Saturday, May 12, 2007

Peguam Syarie Menulis Siar BH 9 Mei 07

Peguam syarie menulis:
Ibu bapa abai anak boleh dipenjara
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kenakan hukuman keras kes kecuaian

ANAK adalah kurniaan Allah yang sangat besar bagi setiap pasangan. Anak kecil sifatnya ‘rapuh’ dan tidak boleh mengurus diri sendiri. Mereka perlu dikasihi, dilindungi, dipelihara dan dididik dengan baik. Mereka umpama kain putih tidak bercorak dan sangat senang dipengaruhi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah (kesucian agama yang sesuai dengan naluri), sehingga lancar lidahnya, maka kedua orang tuanya menjadikan dia beragama Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Tabrani dan Bayhaqi)

Bagi setiap anak, ibu bapa orang terdekat dalam kehidupan mereka. Atas dasar memastikan kelangsungan hidup anak berjalan dengan teratur, Islam menggariskan beberapa tanggungjawab yang perlu dipenuhi ibu bapa terhadap anak mereka.

Dalam Islam, bapa bertanggungjawab secara khusus menyediakan nafkah untuk anaknya termasuk makan minum, pembelajaran, perubatan, penempatan sesuai serta memberikan mereka perlindungan dan kasih sayang.Hakikatnya, tanggungjawab menyediakan nafkah dipikul sepenuhnya bapa dan keluarga sebelah bapa.

Dari segi undang-undang, ada beberapa peruntukan menyentuh perkara ini seperti dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Nafkah) 195 dan Akta Kanak-kanak.

Mengikut Seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, adalah kewajipan lelaki (bapa) menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain, sama ada dengan lelaki itu menyediakan bagi anaknya tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran seperti yang munasabah merujuk kepada kemampuan dan taraf hidupnya kecuali jika ada perjanjian lain atau ada perintah mahkamah selainnya.

Ini bermakna, hak anak adalah mendapat penjagaan, makan minum, tempat tinggal yang munasabah, perlindungan dan juga pendidikan. Pendidikan boleh dibahagi kepada dua iaitu pendidikan formal diperoleh di sekolah dan pendidikan tidak formal diperoleh di rumah hasil ajaran ibu bapa atau pergaulan dengan kawan-kawan dan persekitaranAkta Pelajaran (Pindaan) 2002 menetapkan setiap ibu bapa warga Malaysia bertanggungjawab menghantar anak mereka ke sekolah ketika anak enam tahun pada hari pertama Januari tahun berkenaan dan hendaklah bersekolah di sekolah rendah sehingga tamat sekolah rendah.Ibu bapa melanggar peruntukan ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, ada beberapa hak anak yang menjadi tanggungjawab ibu bapa digariskan di dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Akta ini terpakai ke atas seluruh kanak-kanak di Malaysia dan digubal untuk mempertahankan hak mereka. Antara inti pati memperincikan tanggungjawab ibu bapa ke atas anak mereka adalah:

· Seksyen 30(1)(a) memperuntukkan mahkamah boleh memerintahkan ibu bapa menyempurnakan suatu bon pemeliharaan dan penjagaan yang betul untuk anak mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

· Seksyen 31(1) menyentuh tanggungjawab ibu bapa menjaga kanak-kanak. Ibu bapa boleh dihukum jika gagal menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak yang berada dalam jagaan mereka. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. Ibu bapa dianggap sebagai cuai jika tidak menyediakan makanan, pakaian, perubatan, perubatan pergigian, tempat tinggal dan jagaan anak yang mencukupi serta menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi anak.

· Apabila ibu bapa berusaha mengawal anak mereka, tetapi masih gagal, Seksyen 46 menyatakan ibu bapa boleh memohon kepada mahkamah secara bertulis untuk mahkamah menahan anaknya di suatu tempat perlindungan, asrama atau pusat di atas alasan mereka tidak mampu untuk mengawal anak itu.

· Seksyen 30(8) dan 40(3) menyebut jika mahkamah membuat perintah untuk ibu bapa menyempurnakan bon mahkamah dengan atau tanpa suriti boleh juga meletakkan syarat tambahan untuk memastikan keselamatan anak terjamin dengan cara ibu bapa dengan diiringi oleh anak hendaklah menghadiri bengkel interaktif di pusat tertentu, jika anak diletakkan di tempat selamat, ibu bapa hendaklah melawatnya seperti ditentukan mahkamah dan jika anak diletakkan di tempat tertentu, maka ibu bapa hendaklah berjumpa dengan guru atau guru besar sekolah untuk berbincang mengenai perkembangan anak mereka sebulan sekali.

· Seksyen 88 menyatakan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab hadir ke mahkamah sebelum kes didengar atau ketika prosiding kes membabitkan anak mereka. Kegagalan berbuat demikian jika diperintahkan mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.

· Seksyen 90(11) pula memberi ruang kepada ibu bapa membuat permohonan pengurangan denda (mitigasi) atas hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap anak mereka. Ibu bapa atau penjaga boleh merayu kepada mahkamah bagi hukuman yang bakal dijatuhkan itu ringan dan setimpal dengan kesalahan kanak-kanak itu.

· Jika mahkamah menjatuhkan hukuman rotan ke atas anak mereka, maka Seksyen 91(1)(g) menyatakan ibu bapa bertanggungjawab hadir ketika anak dirotan. Mereka hendaklah menyaksikan anak mereka ketika dirotan.

· Jika seorang kanak-kanak didakwa atas kesalahan yang boleh dihukum dengan denda dan membayar pampasan, kos atau keduanya, Seksyen 94 memperuntukkan mahkamah hendaklah memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar denda, pampasan atau kos atau semuanya, kecuali mahkamah berpuas hati bahawa ibu bapa atau penjaga tidak ada atau tidak ditemui pada masa munasabah dan mereka tidak menyumbang kepada perlakuan kesalahan jenayah itu kerana cuai menjaga anak dengan sempurna.

Bagaimana sekiranya seorang anak melakukan sesuatu kesalahan membabitkan kecuaian, pelanggaran hak dan sebagainya? Berdasarkan undang-undang, kanak-kanak tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kecuaian yang mereka lakukan terhadap orang lain.Dalam erti kata lain, kesalahan dilakukan kanak-kanak boleh dipertanggungjawab kepada ibu bapanya jika boleh dibuktikan ibu bapanya cuai menjaga dan mengawal anak. Ia bukanlah kesalahan sebenar kanak-kanak itu, tetapi kesalahan ibu bapa atau penjaga mengawal anak mereka.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim ke admin@pgsm.org.my