Thursday, January 23, 2014

Apakah Erti Sebenar Hak Kanak-kanak

Alhamdulillah, artikel mengenai Hak Kanak-kanak dan saya kaitkan dengan apa yang berlaku dalam kes di Sweden yang saya tulis telah diterbitkan pada hari ini.  Perkataan Bahasa Inggeris telah diterjemahkan ke BM oleh Editor terlibat. Berita Harian 23 Januari 2014 (Khamis-Ruangan Agama page 32). Semoga ada manfaat.. ameen



Kisah Pasangan di  Sweden dan isu hak kanak-kanak.
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Masyarakat kita dikejutkan dengan kes sepasang suami isteri warga Malaysia ditahan reman di Sweden kerana memukul anak mereka atas alasan tidak mengerjakan sembahyang. Dikatakan anak tersebut menceritakan kepada gurunya, kemudiannya membuat laporan kepada pihak berwajib. 

Tindakan undang-undang sangat tegas di sana menyebabkan ibu bapa ditahan dan anak-anak diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat. Pihak Kementerian Luar Negara turut campur tangan dalam kes ini. Kita semua menunggu dengan debar dan doa bagaimana kes ini akan berakhir kelak.
Dari satu sudut, kes ini telah membuka mata banyak pihak mengenai isu hak kanak-kanak. Apakah dasar yang menjadi pegangan negara-negara maju seperti Sweden, Australia dan lain-lain sehingga banyak pendekatan sistem mereka berbeza dengan beberapa negara lain, terutama dengan negara sedang membangun. 
Apa yang wujud hari ini sudah pasti bermula dari zaman sebelumnya. Apakah kanak-kanak ada hak, dan jika ada, apakah hak mereka mula dibincangkan di kalangan sarjana barat beberapa kurun terdahulu. Terdapat dua aliran pendapat bertentangan. Pihak pertama mengatakan kanak-kanak tidak mempunyai sebarang hak. Mereka tidak berkemampuan membuat pilihan dan melaksanakan hak. 

Mereka dianggap hak milik mutlak ibu bapa atau penjaga, boleh diperlakukan mengikut sekehendak ibu bapa dan penjaga, termasuklah dipukul, dikurung, disuruh bekerja mencari rezeki dan sebagainya. Oleh kerana kanak-kanak dianggap tidak mempunyai sebarang hak, maka mereka tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantah.  
Manakala pendapat kedua mengatakan kanak-kanak mempunyai hak seperti mana orang dewasa. Mereka mesti dilayan seperti orang dewasa yang berhak melakukan apa yang mereka ingini dalam hidup. Tidak boleh dipaksa melakukan perkara yang mereka tidak sukai, tidak boleh dipukul seperti hamba, tidak boleh didera, dan kebajikan mereka dalam hidup mesti dijaga oleh semua pihak. 
Usaha menjaga hak kanak-kanak bergerak lebih serius pada awal kurun 20an. Pada tahun 1924, lahir Declaration of Geneva yang menyebut bahawa semua lelaki dan wanita bertanggungjawab memberi yang terbaik kepada kanak-kanak, antaranya mereka mesti dipelihara dan dijaga keperluan mereka untuk membangun dari segi material dan spiritual. 
Usaha lebih serius diteruskan pada tahun 1959 apabila Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menerima Declaration on the Rights of the Child 1959 yang meletakkan 10 prinsip dalam mengiktiraf hak kanak-kanak. Ini termasuklah hak mendapat jagaan yang baik, hak menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak (childhood) yang sesuai dan gembira, mendapat perlindungan yang baik sehingga semua unsur fizikal, mental, moral, rohani dan sosial mereka dapat terbangun dengan baik.

