Friday, April 24, 2015

Semangat Membaca






Tulisannya adalah di bawah sebelum diedit seperti di akhbar BH 22 April 2015..

SIKAP SUKA MEMBACA
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur datang lagi.  Majlis yang  akan berlangsung mulai  24 April hingga 3 Mei 2015 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur menawarkan pelbagai  jenis bahan bacaan kepada pengunjungnya. Program  tahunan ini dikatakan menerima pengunjung yang semakin bertambah tahun demi tahun. Pada tahun lepas sahaja, dilaporkan lebih 1.7 juta pengunjung telah membanjiri Pesta Buku dan kemungkinan bilangannya akan meningkat lebih tinggi pada tahun ini. 

Walaupun  dunia semakin berkembang melalui peralatan elektronik dan e-book yang mewarnai bentuk bahan bacaan dunia alaf baru, namun masih ramai yang cintakan bahan bacaan  bertulis yang boleh dipegang dan diselak helaiannya. Bilangan pengunjung yang begitu ramai boleh juga menjadi petunjuk bahawa semangat  cintakan buku dan  suka membaca buku  berkembang dengan baik dalam masyarakat kita.

Semangat cintakan buku dan suka membaca sangat penting jika kita ingin menjadi masyarakat yang mempunyai daya fikir yang tinggi. Dengan membaca, ilmu kita bertambah dan lebih banyak fakta-fakta baru kita ketahui. Banyak membaca buku agama akan memberikan kita lebih banyak pengetahuan tentang ajaran agama kita sendiri dan membantu kita memperbaiki mutu amal ibadah kita. Banyak membaca buku motivasi dan pengalaman orang-orang yang berjaya boleh  membuka minda dan menjadikan kita lebih bersemangat  dalam mengharungi cabaran hidup ini. 

Semakin banyak kita membaca, semakin kuat minda kita memproses dan  menjadikan kita semakin berilmu,  matang dan meningkat menjadi insan yang lebih baik. Ini menepati pernyataan al-Quran iaitu, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (al-Zumar :9) 

Semangat cintakan buku dan suka membaca sebenarnya  bermula semenjak seseorang itu masih kecil lagi. Ibu bapa sebenarnya adalah pihak pertama yang memperkenalkan nilai murni ini. Membacakan kepada anak-anak sebelum mereka tidur seperti buku cerita kanak-kanak, komik bergambar, kisah Nabi-nabi dan lain-lain bacaan adalah amalan yang mempercepatkan pembinaan sikap cintakan ilmu dan suka membaca. Apatah lagi, membaca  merupakan perkara besar yang disebut dalam al-Quran melalui wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi di Gua Hira’ iaitu “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan..” (al-Alaq:1) Justeru, nilai suka membaca dan cintakan bahan bacaan adalah sesuatu amalan yang disukai dalam agama kita.  Namun begitu, amalan membacakan buku kepada anak-anak sebelum tidur agak kurang dalam masyarakat kita, tetapi menjadi amalan biasa dalam masyarakat barat.

Statistik yang pernah dikeluarkan sebelum ini menyebut masyarakat kita masih belum mencapai tahap minat membaca yang diimpikan. Sebagai contohnya, banyak laporan mengatakan seorang rakyat Australia membaca sekitar 180 buah buku setahun sedangkan rakyat Malaysia dikatakan belum sampai 10 buah buku setahun. Semoga bilangan masyarakat kita yang suka membaca akan meningkat seiring dengan ramainya jumlah pengunjung pesta buku yang diadakan.

Dalam mempertingkatkan usaha membina semangat cintakan ilmu, wajar juga untuk kita lihat bagaimana masyarakat negara lain melakukannya. Ia boleh menjadi contoh untuk kita mengikutinya. Perpustakaan awam di Australia contohnya ditubuhkan di setiap seksyen  penempatan penduduk dan memudahkan semua proses akses kepada fasiliti yang ditawarkan..  Perpustakaan-perpustakaan awam daerah juga membenarkan setiap kanak-kanak meminjam 30 buah buku sekali gus dan boleh memulangkannya di mana-mana perpustakaan berdekatan. Mereka juga memudahkan kaedah tempahan buku untuk peminjaman secara email dan boleh memperbaharui tempoh pinjaman secara ‘online’. Bahkan setiap perpustakaan menjalankan bengkel percuma untuk ibu bapa mempelajari teknik-teknik membaca dengan anak-anak mereka sebelum tidur.

Sekolah-sekolah di Australia turut menyuburkan semangat cinta membaca buku dengan menjadikan sesi membaca buku atau novel bersama ibu bapa di rumah sebagai kerja rumah setiap hari. Setiap murid akan diberikan buku log untuk catatan apakah buku yang dibaca sebelum tidur dengan ibu bapa, sekitar 10 minit dan ibu bapa perlu menandatangani buku tersebut. Kejayaan menghabiskan buku bacaan paling banyak akan diraikan oleh pihak sekolah dalam sesi perhimpunan sekolah mereka dengan dipanggil ke hadapan  pentas dan dianugerahkan lencana “Pupil of the Week’ oleh guru besar. Usaha ini menyebabkan kanak-kanak teruja dan sesuatu yang biasa bagi seorang murid sekolah rendah di sana menghabiskan 30 buah buku cerita seminggu.

Seorang guru besar sekolah di Australia turut menceritakan bahawa, usaha menggalakkan kanak-kanak membaca novel atau buku cerita adalah bertujuan membantu mereka membina kreativiti dan penguasaan bahasa. Adalah kurang ditekankan hafalan seperti ‘prosa kata’ secara sendirian tetapi ia dipelajari melalui penceritaan dan pemakaiannya di dalam novel. Kerja sekolah bagi kanak-kanak sekolah rendah (7 hingga 12 tahun) adalah membaca buku cerita dan novel dan membuat ringkasan di dalam buku log. Mereka membina sikap cintakan buku dari kecil dan membuatkan ia menjadi sebahagian dari tabiaat harian. Justeru, adalah perkara biasa mereka membawa buku cerita bersama dan membacanya di dalam bas, keretapi dan di taman-taman.

Apabila semenjak kecil kanak-kanak suka membaca, ia akan menjadi satu tabiat yang akan mereka bawa hingga mereka dewasa dan membentuk keluarga. Apabila ibu bapa mempunyai sikap suka membaca, ia akan diturunkan pula kepada anak-anak mereka kelak  untuk turut sama cintakan membaca dan mencari ilmu..

Ini adalah satu usaha murni yang wajar diikuti oleh kita semua ke arah menggalakkan dan membina nilai murni cintakan buku dan suka membaca dalam kelompok masyarakat kita.

*Penulis adalah Prof Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam