Friday, January 24, 2014

Dera, Berlawanan dengan Agama, Moral

Dera anak tiri..

Artikel disiarkan dalam Berita Harian 13 Jan 2014..

Dera bertentangan dengan agama, moral 
Oleh Prof Madya Dr Nurhidayah Hashim

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita penderaan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang  didera oleh ibu tirinya di Kajang. Kanak-kanak malang tersebut disumbat cili di dalam mulut dan juga kemaluannya. Beliau juga diikat di kerusi oleh siibu tiri tersebut.   

Tidak terbayang di hati kita betapa sakit penderitaan dialami kanak-kanak malang tersebut dan betapa tegarnya ibu tiri melakukan perkara tersebut.

Begitu juga pada hujung 2011 dahulu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki 6 tahun didera oleh ayah tiri di Alor Gajah. Selama 10 hari ketika ibu kandungnya ditahan di hospital,  kanak-kanak malang ini didera dengan diletakkan besi panas di kaki sehingga berlubang, diletakkan seterika panas di badannya, dicucuh rokok di perut sehinggakan badannya penuh dengan kesan calar dan  mata dan mulutnya lebam hasil dipukul, Kanak-kanak malang ini akhirnya meninggal dunia.

Pada bulan Jun 2013 pula, akhbar turut melaporkan seorang kanak-kanak berumur 7 tahun didera bapa tiri di Gong Badak dengan dikurung dantidak diberi makan selama berhari-hari, dipukul dan didera sehinggakan kedua-dua belah kaki mangsa bengkak, melecur sehingga bernanah dan dijangkiti kuman. Syukurlah kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan selepas jirannya membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga kepada pihak polis.


Apabila melibatkan hubungan anak tiri dengan bapa atau ibu tiri, ia bermakna bahawa pasangan tersebut berkahwin dengan wanita atau lelaki yang telah mempunyai anak  hasil dari perkahwinan terdahulu. Walaupun terdapat juga laporan  mengenai penderaan ke atas kanak-kanak dilakukan oleh ibu atau bapa kandung atau pun oleh pihak lain, tetapi penderaan yang dilakukan oleh ibu tiri atau bapa tiri dilihat semakin kerap dilaporkan.


Perkembangan sebegini sangat menyedihkan dan menimbulkan beberapa persoalan mengenai urusan perkahwinan dan juga kebajikan kanak-kanak dalam masyarakat kita. Perkembangan ini seolah-olah  menunjukkan bahawa stigma lapuk  masih membelenggu sebahagian masyarakat kita, iaitu anak tiri, atas dasar bukan anak sendiri tidak mungkin dilayan seperti anak sendiri. Seolah-olah ibu atau bapa tiri tadi mendapat tiket untuk menjadikan anak tiri sebagai bahan untuk didera. Kenapa perkara ini terjadi?

Kita maklum bahawa perkahwinan dan hubungan suami isteri dan anak-anak adalah perkara mulia dan dipandang penting dalam Islam. Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri. Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, ingin disayangi, dilindungi dan menyayangi. Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.

Begitu juga,  antara objektif perkahwinan adalah melahirkan mawaddah dan rahmah (kasih sayang dan belas ihsan) di antara dua pihak, iaitu suami dan isteri, seperti mana dinyatakan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (al-Rum: 21)

Dalam usaha mencapai mawaddah tersebut,  sekiranya pasangan yang ingin dikahwini sudah mempunyai anak, maka anak tersebut turut terlibat secara langsung dalam ikatan yang dibina. Dengan itu, tidak wajar seorang yang ingin berkahwin dengan bakal pasangan yang telah mempunyai anak, hanya menerima dan menyayangi pasangan sahaja, tetapi menolak anak-anak sedia ada. Mereka haruslah turut membina rasa sayang dan penerimaan kepada anak-anak bakal pasangan mereka. Ini adalah perkara besar demi kebajikan anak-anak tiri tersebut.

Justeru itu, Islam meletakkan bahawa ayah tiri atau ibu tiri diterima sebagai mahram selepas berlakunya hubungan kelamin antara pasangan tersebut. Dengan itu, hubungan anak tiri dan ayah tiri/ibu tiri tidak lagi batal wudhu, boleh bersalaman dan diterima sebagai mahram selamanya.

Apatah lagi jika bakal pasangan tersebut kematian suami atau isteri, yang meletakkan anak-anak mereka sebagai status anak yatim yang perlu dilindungi dan dilayan dengan baik. Anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa sudah tentu mengalami rasa kehilangan yang mendalam dan boleh memberi kesan kepada kejiwaan mereka. Atas dasar itu, Allah menawarkan pahala yang besar bagi mereka yang melindungi dan menjaga kebajikan anak-anak yatim yang kematian ibu atau ayah. Justeru, seorang yang mendera anak tiri yang juga anak yatim, adalah satu tindakan yang tidak dapat diterima dari sudut agama, begitu juga dari sudut moral.

Atas dasar ini, kebajikan anak sedia ada perlu menjadi satu nilaian besar bagi mana-mana pasangan yang ingin berkahwin dengan wanita atau lelaki yang telah mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu. Terimalah bakal pasangan dan anak-anak yang ada dengan penuh rasa terbuka, dengan hati dengan ikhlas seperti anak sendiri dan melayan mereka dengan penuh kasih sayang. Pandanglah mereka dengan kasih sayang, bukan kebencian untuk menjadi mangsa deraan kerana doa mereka juga menjadi pahala berlanjutan kepada ibu dan bapa tiri selepas kematian kelak.

Pada masa sama, jiran tetangga mesti memain peranan untuk melapor kepada pihak berwajib sekiranya diketahui ada anak-anak yang menjadi mangsa deraan dalam kejiranan mereka. Keprihatin bersama dapat menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.