Jane Fortin dalam bukunya Children's Rights and the Developing Law (2009) menyatakan usaha bersungguh-sungguh telah diteruskan lagi diawal tahun 1970an untuk mendesak negara-negara bagi menjaga kebajikan kanak-kanak dalam negara masing-masing. Pada ketika itu banyak isu melibatkan pencabulan hak kanak-kanak diketengahkan, termasuklah kebajikan kanak-kanak tanpa ibu bapa yang menjadi mangsa perang, kanak-kanak dipaksa menjadi buruh dan dibayar gaji sangat sedikit, dan juga  isu hukuman ‘keras’ terhadap kanak-kanak seperti dirotan di khalayak ramai, didera dan sebagainya sama ada oleh ibu bapa atau pun pihak sekolah. 

Usaha tersebut dianggap mencapai kejayaan dengan lahirnya United Nations Convention on the Rights of the Child (UNCRC) pada tahun 1989 yang diangkat sebagai dokumen antarabangsa yang mempunyai nilai perundangan dalam menjaga hak kanak-kanak. UNCRC ditandangani oleh paling banyak negara dunia, termasuklah negara kita Malaysia (dengan beberapa reservasi terhadap beberapa peruntukan yang dianggap berlawanan dengan Syariah). 

UNCRC inilah yang menjadi penggerak kepada perubahan di banyak negara maju dalam menangani isu kanak-kanak. Prinsip besar adalah Perkara 3 yang memperuntukkan bahawa negara, bukan sahaja mesti melindungi kanak-kanak dalam memastikan hak mereka untuk menjalani kehidupan terjaga, tetapi mesti mengambil apa sahaja tindakan untuk memastikan kebajikan kanak-kanak terbela dalam semua keadaan. Ia menyebut, “Dalam semua keadaan yang melibatkan kanak-kanak, sama ada diambil di bawah institusi kebajikan kerajaan, swasta, mahkamah, jabatan pentadbiran; kebajikan kanak-kanak adalah perkara asas yang mesti dipertimbangkan ( the best interest of the child shall be a primary concern.)

Istilah ‘for the best interests of the child’ ini menjadi dasar pula kepada wujudnya beberapa undang-undang dan polisi yang melindungi kebajikan kanak-kanak . Ini termasuklah tidak membenarkan kanak-kanak dirotan dan didera oleh pihak keluarga dan juga sekolah, tidak boleh dipaksa bekerja mencari rezeki, tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan merbahaya, dianiaya dan tertekan. Pelakunya dianggap melakukan kesalahan jenayah dan berhak dihukum. 

Kanak-kanak berhak untuk melalui zaman kanak-kanak yang aktif dan ceria, diberi hak bermain, menerima nafkah dan menerima pendidikan. Kebajikan kanak-kanak mesti menjadi dasar bagi kerajaan dan semua pihak dalam memutuskan sesuatu tindakan yang melibatkan mereka. Apabila didapati ada kanak-kanak berada dalam bahaya, atau dalam lingkungan ibu bapa pendera, dan mereka teraniaya kerana tidak dapat menyelamatkan diri sendiri, maka kerajaan mempunyai  tanggungjawab menyelamatkan kanak-tersebut. Mereka yang mengetahui wujudnya penderaan atau salah laku terhadap kanak-kanak juga wajib melaporkan kepada pihak berwajib demi kebajikan kanak-kanak yang terlibat.

Sebahagian ilmuan barat khuatir dengan istilah ini kerana ia terlalu besar maknanya dan boleh terbuka kepada pelbagai pendekatan dan salah tanggap. ‘For the best interest of the child’ sangat sukar dinilai kerana tiada kayu ukur untuknya dan mempunyai lompong besar yang terbuka kepada nilaian berbeza mengikut negara.  Inilah yang terjadi dalam undang-undang yang melibatkan pasangan tersebut di Sweden.  

Apa yang kita ingin nilai adalah bagaimana Islam menilai isu sebegini? Apakah kanak-kanak mempunyai kedudukan besar dalam Islam, dan bagaimana kedudukan hak kanak-kanak ini dalam masyarakat kita. Apakah prinsip ‘for the best interests of the child’  ini berlawanan dengan Islam?