Wednesday, November 6, 2013

Laluan PhD : berliku tetapi penuh keindahan

PhD oh PhD..

Bila ada yang tanya saya mengenai buat PhD, saya selalu keliru nak bagi jawapan. Jika mengikut semangat belajar, saya nasihatkan belajarlah...... Tapi bila lihat dari sudut tekanan, saya jawab pula, kalau ada jalan lain untuk menuntut ilmu, ambillah jalan kedua...

Saya ucapkan terima kasih kepada salah seorang saudara kita yang telah sudi membaca mengenai laluan PhD saya dan mengirim email meminta saya menceritakan dengan lebih tersusun semoga dapat menjadi panduan bagi yang ingin mengambil PhD. Syukran Syeikh...

Hari Isnin 4 November 2013 kelmarin, sebenarnya ada kisah berkaitan yang menjadi sebahagian dari catatan laluan hidup saya. Sebenarnya, Isnin tersebut saya menerima surat dari Pendaftar Universiti di mana surat tersebut menyebut, "Tahniah. Pihak Univeriti merasa amat bangga dan ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan puan memperolehi Doctor of Philosophy dari University of Melbourne, Australia, seperti yang telah disahkan oleh Universiti (UniMelb) pada 19 Julai 2013. Semoga dengan ilmu pengetahuan yang ada, puan akan dapat memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada Universiti, bangsa dan negara."  [surat tersebut dihantar kepada semua yang berjaya lulus PhD agak saya..]

Hati saya tiba-tiba sayu semasa membaca surat tersebut..

Datang di hadapan mata laluan perjalanan saya yang bersimpang siur selama empat tahun 2008 sehingga 2012 yang lepas. Saya sehingga ke hari ini, dan sampai bila-bila sampai ke akhir hayat saya, saya  sentiasa berasa besarnya rahmat Allah yang telah diberikan kepada saya yang kerdil ini sehingga akhirnya laluan saya di Australia berakhir dalam tempoh yang diberikan kepada saya.

Saya bertolak meninggalkan KLIA menunju ke Melbourne pada 28 November 2008. Saya menerima tawaran dan biaya KPT untuk melanjutkan PhD di La Trobe University, di Bundoora selepas saya tidak berjaya mendapat Band 7 untuk IELTS. Saya mendapat 6.5 sahaja sedangkan sebelum itu, saya telah berurusan dengan University Melbourne. Saya pasrah sahaja kerana pihak Uni suruh saya daftar secepat mungkin dan tidak boleh menunggu lagi. Jadi saya patuh sahaja.

Saya mendaftar di La Trobe University pada 3 Dis 2008. Beberapa hari selepasnya, saya sekeluarga ke City Melbourne dan kami berjalan-jalan ke University of Melbourne. Dalam hati saya, saya menyebut, "Wahai Allah, saya sebenarnya sangat berharap untuk belajar di sini. Tapi saya tak berjaya ya Allah.. Apa sahaja yang baik, tolonglah beri kepada saya ya Allah."

Sepanjang di Melbourne, saya tak pernah tahu mengenai Prof Muhaya. Apabila saya balik di sini,  saya mendengar ceramah beliau mengenai apa yang dikatakan skrip kehidupan, saya tergambar apa yang saya lalui.. Beliau menyentuh betapa apa yang kita tulis di kertas, dibaca selalu, masuk dalam kotak fikiran dan hati dan insya Allah dengan izinNya akan terlaksana akhirnya..Ketika itu, di Melbourne, saya tidak tahu mengenai skrip kehidupan atau idea sewaktunya..  Tapi saya telah membuatnya mengikut apa yang saya rasa ianya sesuai dengan jiwa saya..

Itulah yang saya lalui...

Ditakdirkan, saya menghadapi masalah dengan Penyelia di La Trobe Uni. Beliau tidak suka dengan pendekatan undang-undang Islam yang saya buat. Saya tukar mengikut  kehendaknya.. saya tukar dan tukar sehingga saya rasa kajian asal saya sudah tidak wujud lagi. Ia menyebabkan saya rasa sangat kecil dan semakin kecil..

Dalam bermasalah itu, setiap malam sebelum saya tidur, saya selalu membayangkan dalam kepala dengan mata saya yang tertutup bahawa saya memegang sebuah tesis yang tertera nama saya, dan saya naik pentas menerima ijazah PhD saya.

Apabila menghadapi masalah, saya hubungi Dekan saya, meminta nasihat apakah yang perlu saya buat. Beliau menyarankan saya berpindah universiti (selepas 1 tahun 2 bulan saya di La Trobe) dan berjumpa dengan Prof Abdullah di University Melbourne. Saya ke sana...berbincang dan berbincang.. akhirnya saya mendapat persetujuan dari Prof Abdullah dan Pak Tim bahawa mereka bersetuju menjadi penyelia saya sekiranya saya berpindah ke Universiti Melbourne. Pak Tim menulis surat sokongan yang sangat menyentuh hati saya.."I am more than happy to be her Supervisor in the event she manages to transfer to UniMelb."

Perkataan "I am more than happy to be her Sv .." selalu saya bayangkan dalam fikiran saya.. Ia memberi saya tenaga positif untuk berusaha...

Undang-undang Pendikan Australia pula memberi saya satu bantuan yang tidak pernah saya terduga. Ia benar2 bantuan Allah.. Rupanya ada satu clause dalam Education Act mengatakan bahawa sesiapa yang pernah mengikut pendidikan di Australia (di mana2 University) selama 1 tahun, maka IELTS dikecualikan...Saya sujud syukur atas perkara ini. Jadi band saya 6.5 tidak pernah disentuh lagi.

Selepas permohonan ke Uni saya di sini pula dibuat dengan meletakkan kesemua surat menyurat perpindahan, tiba2 pihak Uni mengatakan saya hanya tingga beberapa tahun sahaja lagi untuk tamat 4 tahun. Saya dah di La Trobe hampir 1 tahun 6 bulan dah masa tu. Tolak 4 tahun, ada lagi 2 tahun 6 bulan. Jadi saya tidak dibenarkan pindah, tetapi perlu balik ke Malaysia dan menyambung ke IPT di Malaysia sahaja.

Terduduk saya, menangis saya di sana.. Terkejut! Tetapi saya tetap bersangka baik pada ALlah.. Saya hubungi Pak Tim, dan dia dalam masa 20 minit keluarkan satu surat sokongan untuk saya yang ditujukan kepada Uni di sini. Antaranya beliau menulis, "Untuk diterima masuk ke UniMelb adalah satu perkara yang sangat sukar kerana statusnya Universiti terbaik di Australia. Alangkah pelik sekiranya pihak Uni di Malaysia tidak menghargai perkara ini sedangkan beliau sangat gembira untuk menyelia saya.." Kata-kata positif beliau selalu saya ingat dan bayangkan dalam fikiran saya..

Kemudian Dekan saya menulis surat sokongan kepada pimpinan Uni. Antaranya beliau menulis, "beliau sangat yakin bahawa saya berjaya menghabiskan kajian saya dalam tempoh berbaki dan kembali dengan PHD. Jika beliau tidak yakin, sudah tentu beliau tidak akan menyokong usaha saya.." Saya hafal dan selalu bayangkan dalam fikiran saya..ia memberikan saya satu tenaga yang tidak terbayangkan.. Tulisan2 positif itu saya hafal dan serapkan dalam hati dan jiwa saya.. saya yakin saya berada dalam bantuan Allah..

Kemudian, saya berjumpa dengan ayah saya. Kata-kata ayah saya sangat kuat dalam hati dan minda saya. Beliau menyebut, "Yang hantar anak ayah pergi Australia itu Allah.. Jika kena balik, yang panggil balik itupun ALlah.. " Saya jadi kuat dan semakin kuat.

Allah mudahkan jalan lagi apabila Dekan saya dan Timbalan Dekan telah sudi berjumpa dengan TNC meminta kes saya mendapat pertimbangan yang lebih wajar. Dekan saya menyebut bahawa beliau melihat kesungguhan saya dan yakin saya akan berjaya. Beliau juga memberitahu saya, kembali ke Melbourne dan siapkan kajian. Apa-apa terjadi di sini, dan apa2 keputusan Uni selepas ini, beliau akan bertanggungjawab.

Saya sujud syukur atas semua yang berlaku...

Apabila saya mendaftar di Uni Melbourne pada September 2010. Saya hanya ada 2 tahun 3  bulan untuk cukup 4 tahun. Saya sujud syukur dan saya menyebut, "Wahai Allah, terima kasih kerana akhirnya saya dizinkan belajar di University Melbourne. izinkanlah saya berjaya menamatkan jihad ilmu saya ini.."

Setiap malam, saya bayangkan di tangan saya ada sebuah tesis dan saya naik pentas menerima skrol PhD saya. Saya bayangkan saat itu akan berlaku.. Dan saya solat hajat setiap hari, selepas solat Zuhur, saya solat hajat 2 rakaat. Selepas solat Maghrib saya solat hajat 2 rakaat. Selepas solat Isya' saya solat hajat 2 rakaat. Sebelum Subuh, saya akan berusaha sedaya upaya pastikan saya solat hajat dan sunat sebelum Subuh. Itulah sebenarnya kekuatan saya...

Saya tulis di atas kertas kata-kata positif Pak Tim, kata-kata positif Dekan saya, kata-kata positif Ayah saya.. Kata-kata positf suami dan anak saya, saya baca dan baca selalu..Dan selalu saya bercakap .."Wahai Allah, kasihanlah kepada saya. Ramai yang yakin kepada saya, berilah saya keizinanMu untuk saya juga yakin keapda diri saya sendiri. Saya sangat yakin bantuanMu datang dari jalan yang tidak diduga-duga..Tolonglah saya yang lemah ini wahai ALlah.."

Itulah ayat doa saya... bermain di bibir saya, hari demi hari...

Oleh kerana itu, apabila saya menerima surat dari Pendaftar mengucap tahniah, saya merasa sayu teramat sayu, kerana surat dari pendaftar yang sama  juga yang menyuruh saya balik sebelum ini.. Tapi saya tidaklah marah pada dia atau sesiapa...

Sungguh benar, kepada semua, sama ada yang susah dalam perjalanan membuat PhD, yang menghadapi kesulitan masalah keluarga, masalah kewangan yang meruncing, masalah kesihatan yang semakin uzur, atau apa-apa yang kita rasa berat dalam hidup kita, kita tidak boleh mengubah plan tindakan Allah, tapi kita boleh bersangka baik dengan Allah, dan selalu yakin dalam hati bahawa Allahlah yang memberi jalan keluar ke atas apa2 masalah yang kita lalui..

Justeru, apabila kesulitan dan masalah yang menimpa kita sudah habis, janganlah kita berpaling pula daripada Allah...
Jangan sudah habis PhD, menjadi sombong dengan ilmu dan pangkat yang diberi Allah.
Jangan sudah sihat dari sakit berat, lupa kepada Allah yang menyihatkan..
Jangan sudah bahagia, lupa bahawa kita pernah bermasalah sebelum ini, yang telah dilapangkan Allah..
Jangan kita jadi lupa kepada Allah..

Semoga ilmu yang ada, pangkat yang ada, tubuh badan yang sihat, akal yang cerdas, duit yang banyak.. semuanya kita gunakan untuk Allah.. demi kebaikan umat Islam.. ameen...

Atas spirit yang sama.. saya sangat suka pula dengar lagu ini..
Saya tidak akan berpaling..... insya Allah
[gambar yang suami saya letakkan dengan lagu ini...]

Kala malam, bersihkan wajah dari bintang2
dan mulai turun setetes air langit
dari tubuhnya..

Tanpa sedar
nikmatnya lam kerana kuasaMu
yang tak akan habis sampai di akhir waktu
perjalanan ini

Terima kasihku padaMu Tuhanku
tak mungkin dapat terlukis oleh kata2
hanya diriMu yang tahu
besar rasa cintamu padaMu

Oh Tuhan
AnugerahMu
tak pernah berhenti
selalu datang kepadaku
Tuhan semesta alam
dan satu janjiku
takkan berpaling dariMu

Terima kasihku
Ya Allah..

Anugerahmu..

Kau sisihkan
semua aral melintang di hadapanku
dan buka terang suluh
jalan hidupku
melangkah

Terima kasihku
padaMu Tuhanku
tak mungkin dapat terlukis oleh kata-kata
hanya diriMu yang tahu
besar rasa cintaku padaMu..


Perjalanan saya membuat PhD tamat pada hari akhir cukup 4 tahun yang diberikan kepada saya.
Saya pergi 28 Nov 2008. Daftar 3 Dec 2008 sebagai pelajar PhD. Cukup 4 tahun adalah pada 3 Dec 2012. Saya perlu balik pada 1 December 2012. Dengan berkat ALlah yang diberikan pada saya, saya menyerahkan tesis sebagai tanda tamatnya perjuangan PhD saya pada 30 Novermber 2012. 

Betapa besarnya rasa syukur dan terima kasih saya padaMu Wahai Allah, Tuhan Seru sekelian alam.....