuk cucunya yang masih kecil tersebut. Nabi tidak memukul cucunya atas kesalahan tersebut. Ini menunjukkan ‘kasih sayang’ adalah asas kepada tugasan sebagai guru dan membetulkan kesilapan anak murid juga hendaklah dilakukan dengan kasih sayang. 

Jika sesuatu larangan dikenakan kepada mereka, ia juga perlu diberi rationalnya supaya larangan bukan semborono tanpa alasan. Rasional larangan wajar diberitahu mengikut  tahap kemampuan berfikir kanak-kanak. 
Ketika menyebut mengenai pendekatan keras suami dalam melayani dan mendidik isteri dan anak-anak, Nabi menyebut, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya. Dan aku adalah seorang yang paling baik dengan keluargaku” (Riwayat al-Tirmizi). Nasihat Nabi ini menunjukkan bahawa pendekatan berlembut, positif dan membina adalah pendekatan pilihan, dan pendekatan keras adalah alternatif terakhir sekiranya keadaan sangat memerlukan. 

Sekiranya dengan ahli keluarga kita diminta bercakap dengan lembut, mendekati dan membetulkan mereka dengan pendekatan berhikmah, positif dan kasih sayang, maka begitulah juga dengan orang lain, termasuklah murid yang berada di bawah tanggungjawab kita untuk mendidik mereka.

Ilmu yang ingin diajar kepada murid-murid juga seumpama barang berharga yang ingin ditawarkan kepada mereka. Bagaimana mungkin pengguna suka menerima sesuatu jika ditawarkan dengan kasar, penuh kemarahan dan tiada kasih sayang. Atas dasar itu, ia boleh dikaitkan dengan nasihat Allah yang menyuruh kita menawarkan dakwah kepada orang ramai dengan hikmah dan perbincangan yang baik (al-Nahl:125). 

Apatah lagi, kita perlu menerima hakikat bahawa zaman kita sebelum ini adalah berbeza dengan zaman kanak-kanak hari ini. Cabaran yang kanak-kanak lalui hari ini, dengan konsep dunia terbuka, media sosial dan cara hidup berbeza  memerlukan guru-guru mencari pendekatan pendidikan yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

Apabila cabaran dunia berubah, kemampuan menggali ilmu sudah berbeza dan ujian yang mereka lalui dalam hidup sangat kompleks, maka proses dan pendekatan pendidikan juga perlu mengambil maklum dan dibuat penambahbaikan sentiasa. Seperti kata-kata Umar al-Khattab yang antara lain bermaksud, “Ajarilah anak-anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi zaman kamu.”

Justeru, wajarlah pendekatan pendidikan para guru ditambah baik. Mengambil tindakan memperelokkan apa-apa yang menjadi amalan kehidupan turut digalakkan oleh agama yang menyuruh kita berusaha ke arah menjadi lebih baik hari demi hari.